Bersekolah sehingga 16 tahun sahaja?

Bersekolah sehingga 16 tahun sahaja?

Ada yang melihat ini satu bahaya besar, sama bahayanya ketika kita tergesa-gesa menurunkan usia mengundi untuk anak-anak.

faisal tehrani

Bukan Rafizi namanya kalau tidak geger dengan idea. Bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli, minggu lalu melemparkan satu idea yang perlu diberi perhatian lebih. Idea tersebut adalah agar kerajaan menetapkan umur berakhir persekolahan di usia 16 tahun. Ahli Parlimen Pandan ini percaya batas akhir 16 tahun ini bakal memberi peluang kepada Gen Z, Gen Alfa dan seterusnya Gen Beta untuk menyertai dunia pekerjaan pada usia lebih muda. Dalam erti kata lain, di usia 21 tahun; anak-anak kita akan memasuki sektor pekerjaan. Kata Rafizi lagi, ia juga satu pendekatan untuk menangani Malaysia ke arah negara menua. Cadangan Rafizi ini dikemukakan ketika perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.

Tentu, komen netizen agak negatif. Ada yang menyerang peribadi beliau dan terdapat juga mentertawakan rencana ini. Di pihak lain, ada yang melihat ini satu bahaya besar, sama bahayanya ketika kita tergesa-gesa menurunkan usia mengundi untuk anak-anak.

Akan tetapi, adakah cadangan Rafizi ini mentah? Atau betul-betul dilemparkan tanpa asas atau jejak? Tidak juga.

Di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia; saya mengelolakan sebuah program yang dinamai Kursus Intensif Keterampilan Bahasa Melayu Untuk Penutur Asing. Salah satu kelompok yang paling kerap hadir untuk belajar Bahasa Melayu ini tidak lain tidak bukan adalah pelajar dari Australia, selalunya menerusi program Colombo Plan.

Saya memerhatikan sejak lama, pelajar-pelajar ini sangat muda, dan ada pun memiliki Sarjana seawal usia 23 atau 24 tahun. Apabila saya menanyakan kepada mereka, pelajar memberitahu sistem persekolahan di Australia merangkumi 13 tahun pendidikan, di mana pendidikan wajib bermula di usia 6 tahun dan akan berterusan sehingga tamat di usia 16 tahun. Dalam erti kata lain, di usia pelajar kita baru sahaja usai pendidikan universiti mereka, pelajar di Australia sudah pun mempunyai pengalaman kerja.

Pemerhatian saya mendapati pelajar Australia yang hadir di institut saya tersebut memang lebih matang dari segi observasi kehidupan, dan lebih canggih memberi idea, berdiskusi dan menyatakan pendirian lagi sikap. Kita tidak boleh menafikan iklim dan persekitaran politik, budaya dan ekonomi Australia sangatlah berbeza dengan kita. Negara tersebut adalah negara penghijrah.

Australia mempunyai satu unsur DNA dengan Malaysia, kita sama-sama adalah Komanwel atau bekas takluk British. Idea Rafizi ini jika dibandingkan dengan sistem pendidikan di United Kingdom (UK) tidak begitu menjolok mata. Di UK, pendidikan wajib bermula pada usia 5 tahun dan diteruskan sehingga di usia 16 tahun, merangkumi semua sekolah rendah dan menengah. Setelah itu pelajar boleh memilih untuk melanjutkan pendidikan seperti A-levels; atau latihan vokasional. Atau, mereka juga boleh memilih memasuki alam pekerjaan. Sebuah lagi sistem pendidikan yang tamat persekolahan di usia 16 tahun adalah di Finland yang memang tersohor lantaran memberi penekanan kepada kesaksamaan dan pembangunan holistik, seiring dengan kesejahteraan pelajar. Sistem persekolahannya adalah antara usia 7–16 tahun, yang mana tunjangnya adalah pembangunan profesional.

Secara rata-ratanya sistem pendidikan di negara kita adalah menyamai sistem pendidikan yang ada di sebahagian besar negara di benua Asia. Jepun sebagai misalan mengambil struktur 6-3-3-4, iaitu enam tahun di sekolah rendah; tiga tahun di sekolah menengah rendah; diikuti tiga tahun bersekolah di menengah atas; lalu diikuti dua atau tiga tahun di peringkat kolej junior atau empat tahun universiti. Ini bermakna pendidikan wajib menempuh sembilan tahun pertama, iaitu sekolah rendah dan sekolah menengah rendah.

Negara yang saya sebutkan di atas semuanya adalah negara yang dihujahkan sebagai negara maju. Negara maju dalam kalangan dunia Islam seperti Iran (ingat kemajuan Iran melongokan semua, apabila mampu membedil Tel Aviv) pula menjadikan sistem pendidikannya dibahagikan kepada tahap rendah, menengah, dan pasca menengah. Pendidikan rendah diwajibkan sejak usia 6 tahun dan berlangsung selama enam tahun. Ini diikuti pendidikan menengah, selama enam tahun lagi, di mana pelajar memilih di antara pelbagai aliran akademik, vokasional, atau kemahiran di peringkat menengah atas. Hanya kemudian pelajar akan memasuki pula peringkat universiti.

China menyusun fasa pendidikan asasnya selama 12 tahun sebelum diikuti pendidikan tinggi. Sembilan tahun pertama di peringkat rendah dan menengah rendah adalah wajib, percuma, dan tumpuan diberikan hanya kepada pembelajaran asas. Setelah itu kelak, pelajar boleh memilih antara pendidikan menengah akademik atau vokasional. Persaingan untuk memasuki universiti di China sangat sengit, di mana peperiksaan Gaokao dihadapi dengan penuh stres, pancaroba dan tekanan yang dahsyat.

Terdapat satu sistem pendidikan yang agak khas dan terkeluar dari semua di atas. Ini saya temukan saat saya melakukan pemukiman di Koln dan Bonn pada 2006; dan ketika pasca doktorat saya di Jerman pada 2012. Sistem pendidikan Jerman dianggap begitu khusus kerana negara ini telah siap-siap menyalurkan pelajar ke laluan pendidikan berbeza pada usia awal. Pendidikan wajib adalah untuk anak-anak dari usia enam santak 15 tahun, di mana mereka wajib bersekolah sepenuh masa di peringkat rendah dan menengah. Sistem pendidikan Jerman sangat menekankan aspek latihan vokasional (VET). Rata-rata rakyat Jerman di usia muda terdedah atau memiliki pendidikan vokasional pasca menengah sebagai kelayakan tertinggi mereka.

Perbandingan yang saya berikan di atas memang belum terperinci memandangkan ruangan ini pun terhad. Kita belum tahu buruk baik tiap pilihan yang ada. Satu kajian menyeluruh dan sangat berhati-hati perlu dilakukan. Secara dasarnya idea Rafizi menarik dan tidak boleh diketepi atau dibodohkan tanpa sebab.

Negara berkembang, dan kita juga tahu tuntutan reformasi serba-serbi diperlukan untuk merombak segala yang kuno, purba dan basi. Sekiranya kerajaan Madani berani, idea ini boleh mulai digulir dan diwacanakan secara meluas. Saya tidak katakan ia mesti dilaksanakan, saya cuma mahu ia dibincangkan dengan fikiran jernih. Segala pengalaman luar kita sorot dan kita padankan dengan diri.

Alasan negara menua yang diutarakan Rafizi tidak dapat kita buang ke tepi begitu sahaja. Idea ini lebih segar berbanding menaikkan usia atau aras persaraan.

Sebenarnya Malaysia berhak mendapat yang terbaik. Masalah Malaysia ialah orang politik. Mereka tiada kekuatan politik, mereka memusuhi niat baik rakyat, dan masing-masing ada agenda.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.