Usah hipokrit dalam berpolitik

Usah hipokrit dalam berpolitik

Apakah kita benar-benar ikhlas dalam mendukung nilai keterangkuman dan keadilan dalam politik?

Jun lalu, kemenangan Zohran Mamdani dalam pemilihan calon Parti Demokratik untuk pilihan raya datuk bandar New York mencuri perhatian ramai rakyat Malaysia. Di media sosial, berita kemenangan pemuda Muslim kelahiran Kampala, Uganda dan berketurunan India itu dikongsi berulang kali, disertai pujian terhadap sistem politik Amerika Syarikat yang kononnya lebih terbuka dan meritokratik.

Namun, dalam nada sama, ramai juga dalam kalangan kita masih tidak bersedia menerima bahawa seorang bukan Melayu-Islam — walaupun warganegara Malaysia yang lahir, membesar, dan menyumbang kepada negara — boleh memegang jawatan seperti menteri besar, ketua menteri, apatah lagi perdana menteri. Jauh sekali untuk seorang imigran membayangkannya, tetapi perkara ini memerlukan satu lagi penulisan pada masa yang lain.

Di sinilah muncul satu persoalan yang tidak boleh dielak: Apakah kita benar-benar ikhlas dalam mendukung nilai keterangkuman dan keadilan dalam politik?

Mengapa kita begitu cepat memuji kejayaan individu daripada kumpulan minoriti di luar negara, tetapi masih menutup pintu kepada peluang yang sama dalam negara sendiri? Kita bangga apabila Zohran Mamdani, Alexandria Ocasio-Cortez, atau Sadiq Khan mencapai kejayaan dalam arena politik dunia, tetapi kita sendiri masih dibelenggu ketakutan bahawa keterbukaan seperti itu akan ‘menggugat kestabilan’ negara.

Hujah yang paling lazim digunakan: Malaysia berbeza daripada negara lain. Kononnya, sensitiviti kaum dan agama menjadikan pelantikan pemimpin bukan Melayu-Islam sebagai sesuatu yang ‘tidak sesuai’. Tapi realitinya, hal ini lebih berkait dengan ketakutan politik dan permainan persepsi.

Perlembagaan tidak menghalang bukan Melayu-Islam daripada menjadi perdana menteri (walaupun undang-undang tubuh beberapa negeri meletakkan syarat ini untuk jawatan menteri besar). Namun, dari segi praktikal, sistem politik kita meletakkan garis pemisah yang tidak dinyatakan dalam undang-undang, tetapi tetap wujud dalam budaya politik dan minda masyarakat.

Kita marah apabila melihat umat Islam atau kumpulan minoriti dipinggirkan di negara lain. Kita lantang bersuara menentang Islamofobia dan perkauman di Barat. Tetapi mengapa kita berdiam diri apabila diskriminasi yang serupa berlaku di Malaysia — hanya dalam bentuk dan nama yang berbeza?

Kita memuji sistem yang membenarkan seseorang seperti Zohran Mamdani bangkit menjadi pemimpin, tetapi kita cemas apabila rakyat Malaysia sendiri, daripada kaum minoriti, diberi ruang yang sama. Sistem politik kita masih sangat bergantung pada garis etnik, dan sebahagian jawatan politik utama hanya terbuka kepada satu kaum (dan agama) atas alasan sejarah atau perjanjian sosial yang sering dimanipulasi untuk tujuan politik.

Terbuktilah, sebenarnya ini bukan lagi soal kesetiaan, kelayakan atau kemampuan. Ini hanyalah soal taktik politik yang takut kehilangan kuasa. Seperti takutkan bayang-bayang sendiri.

Ironi ini juga terserlah dalam satu lagi aspek penting politik negara, iaitu pendanaan politik. Kita sering mengecam sistem di Amerika Syarikat yang membolehkan golongan kaya dan korporat mempengaruhi pentas politik melalui sumbangan berjuta dolar, sama ada sewaktu kempen pilihan raya atau sebaliknya, sehingga mengundang dominasi elit terhadap dasar awam. Hal ini dapat disaksikan dengan jelas dalam kempen pilihan raya presiden AS yang baru sahaja berlalu, di mana kedua-dua Donald Trump dan Kamala Harris telah mengumpul dana sumbangan berbilion dolar dalam usaha mereka memenangi jawatan tersebut.

Namun, di Malaysia usaha untuk membendung masalah sama amat perlahan. Janji untuk mewujudkan Akta Pendanaan Politik berulang kali disebut sejak lebih sedekad lalu, tetapi masih belum dilaksanakan. Kurangnya iltizam politik untuk menggubal undang-undang ini mendedahkan satu lagi bentuk hipokrasi: kita tidak suka ketidaktelusan di tempat lain, tetapi tidak berbuat apa-apa untuk mengatasinya di negara sendiri.

Sementara itu, pemimpin yang benar-benar berdikari dan tidak bergantung pada ‘orang kaya’ sering dipinggirkan, lebih-lebih lagi jika mereka bukan Melayu-Islam. Beberapa kes dakwaan pecah amanah melibatkan ahli politik, sama ada yang sedang dibicarakan di mahkamah atau telah diberikan penghakiman juga merupakan kesan langsung negara kita tidak mempunyai satu perundangan mengenai pendanaan politik, menyebabkan dana politik tidak boleh dikawal selia dan dipantau dengan penuh ketelusan.

Jika kita benar-benar mahu melihat Malaysia sebagai negara demokrasi yang matang dan maju, kita perlu bersikap jujur tentang kelemahan kita. Keterangkuman dan keadilan tidak boleh hanya dipuji apabila berlaku di negara lain. Ia juga mesti dituntut dan diamalkan di sini, di tanah air sendiri.

Malaysia hanya akan menjadi lebih matang dan maju apabila semua rakyatnya diberi peluang yang adil untuk memimpin, tanpa mengira bangsa atau agama. Meritokrasi yang sebenar tidak mengenal warna kulit. Demokrasi yang tulen tidak patut dikuasai oleh sentimen kaum dan kuasa wang.

Sikap kita ini amatlah bertepatan dengan peribahasa kuman di seberang lautan tampak, gajah di pelupuk mata tiada tampak. Mungkin sudah tiba masa kita berhenti meraikan kejayaan di luar sana jika kita sendiri masih takut melihat ia berlaku di sini.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.