Palestin bukan perjuangan kami?

Palestin bukan perjuangan kami?

Jika kita mampu melihat pasti suatu hari nanti kita akan lihat rakyat Malaysia dari semua latar belakang berdiri bersama berkongsi rasa kemanusiaan dan menentang pencabulan hak asasi manusia.

ronasina

Sokongan kita terhadap isu Palestin yang diganyang Israel memang sentiasa padu. Ia datang dalam pelbagai bentuk. Bendera dikibar tanda setiakawan, kutipan derma, boikot produk, dan penganjuran demonstrasi di jalan. Namun, apa yang kita perlu akui, solidariti itu masih banyak didominasi oleh orang Melayu dan Muslim. Kaum bukan Melayu dan bukan Islam tidak menunjukkan keterlibatan sebesar itu. Apakah ini bermakna mereka tidak peduli pada kezaliman? Atau adakah masalahnya terletak pada cara isu Palestin itu sendiri dipersembahkan kepada masyarakat kita?

Salah satu sebab utama ialah bagaimana naratif Palestin di Malaysia sering dibingkaikan. Ia dilihat sebagai isu agama, perjuangan sesama Muslim menentang penindasan Zionis. Naratif ini ada asasnya kerana umat Islam memang merasakan bahawa Palestin itu saudara mereka selaras dengan tuntutan agama seperti di dalam bacaan talkin, ‘man ikhwanuka?’ atau ‘siapakah saudara kamu?’ maka jawabnya ‘al muslimina wal muslimat ikhwani’ yang bermaksud muslimin dan muslimat saudaraku. Namun, dalam bingkai yang terlalu eksklusif, kaum bukan Muslim tidak menemukan pintu masuk untuk turut sama merasakan penderitaan itu.

Sedangkan, kalau kita susur semula ke belakang melihat sejarah, Palestin lebih dekat dengan pengalaman kita semua daripada yang disangka. Bukankah penindasan terhadap Palestin itu lahir daripada kolonialisme, perampasan tanah, dan ketidakadilan yang dipaksakan oleh kuasa asing? Bukankah kita semua di rantau ini pernah melalui pengalaman dijajah, ditindas dan diperintah oleh kuasa asing yang mempermainkan nasib rakyat demi kepentingan geopolitik? Menghubungkan Palestin dengan pengalaman kolonial yang kita kongsi bersama sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum boleh membuka ruang solidariti yang lebih luas. Ada antara kita ini tok-nenek dan moyangnya dahulu lari dari perang masuk ke sini untuk menyambung hidup, untuk meneruskan keturunan. Adik-beradik dan saudara-mara ada yang mati dibunuh, ada yang terkorban kebulur. Itulah hodohnya pencabulan hak yang wajib kita faham.

Sayangnya, kita jarang menggunakan bahasa kemanusiaan dan sejarah bersama ini. Sebaliknya, wacana yang dominan masih sarat dengan istilah, slogan, dan simbol keagamaan. Ia bagi saya hanya dapat membakar semangat sebahagian masyarakat, sedang ketika lainnya ia tanpa diduga telah membina tembok yang membuatkan kaum lain berasa isu ini bukan milik mereka. Padahal, jika kita tekankan bahasa hak asasi manusia, keadilan sosial, dan perjuangan menentang apartheid, Palestin boleh menjadi isu yang menghubungkan semua kaum, bukan memisahkan.

Sudahlah ia diparahkan sekian lama oleh media Barat yang condong kepada Israel dengan sengaja membentuk naratif Palestin ialah isu konflik agama. Hamas jugalah yang dipalitkan dengan keganasan apabila membalas serangan Israel. Filem-filem Barat yang sering memaparkan imej Islam Arab sebagai pengganas awam menambahkan lagi fobia terhadap Islam. Lalu, apabila kita di sini terus memutar semula naratif agama semata-mata, tanpa sedar, kita mengukuhkan lagi persepsi yang direka oleh media pro-Israel. Naratif itu tidak hanya menyempitkan Palestin kepada isu agama, malah menjadikan solidariti rentas kaum sukar untuk berlaku.

Bandingkan dengan negara lain, sokongan kepada Palestin datang daripada rakyat berbilang agama dan kaum kerana mereka nampak persamaan jelas dengan sejarah lampau mereka menentang penindasan kelas dan warna kulit. Dasar apartheid di Afrika Selatan, contohnya membuatkan mereka melihat isu Gaza adalah jenayah penghapusan etnik. Di Amerika Latin, gerakan kiri melihat Palestin sebagai simbol perjuangan menentang penjajahan imperialisme. Malah di Eropah, ribuan bukan Muslim sanggup turun ke jalan kerana mereka melihat Palestin sebagai isu kemanusiaan sejagat.

Kita di sini masih tidak mampu melahirkan gerakan rentas kaum yang seimbang dan sama kuat kerana masih terperangkap dengan politik identiti. Sebut tentang politik, timbul pula penyakit lain. Berlaku juga di mana masalah persaingan di antara parti-parti politik yang berlumba mahu dilihat juara isu. Satu parti anjur demonstrasi, penyokong parti lain enggan sokong. Atau kedua-parti politik ada di jalan raya tetapi masing-masing membuka pentas ceramah sendiri. Apalah salahnya kita buang seketika bendera parti dan sama singsing lengan. Itu pun tak boleh, apa nak jadi?

Itu cerita lain. Tetapi dalam hal solidariti rentas kaum, kita harus mengubah slogan. Namun, kita tak boleh juga memandai meminta pertubuhan dan individu pro-Palestin ini berdemonstrasi membuang laungan-laungan ‘agama’ pula demi untuk mengajak kaum bukan Melayu dan bukan Islam turut serta. Itu sentimen mereka sendiri sedangkan isu Palestin terbuka untuk dilihat dari pelbagai sudut. Sudut agama pun tak salah. Seharusnya rakyat Malaysia bukan Melayu dan bukan Islam melihat luas lagi di seluruh dunia luar sana bagaimana negara Barat dan Timur bangkit tanpa memikirkan soal agama.

Saya biasa turun berdemonstrasi. Saya lihat memang ada demonstran Cina, India dan lain-lain juga turun bersolidariti. Tetapi jumlahnya masih terlalu kecil. Percayalah, orang Melayu-Islam amat gembira dengan kehadiran dan sokongan anda. Sokongan terhadap Palestin tiada kena-mengena dengan niat untuk berdakwah mengajak sesiapa masuk Islam. Ia bukan juga milik peribadi Melayu-Islam. Ia adalah isu kemanusiaan, penindasan kolonial, dan kezaliman yang perlu ditolak oleh semua manusia tanpa mengira agama dan bangsa.

Jika kita mampu melihat pasti suatu hari nanti kita akan lihat rakyat Malaysia dari semua latar belakang berdiri bersama berkongsi rasa kemanusiaan dan menentang pencabulan hak asasi manusia. Mengapa kita masih tertinggal mundur tak tentu arah, masih salah-menyalah dan berbalah, sedang di dunia luar sana gelombang besar semua anak dunia sudah berlaku. Tak malukah kita?

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.