
Belayar dengan flotilla untuk memecah kepungan Zionis di Gaza – para pesertanya – khusus yang dari Nusantara, mesti hadir dengan bukan hanya keberanian, dan kesungguhan; akan tetapi mestilah lebih dari itu.
Pengetahuan geopolitik. Dan pengetahuan itu tidak boleh ditebak-tebak, dan hanya satu penjuru atau sisi sahaja. Ia mesti menyeluruh. Bukan suku-suku. Ketika flotilla yang banyak itu belayar ke Gaza, paling kurang dua kali dron Israel menceroboh masuk Tunisia untuk membakar paling sedikit (sehingga rencana ini ditulis) dua buah kapal atau bot besar.
Sebelum itu, pada 29 Ogos 2025, Israel membunuh perdana menteri Yaman dari puak Houthi, Ahmed al-Rahawi dan separuh ahli kabinetnya. Tapi, tiada negara Arab ikut mengecam Israel. Respons aktivis pro-Palestin pun suam-suam kuku. Dari Malaysia, macam tidak ada. Sebab mungkin Houthi miskin, dan dibenci Arab Saudi. Atau mungkin kerana Houthi itu Syiah.
Juga dalam tempoh ini, sebab Qatar diam bila Yaman dibom, maka Israel dengan selamba mengebom Qatar, yang sekian lama menjadi tempat atau pangkalan biro politik Hamas. Qatar memang sedang menjadi orang tengah untuk menjayakan ‘gencatan senjata’ di Gaza. Malah Qatar adalah nyawa untuk Hamas, dan gerakan Ikhwanul Muslimin.
Geopolitik. Itu yang ahli pelayaran Sumud Flotilla mesti tahu. Dan, bukan saya menuduh mereka jahil geopolitik. Belayar di tengah laut tentulah mereka sudah meningkatkan kepandaian belaka. Pun, berada di dalam busa lautan dengan satu tujuan untuk memecah kepungan Gaza, mereka juga mesti beroleh gambaran menyeluruh, ‘big picture’ kata orang putih.
Apa sebab Zionis boleh selamba mengebom orang sana-sini? Di Yaman, yang kalian tidak pedulikan itu, Netanyahu membunuh perdana menteri sebuah negara lain. Bayangkan sebuah agensi negara asing membunuh tujuh lapan orang menteri negara kalian. Sambil-sambil itu Zionis juga sedang selamba menggandakan keganasan di Gaza dan Tebing Barat.
Semua dilakukan dengan selamba. Dan Zionis juga mengebom Qatar dengan selamba. Geopolitik. Apa yang Qatar lakukan, datang kembali kepada Qatar. Antara tahun-tahun 2012 hingga 2023, Qatar dengan selamba mengganggu Syria. Qatar menaja puak-puak bertelagah, kumpulan militan dan pembangkang di Syria untuk menjatuhkan Bashar al-Assad. Ikhwanul Muslimin pun bukan main terlibat.
Syria ada macam-macam kekayaan. Untuk menjayakan apa yang dilakukannya, Qatar bersekali dengan Turki ikut mendanai dua projek naratif agar tidak ada siapa memihak kepada Al-Assad.
Pertama, naratif Al-Assad itu jahat dan diktator. Abdel Fattah el-Sisi, presiden Mesir pun dua kali lima tetapi tiada kempen seumpama itu. Oh ya, memang pun Al-Assad ini jahat dan bermasalah, tetapi menjatuhkannya memang tidak bijak. Kenapa, itu nanti akan diutarakan sebabnya.
Kedua, naratif untuk menjayakan projek di Syria ini ialah menabur api dalam gejala kemazhaban, sektarianisme. Al-Assad diperikan sebagai Syiah. Datang mana Bashar al-Assad itu Syiah pun tidak jelas. Padahal keluarga Al-Assad ini Alawi, dan bukan pun sebuah agama terkait dengan Islam. Bila Ali dituhankan tentulah itu sudah tiada kait dengan akidah Islam namanya. Tetapi suka tidak suka, Al-Assad ini lawan Israel.
Naratif sektarian tajaan Qatar ini terus dinyalakan apabila Iran dan Iraq berusaha menghentikan kemaraan Isis, dan HTS di Syria. Untuk menjadikannya beroleh sambutan, Qatar dan Turki menaja pula cerita Hezbollah dan Iran membunuh orang Sunni di Syria. Makanya dipakejkan Hezbollah-Iran-Al-Assad itu Syiah; militan di Syria itu pula pejuang.
Semua dongengan geopolitik ini disebarkan ke seluruh dunia, tiba di Malaysia dan dipercayai oleh orang kita. Yang paling-paling percaya ialah aktivis pro-Palestin. Maka berbondong kerja amal atas nama mangsa dan pelarian perang di Syria pun ditubuhkan. Masing-masing bukan calang-calang mengutip dana untuk rakyat Syria ini. Setahun lebih sejuta dua ringgit dikutip. Lagi sedap diasap unggun sektarianisme iaitu permusuhan Sunni-Syiah maka lagi banyak duit derma pun masuk.
Syria diperlukan dalam perlawanan kita dengan Israel. Bukan sahaja kerana ia bersempadan dengan Israel, tetapi ia juga jalan masuk Hezbollah dan Iran untuk mengekang kemaraan Zionis. Inilah kerja Hezbollah dan Iran, atau dinamai sebagai ‘axis of resistance’. Sayyid Hassan Nasrallah syahid dibunuh oleh Zionis untuk kerja ini. Tetapi Sunni tidak hairan, sebab api sektarian nyalaan Qatar dulu telah membekas.
Yang boleh harap buat kerja ini hanya Hezbollah dan Iran sahaja. Kebelakangan ini puak Houthi yang kalian tidak hairankan itu turut masuk kem perlawanan Iran dan Hezbollah ini. Hatta as-Syahid Ismail Haniyeh dan as-Syahid Yahya Sinwar pun tahu ini. Qatar, dan Turki tak payah harap. Saudi nanar dengan ‘malls’ besar dan konsert separuh bogel Jennifer Lopez.
Qatar dan Turki buat apa? Mereka jatuhkan Al-Assad yang pro-Iran itu, dan naikkan kelompok HTS iaitu Al-Jolani di Syria. Al-Jolani pun menggunting jambangnya, membuang serban, muncul di CNN, mengenakan sut, dan bertaubat dari menjadi teroris. Padahal sewaktu di Iraq dulu dia ini ahli al-Qaeda membunuh orang. Dia pun salam-salam dengan Erdogan, pemerintah Qatar, dan Trump.
Israel pun sengaja selamba menguji, Netanyahu mengebom Damsyik, terpampang secara langsung di televisyen pada 16 Julai 2025. Dan apa respons pejuang gagah berani Al- Jolani itu? Dia menyatakan Syria masih kecil dan masih lelah, tak daya melawan Israel. Tapi kalau diminta lawan dengan Iran, mereka akan lawan habis-habisan. Semua aktivis termasuk yang di Malaysia bersorak sokong.
Oh ya, di tengah pelayaran Sumud Flotilla ini juga sebuah filem mengenai Gaza, setepatnya mengenai Hind Rajab ditayangkan di Pesta Filem Venice dan memenangi tempat kedua (anugerah Silver Bear). The Voice of Hind Rajab, kisah benar seorang kanak-kanak 6 tahun yang ditembak kereta kebal Zionis dengan 355 peluru ini juga beroleh tepukan gemuruh lebih dua puluh minit, dan diambil oleh tiga orang tokoh Hollywood sebagai penerbit eksekutif. Tidak syak lagi ia adalah ‘fetishization of violence’, atau fetisyisme keganasan untuk tujuan beroleh kapital, wang, kemasyhuran di atas apa yang terjadi di Gaza. Fetisyisme keganasan ini bukan pertolongan yang jujur. Ia macam pertunjukan. Memang ia boleh membawa kesedaran sikit-sikit dan ‘standing ovation’. Tapi ia tidak menawarkan apa-apa yang konkrit untuk Palestin apatah lagi orang melarat di Gaza.
Barangkali ini juga sebabnya Iran, Hezbollah, dan Ansarallah di Yaman tidak ikut terlibat secara langsung (walaupun tidak membantah) dengan aktiviti ‘pameranisasi’ pelayaran flotilla ke Gaza ini.
Sebab ia memang pameran pun. Dan itu juga sebabnya mereka lebih memilih mengebom kembali Israel dalam kerja-kerja penentangan mereka. Mereka bukan lempar kata-kata, tapi lempar peluru berpandu teknologi tinggi. Dulu kerja itu tidak susah kerana Bashar al-Assad di Syria turut anti-Israel, dan memberi jalan kepada mereka untuk
menggasak Zionis. Hezbollah memang bertempur di medan hadapan dengan Zionis di Syria zaman Al-Assad. Hari ini kerja Iran itu susah, peluru berpandu mereka tidak jatuh semuanya di Tel Aviv. Saudi, Qatar, Turki dan Jordan tolong tembakkan bagi pihak Israel.
Al-Jolani sendiri angkat tangan menyatakan Syria di bawah HTS tidak akan lawan Zionis. Lawan suam-suam kuku bolehlah. Lawan macam Turki lawan. Lawan cakap mulut. Tapi belakang masih menjual minyak dan makanan ke Tel Aviv.
Qatar sekutu Amerika Syarikat pun dibom oleh Israel. Setakat 40 buah lebih kapal, apa sangat. Geopolitik.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.