
Satu surat yang dihantar untuk siaran portal berita Malaysiakini 28 Ogos lalu amat menarik, ditulis oleh Ketua Bersatu Cawangan Padang Jawa, Ahmad Azarul. Diberi tajuk ‘Bersatu perlu lakukan perubahan segera’, surat itu sekadar 19 perenggan tetapi padat. Meskipun ditulis oleh hanya pemimpin peringkat cawangan, ia wajar diberi perhatian.
Ia dimulakan dengan penulis menyatakan Bersatu kini dalam fasa mencabar untuk mengekalkan kerelevanan pada pandangan rakyat. Menurut beliau, beberapa kelemahan dalaman menyebabkan parti boleh dikatakan terperangkap dan gagal meraih sokongan masyarakat secara konsisten.
Azarul berpandangan punca utama ialah kegagalan parti untuk benar-benar berperanan sebagai pembela rakyat. Menurut beliau, Ahli Parlimen Perikatan Nasional sudah berusaha keras memperjuangkan isu rakyat di Parlimen tetapi usaha mereka seakan-akan tidak mendapat dukungan sewajarnya daripada parti.
Kata beliau lagi, untuk menjadi pembangkang yang berkesan sepatutnya wujud kerjasama erat antara parti dan Ahli Parlimen, “malangnya hari ini wakil-wakil rakyat pembangkang dilihat bergerak sendiri tanpa sokongan padu daripada parti.”
Azarul bercakap mengenai ‘wakil rakyat pembangkang’, ertinya bukan sekadar partinya sendiri. Mungkin apa yang beliau cakap mengenai Bersatu tidak dipertikaikan kerana beliau orang Bersatu tetapi adakah kata-kata beliau juga terpakai untuk PAS? Selama ini anggapan umum ialah wakil rakyat PAS mendapat sokongan PAS secara total.
Apa pun, surat Azarul dilihat sebagai nasihat dan pandangan untuk memperbetulkan Bersatu lantas beliau mencadangkan beberapa langkah transformasi termasuk rombakan struktur kepimpinan serta penyusunan semula barisan kepimpinan parti, dan pengukuhan jentera parti di semua peringkat.
Yang paling penting dilakukan ketika ini, kata beliau, ialah “proses transisi kuasa kepada Timbalan Presiden Hamzah Zainudin perlu dipercepatkan”. Azarul memberi sebab bagi menjustifikasikan saranannya iaitu dengan memaparkan kehebatan Hamzah. Saya tidak perlu ulanginya tetapi bagi saya this is the crux of the matter.
Jika diambil kira apa yang dihuraikan Azarul, apa yang ramai sudah tahu telah disahkan yakni memang ada pasukan dalam parti yang mahu Muhyiddin Yassin digantikan oleh Hamzah. This is an open secret walaupun tanpa surat Azarul.
Persoalannya adakah Azarul bercakap bagi pihak sendiri atau beliau mewakili majoriti atau kelompok tertentu dalam parti? Adakah kumpulan yang mahu Muhyiddin digantikan lebih ramai daripada kumpulan yang mahu Muhyiddin kekal atau sebaliknya? Tidak dinafikan ada tim Muhyiddin, ada tim Hamzah dan ada tim Azmin Ali. Persoalan siapa lebih power.
Presiden Bersatu selama ini ialah pengerusi PN dan dijadikan calon PN untuk jawatan perdana menteri meskipun PAS parti terunggul dalam gabungan itu. Sejak kebelakangan ini PAS mahu struktur kepimpinan PN dirombak, sekali gus parti itu dilihat menyokong Hamzah dijadikan pengerusi PN.
Dalam pada itu, Selasa lalu FMT memetik penganalisis berkata sudah tiba masa PAS sendiri menonjolkan calonnya untuk jawatan perdana menteri PN atau jadi poster boy PN pada PRU16.
Menjelang Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu hujung minggu ini ada dakwaan wujud gerakan untuk mendesak perwakilan membawa usul mengekalkan Muhyiddin selaku calon perdana menteri PN. Lantas Ketua Bersatu Ipoh Timur Muhammad Fadhli Ismail mengingatkan ahli tidak membawa usul berkenaan kerana itu “hanya akan merosakkan imej presiden”, membayangkan seolah-olah beliau tidak mendapat sokongan jitu.
Hakikatnya Muhyiddin menghadapi tekanan dalam parti dan gabungan PN. Baru-baru ini ada pihak membangkitkan soal kesihatan beliau pula. Tampil Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali menegaskan Muhyiddin berada dalam keadaan baik dan sedang giat membuat persiapan untuk perhimpunan Sabtu dan Ahad ini. Azmin dilihat sebagai orang kuat presiden dan dikatakan tidak sehaluan dengan Hamzah.
Bagi saya masalah bermula pada perhimpunan agung tahunan 2023. Muhyiddin mengumumkan akan berundur iaitu tidak akan mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan parti 2024 namun dua hari kemudian beliau u-turn. Muhyiddin mahu kekal sepenggal lagi, katanya.
Maka timbul spekulasi Hamzah, yang ketika itu setiausaha agung Bersatu, akan mencabar Muhyiddin untuk jawatan nombor satu pada pemilihan 2024. Dikatakan juga Azmin akan mencuba nasib sekurang-kurangnya jawatan timbalan presiden yang disandang Faizal Azumu waktu itu.
Namun pada Julai tahun lalu, Muhyiddin mengumumkan apa yang disifatkan ramai sebagai ‘formula damai’ ketika Bersatu bergelora. Menurut formula itu, Hamzah dinaikkan ke jawatan timbalan presiden. Faizal memberi laluan dan menawarkan diri untuk jawatan naib presiden — ‘rela’ turun pangkat. Azmin dilantik setiausaha agung bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Hamzah. Jelas ‘formula kompromi’ walaupun Azmin dipercayai tidak happy. Oh hampir lupa, Muhyiddin kekal presiden.
Ada dalam kalangan pemimpin akar umbi menyifatkan langkah Muhyiddin buat u-turn melemahkan moral akar undi. Realitinya pada permukaan Bersatu dilihat aman tetapi di sebalik keamanan ada undercurrent kuat dan ada puak-puak bertelagah.
Saya kira keadaan ini berterusan sehingga hari ini. Kumpulan yang mahu Muhyiddin digantikan jelas tidak boleh tunggu sehingga 2027 apabila tempohnya sebagai presiden tamat. Mereka mahu beliau undur atau digantikan sebelum PRU16. Muhyiddin pula nampak gaya mahu mengetuai cabaran PN pada pilihan raya itu, lantas tajuk artikel ini.
Bolehkah dikatakan PN juga tidak bersatu?
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.