
Ada seorang staf sekampus dengan saya, yang suaminya orang politik, dari parti Bersatu. Kadangkala pagi hari sewaktu bersarapan sendirian, dia dan dua tiga temannya yang turun membeli kuih-muih di kantin akan berbasa-basi dengan saya.
Oleh kerana beliau mengetahui saya meminati bermacam-macam perkara, termasuk politik, kerap juga dia bertanya saya macam-macam ehwal. Mungkin sahaja apa yang dijolok itu provokasi, atau ingin membuat saya melatah; atau memang dia naif. Saya tidak tahu hendak menelah.
Baru ini dia memang nampaknya seperti tertekan, bengang dan susah hati. Staf ini memberitahu saya betapa dia benci kegiatan poltik suaminya. “Saya tidak tahu dengan siapa dia berkawan, balik malam-malam; dan terlalu banyak untuk saya ikuti bagi memahami apa yang sedang berlaku. Baru ini pulang dari Sandakan dia tersenyum-senyum girang. Saya sangsi.”
Pagi kelmarin; gamaknya melihatkan saya sedang seorang seraya begitu bahagia menikmati kopi susu, mengetis kuih lapis merah putih selapis demi selapis sembari membaca ‘Anjing Mengeong Kucing Menggonggong’ karya Eka Kurniawan, hatinya jadi menggelitik untuk mengganggu ketenangan saya itu.
Dia menarik bangku bertentangan dan kelihatan jujur bertanya: “Dr FT, sebenarnya parti Bersatu ini bagaimana?”
Saya menutup novel sedang dibaca, mencicipi minuman masih hangat berwap diekori tertawa kecil. Apa yang dapat saya labunkan tentang Bersatu untuk memahamkan teman saya ini? Bagaimana saya mahu berlaku jujur?
Ini kerana kawan saya ini memang tidak mengetahui apa-apa dari hal politik kepartian. Dia jenis mengikut arus TikTok. Kalau TikTok ada orang bodoh bercakap dan kebetulan pula lalu di jalur yang sedang dia ikuti; maka dia mungkin ikut jadi bodoh seperti itu. Demikianlah dia sendiri mengaku. Dia tiada ilmu politik yang tuntas untuk memahami apa yang suaminya lakukan.
Saya kasihan melihat dia. Dalam kepala saya menganyam jawapan; selepas pilihan raya lalu, Bersatu beroleh 31 orang Ahli Parlimen dan 60 Adun merentas pelbagai negeri, namun enam daripada Ahli Parlimen itu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, manakala seorang Adun di Selangor menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Amirudin Shari. Mereka menjadi semacam wakil bebas di Dewan Rakyat, dan negeri. Jadi Bersatu tinggal 25 orang Ahli Parlimen.
Itu satu kemungkinan jawapan untuk kawan saya yang suaminya orang politik daripada Bersatu.
Saya benar-benar kasihan melihat dia. Dalam kepala saya menganyam jawapan; baru ini ada seorang Ahli Parlimen ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, namanya Wan Saiful Wan Jan. Dia memanggil sidang media, dan berhasrat melaporkan Azmin Ali dan Tun Faizal Ismail Aziz, dua orang pemimpin Bersatu kepada Lembaga Disiplin parti kerana didakwa menyebarkan naratif songsang berhubung usahanya mengumpul akuan berkanun (SD).
Kononnya, Wan Saiful dituduh menggerakkan SD yang ditandatangani bersama 119 ketua bahagian lain untuk menyokong isu calon perdana menteri tidak dibincangkan secara terbuka dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu, memandangkan ia bersifat sensitif.
Kemudian, untuk menambah cili dalam lauk, Wan Saiful mendedahkan hubungannya dengan Azmin, setiausaha agung Bersatu itu terjejas sejak tahun lalu kerana dia beroleh perkembangan baharu siasatan terhadap skandal video songsang 2019 yang mengaitkan bekas menteri Kabinet tersebut. Menurut Wan Saiful, video itu tulen, dan ini membawa kepada isu moral.
Saya kasihan berganda melihat dia, teman ini. Dalam kepala saya menganyam jawapan; kalau persoalannya adalah moral, bagaimana saya akan memberitahu kawan saya itu yang Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sedang berdepan dengan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta. Tuduhan ini masih dalam perbicaraan. Atau, bagaimana saya ingin menjelaskan pula kepada kawan saya itu yang Wan Saiful yang disebut-sebut namanya bergema dalam kepala itu pun juga didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta. Wan Saiful malah ikut berdepan 18 pertuduhan lain yang membabitkan pengubahan wang haram RM5.59 juta, dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu.
Saya juga semacam mahu memberitahu begini, bahawa Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, daripada 12 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa. Ini ekoran Adam Radlan membayar kompaun RM4.1 juta. Yang saya percaya, kalau kawan saya dan saya kerja sampai usia 100 tahun pun; sebagai penjawat awam tidak akan kami dapat kumpulkan duit sebanyak itu.
Saya lebih-lebih kasihan melihat dia, kawan saya. Dalam kepala saya menganyam jawapan; kalau dilihat dan dipantau prestasi Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin daripada Bersatu terutama melalui hujah, argumen, dan ketelusannya di Dewan Rakyat; kita rakyat akan berasa sedih dan sukar melihat parti pembangkang sebagai alternatif untuk kerajaan sedia ada.
Ini tentunya kalau kita menggunakan akal fikiran waras dan bukan tumit kaki, atau menelan apa sahaja di TikTok yang boleh menyebabkan kematian otak (brain rot).
Ada banyak cara saya ingin menyalakan pemikiran kritikal kawan saya ini yang suaminya adalah orang kuat Bersatu. Waktu itu saya memang sedang menimbang-nimbang respons dan jawapan.
Saya pandang wajahnya kosong. Saya hirup kopi susu yang mulai menyejuk dan berasa hampa kerana ia sudah tidak sehangat sebelumnya. Saya juga sebenarnya rasa kecewa kerana momen sekejap saya dapat membaca novel itu dicelah untuk satu hal yang sebetulnya remeh-temeh dan mendatangkan kejengkelan. Lagipun kalau saya memberikan semua jawapan jujur di atas, adakah itu akan membantu kawan saya itu melayari hubungan rumahtangganya yang mungkin sedang tidak lagi bersatu ekoran kesibukan suaminya di Bersatu. Mungkin sahaja apa yang saya katakan kepadanya akan menjadi satu punca kepada keretakan menanti belah.
Saya memikir dan memikir, detik masa bergerak. Saya teguk lagi kopi susu, menyimpan novel dalam beg, dan menjeling jam di pergelangan tangan yang menunjukkan pukul 7.56 pagi. Masa untuk bekerja.
Saya kasihan melihat dia, kawan saya tersebut. Dalam kepala saya menganyam jawapan; dan akhirnya saya bersuara: “Beginilah Pidah, kau tanya ‘husband’ kau. Kau tanya ‘husband’ kau.”
Saya bingkas untuk meninggalkan kawan, dek saya bertongkat, pergerakan saya itu menyebabkan punggung sedikit tertonggek, dan saya masih mengulang, “Kau. Tanya. Husband. Kau.”
Teman saya itu hanya mampu menggetap bibir geram.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.