Kes Zara: Hebahan perlu kerap

Kes Zara: Hebahan perlu kerap

Polis perlu tampil berkongsi maklumat dan perkembangan siasatan seperti dinanti-nantikan ramai.

hishamuddin-aun

Ronald Kiandee mengandaikan di Parlimen pada Selasa bahawa terdapat pengabaian terhadap proses dan prosedur berkaitan siasatan kes kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Zara Qairina Mahathir, pada 17 Julai lalu hingga mencetus ketidakpuasan hati ramai.

Jika benar andaiannya itu, maka ia sesuatu yang serius hingga pihak-pihak yang patut mendapat pembelaan boleh dinafikan keadilan kesudahannya.

Zara ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang di asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Queen Elizabeth I keesokannya. Kematian pelajar Tingkatan 1 itu mencetuskan perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli membabitkan pelajar senior di sekolah berkenaan.

“Ini yang mengundang persepsi dan tanggapan rakyat seolah-olah ada sesuatu yang disembunyikan. Sebab itu teguran daripada masyarakat perlu diambil kira. Siasatan ke atas siasatan (awal kematian Zara) perlu dilakukan,” kata Ahli Parlimen Beluran itu ketika mencelah perbahasan Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin dalam perbahasannya sebelum itu menuntut penjelasan daripada polis mengenai alasan tidak mengarahkan bedah siasat ke atas jasad Zara sejurus kematiannya — satu prosedur biasa dalam kes kematian mengejut tanpa sebarang permintaan mana-mana pihak ditambah pula ada kesan lebam di tubuhnya.

Sambil menggesa menteri dalam negeri dan menteri pendidikan membentangkan kepada Dewan Rakyat laporan terperinci berhubung kes terbabit, ketua whip Perikatan Nasional (PN) itu bersetuju dengan celahan Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) supaya satu siasatan ke atas siasatan sebelumnya hendaklah merangkumi perkara-perkara seperti mengenal pasti pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam siasatan yang tidak dilaksanakan dengan sempurna.

Banyak perkara sebelumnya yang dilihat terlengah atau gagal diambil tindakan segera, siasatan yang diragui kerana dilihat tidak menyeluruh dan hampir tiadanya hebahan rasmi cenderung membuat ramai lebih percayakan kebanjiran kandungan berkaitan di TikTok, yang ditepis pihak berkuasa sebagai spekulasi dan cubaan timbulkan persepsi buruk semata-mata.

Pada 28 Julai — lebih 10 hari selepas kejadian tragis Zara dikatakan terjatuh dari tingkat tiga asramanya — Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun memaklumkan siasatan teliti sedang dijalankan daripada semua sudut sambil menggesa orang ramai untuk bertenang dan mengelakkan spekulasi.

Pada waktu itu, Zara sudah selamat dikebumikan tanpa proses bedah siasat hinggalah ibunya Noraidah Lamat pada 1 Ogos lalu meminta dua peguam menguruskan proses bagi membolehkan kubur anaknya digali semula untuk melakukan bedah siasat. Susulan arahan AGC supaya kubur Zara digali semula, proses bedah siasat selama lapan jam selesai dilakukan di Hospital Queen Elizabeth I pada 10 Ogos.

Bukan setakat bedah siasat segera yang tidak dibuat selepas kematiannya, malah perihal jasadnya yang masih utuh selepas 23 hari dikebumikan — wajahnya dikatakan kekal seperti sebelum dikebumikan daripada apa yang diceritakan ibunya — tambah menarik perhatian ramai untuk mengikuti kes hingga selesai.

Sidang Dewan Rakyat pada 30 Julai turut mendengar kes kematian Zara, antaranya daripada Takiyuddin yang mempersoalkan jika ia mempunyai kaitan dengan orang kenamaan hingga mengganggu ketelusan proses siasatan dan pengurusan kes.

Menyusuli pengumuman pertama tiga hari kemudian, Jauteh berkata seramai 60 individu membabitkan kakitangan sekolah, ibu bapa dan pelajar — termasuk tiga dengan nama ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘Tomboi’ yang banyak ditularkan — telah direkod keterangan mereka.

Sambil menafikan kes itu membabitkan anak atau ahli keluarga kenamaan, Jauteh tidak menolak kemungkinan wujud unsur buli, namun menyerahkan kepada Bukit Aman untuk analisis menyeluruh. Siasatan, katanya, mengambil sedikit waktu seiring kemahuan netizen yang menuntut siasatan menyeluruh.

Soalnya mengapa kelewatan berlaku?

Ketua Polis Negara (KPN) Mohd Khalid Ismail, kecuali mengeluarkan amaran pada 6 Ogos supaya penularan kandungan tidak tepat di media sosial dihentikan kerana boleh mengganggu siasatan, hairannya tidak pula menangani kes itu seperti sepatutnya dengan mengadakan sidang media untuk wartawan bertanyakan soalan. Kita melihat banyak kes ‘sensasi’ pada masa lalu yang menyaksikan libat urus KPN dengan media secara kerap — kes simbah asid pemain Selangor FC Faisal Halim dan siasatan kes bunuh kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin sekadar menyebutkan beberapa.

Perginya Zara — anak tunggal manja berperwatakan baik dan sangat rapat dengan ibunya — bukan dilihat satu kes yang biasa-biasa.

Kematiannya selain diratapi ramai segera mencetuskan reaksi massa di media sosial, dengan ramai yang percaya dia menjadi mangsa buli. Lagu ‘Justice for Zara’ tidak henti-henti dimainkan di TikTok bagi merakamkan simpati terhadap pemergiannya di samping menjadi ingatan supaya dia dan ibunya mendapat keadilan sepatutnya. Tiada sidang media KPN diadakan untuk meredakan keresahan ramai atau menolak pelbagai andaian yang ditularkan hingga mendorong ribuan berhimpun di sekitar dataran Harbour Mall, Sandakan untuk menuntut keadilan terhadap Zara pada 8 Ogos lalu.

Kebetulan pada 8 Ogos jugalah, Jabatan Peguam Negara (AGC) memulangkan kertas siasatan kepada polis memaklumkan kubur Zara perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan demi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh. Ia memerlukan dua minggu hingga tiga bulan untuk laporan bedah siasat disiapkan, itu pun ia bukanlah dokumen awam melainkan hanya untuk membantu siasatan polis dan prosiding mahkamah.

Apa pun, Bukit Aman dilaporkan pada Isnin telah menghantar satu pasukan petugas khas — sembilan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) — ke kontinjen polis Sabah bagi mengambil alih siasatan kes kematian Zara.

“Penghantaran pasukan ‘task force’ ini adalah sebahagian daripada komitmen pihak polis untuk memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh. Pihak polis memandang serius setiap kes yang membabitkan kehilangan nyawa,” kata polis dalam kenyataan.

Pada Selasa pula, Kementerian Pendidikan mengumumkan akan menempatkan sementara pengetua, penolong kanan hal ehwal murid (HEM) serta semua warden SMKA Tun Datu Mustapha di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sehingga siasatan polis selesai.

Sebenarnya langkah-langkah seperti inilah yang ditunggu-tunggu masyarakat untuk mereka diyakini bahawa ada perkembangan positif dalam siasatan selepas kecewa dengan tindakan awal yang dilihat mereka seperti acuh tak acuh.

Seboleh-bolehnya tiada siapa harus ganggu siasatan polis yang terikat kepada etika tugas tapi pada masa sama hendaklah bersikap telus tanpa mengabaikan prosedur.

Dalam pada polis mengingatkan orang ramai berhenti membuat spekulasi mengenai kes kematian Zara, sukar untuk ia dibendung andainya orang ramai yang terharap-harapkan perkembangan dari semasa ke semasa terus ternanti-nanti.

Terkini pada Rabu, AGC memutuskan untuk mengadakan inkues berhubung kematian Zara selepas meneliti laporan siasatan yang disediakan polis kelmarin untuk menentukan punca dan sebab kematian, termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya.

Kes ini pasti ada pengakhirannya dan sehingga itu berlaku diharapkan akan ada hebahan rasmi dengan lebih kerap termasuk jika ada penahanan dilakukan agar ia tidak terus mengundang spekulasi yang tidak diinginkan.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.