Lain macam cara ‘deal’

Lain macam cara ‘deal’

Perbincangan damai Rusia-Ukraine Jumaat lalu dinamakan 'Trump–Putin Summit' diadakan tanpa kehadiran Presiden Volodymyr Zelenskyy.

Mohsin Abdullah

Anda sedang bergaduh dengan si polan. Lamalah juga berkelahi. Tampil si anu menyatakan boleh damaikan anda dengan si polan. Caranya adakan perbincangan. Anda setuju.

Maka si anu pun atur ‘table talk’. Si polan dijemput hadir. Yelah dia kenalah duduk di meja rundingan. Si anu tukang atur bertindak sebagai ‘negotiator’. Orang tengahlah. Kehadiran anda bagaimanapun tidak diperlukan. ‘You are not invited’. Pelik tak?

Begitulah keadaannya perbincangan damai Rusia-Ukraine Jumaat lalu yang dinamakan ‘Trump–Putin Summit’ di Anchorage, Alaska. Beberapa hari sebelum itu media ‘hype’ amat dirasai. Vladimir Putin dijemput hadir lalu hadir. Betullah tu kerana negaranya terbabit secara langsung dalam peperangan dengan Ukraine. ‘Putin is an interested party’.

Presiden AS Donald Trump selaku penganjur bertindak sebagai orang tengah. Tetapi, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy tidak dijemput hadir. Padahal negaranya berperang dengan Rusia. Zelenskyy seperti Putin ialah pihak berkepentingan. Oh ya. Negara Nato pun tidak diminta hadir dalam apa jua kapasiti meskipun negara Eropah ada kepentingan terus dan terkesan dengan konflik Rusia-Ukraine.

Saya ulang. Pelik sidang Trump – Putin yang diatur Trump. Oleh kerana Zelenskyy tidak hadir maka Trump boleh dilihat bertindak dan bercakap bagi pihak Ukraine dan presidennya. Saya gunakan sekali lagi istilah ‘pelik’ kerana si orang tengah yang tugasnya jadi orang tengah dan mengadili perbincangan turut ambil peranan jurucakap atau jururunding Ukraine.

Ertinya, Trump yang mengemukakan tuntutan Ukraine. ‘This is assuming’ beliau ada minta dan dapati daripada Zelenskyy apa yang Ukraine mahu dibawa ke meja rundingan.
Apa yang telah dilaku atau tidak dilakukan Trump sebelum sidang di Alaska berlangsung, beliau seakan ada hak atau diberi hak (oleh dirinya sendiri) untuk ‘negotiate’ bagi pihak Ukraine.

Maksudkan Trump beri tahu Putin apa yang Ukraine perlu (menurut pandangan beliau sendiri?) dan putuskan sama ada apa yang Putin tuntut pula akan diterima oleh Zelenskyy.

Persoalannya betulkah apa diutarakan Trump yang katanya datang daripada Zelenskyy benar-benar datang daripada presiden Ukraine? Dan jika apa dikemukakan Putin ditolak adakah Trump memang pasti Zelenskyy akan tolak? Atau beliau bertindak berdasarkan naluri atau apa yang beliau sendiri percaya semata-mata?

Memang penting untuk Zelenskyy hadir untuk beri pandangan, proposal dan ‘counter proposal’ secara terus kepada Putin dan dengan reaksi dan kata-kata Putin dengan sendiri bukan menerusi orang tengah. Saya kira Putin juga mahu beri kata keduanya kepada Ukraine secara langsung dan dengar reaksi Zelenskyy dengan telinga sendiri bukannya menerusi Trump.

Namun, ‘the fact’ Putin setuju datang meskipun tahu Zelenskyy tidak akan hadir boleh dilihat beliau senang dengan ‘arrangement’ sebegitu. Atau mungkinkah beliau memang tidak mahu berjumpa dengan Zelenskyy?

Mengambil kira permusuhan mereka berdua yang berlarutan? Apa pun, oleh kerana ‘Trump–Putin summit’ diadakan seperti yang telah diadakan, bukanlah memeranjatkan tiada jalan penyelesaian dicapai. Bak kata agensi berita antarabangsa dan pemerhati ‘the summit ended without a deal’. Meskipun ramai juga yang zahirkan penghargaan kepada
Trump yang mahu cari penyelsaian perang Rusia – Ukraine.

Trump sememangnya menggelarkan diri sebagai presiden keamanan. Tempoh hari apabila Thailand dan Kemboja setuju laksanakan gencatan senjata, Setiausaha Akhbar White House Karoline Leavitt mendakwa itu hasil usaha Trump lalu mahu bosnya diberi Hadiah Nobel Keamanan.

Setelah Trump – Putin summit tidak melahirkan apa-apa ‘deal’, Trump sekarang bercakap mengenai apa yang perlu ialah ‘a peace plan’ bukan ‘a ceasefire’. Ertinya pelan damai terus bukan gencatan senjata. Benar tetapi pada hemat saya gencatan senjata langkah pertama ke arah keamanan. Bukankah bagus ada gencatan senjata (untuk pastikan tiada lagi nyawa rakyat kedua-dua negara hilang) sementara tunggu pelan damai dicapai?

Oleh kerana Zelenskyy tidak hadir di Achorage Jumaat lalu, beliau hari ini berada di Washington untuk bertemu Trump. Diberitakan Zelenskyy akan disertai pemimpin Eropah “after Trump dropped both his push for a ceasefire and the threat of punitive actions against Russia following his Alaska summit with Putin,” kata Al Jazeera.

Selama ini menjayakan gencatan senjata di Ukraine adalah antara ‘core demands’ Trump sebelum sidang di Alaska diadakan. Sekarang seperti dikata tadi Trump sudah ubah pendirian. Dan pemimpin Eropah mula bimbang jika Trump tandatangan perjanjian yang lebih menyenangkan atau ‘favourable’ kepada Putin. Adakah ini bermaksud Trump ada hak menandatangani perjanjian bagi pihak Ukraine?

Pelik kata saya lagi. Sungguh saya tidak faham. Dalam pada itu Zelenskyy mengalu-alukan usaha Trump mahu hentikan peperangan tetapi mengingatkan ‘it may take a lot of effort to get Russia to have the will to implement far greater peaceful coexistence with its neighbours for decades’.

Bila bercakap mengenai usaha Trump untuk keamanan dan perdamaian di Ukraine-saya tidak dapat elak bertanya – apa sudah jadi dengan usaha damai dan gencatan senjata di Gaza? Bukankah ‘presiden keamanan’ bercakap dengan banyak beberapa bulan lalu? Ribuan rakyat Palestin masih menderita, masih kebuluran dan masih dibunuh oleh tentera dan peneroka Israel. Nampaknya hasrat sudah diabaikan dan Trump tidak ada masalah Benjamin Netanyahu sekarang bercakap mengenai ‘a greater Israel’.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.