
Baru-baru ini, berlakulah demonstrasi ‘Turun Anwar’. Pelbagai angka diberikan oleh pihak terlibat. Ada angka diberi 18,000 orang. Terdapat juga ramalan ia sekitar 20,000 orang. Yang mungkin munasabah ialah 30,000 orang. Pun semua angka ini kesasar jauh dari hasrat untuk menarik sejumlah sejuta demonstran untuk mendesak agar perdana menteri sekarang meletakkan jawatan.
Tentulah agak memalukan 30,000 orang demonstran ini berkumpul di Dataran Merdeka untuk menuntut sesuatu yang tidak jelas. Saya katakan tidak jelas, kerana tiada sebab kukuh untuk Anwar Ibrahim turun. Berbanding Najib Razak yang dilanda skandal kewangan yang besar dan merugikan negara, Anwar belum melakukan apa-apa yang terlalu busuk dan buruk. Bahkan sehari selepas demonstrasi ini berlaku, Anwar mengharumkan nama Malaysia menjadi orang tengah untuk menghentikan pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja, sebelum ia menjadi terlalu hodoh.
Memang kalau diikutkan tiada sebab munasabah demonstrasi Turun Anwar berlaku. Bahkan saya memberitahu kawan-kawan dari Timur Tengah, saya amat malu dengan demonstrasi ini. Di negara lain, khusus di Barat; kerumunan orang turun untuk menunjuk perasaan menyatakan bantahan, dan rasa jijik terhadap genosid, kebuluran dan jenayah perang di Gaza, Palestin. Sedangkan kerumunan 30,000 yang digerakkan oleh Perikatan Nasional ini menunjuk perasaan untuk hal-hal kecil.
Dua hari sebelum Turun Anwar berlaku, saya turun mengopi dengan seorang pemimpin mahasiswa Islam dari sebuah universiti tempatan. Mahasiswa ini menceritakan kepada saya arahan diberikan oleh sebuah parti pembangkang menerusi seorang pensyarah yang dirujuk sebagai ‘Dr Raja’. Dalam taklimat demo Turun Anwar, pensyarah ini menyatakan mahasiswa perlu turun demo kerana sekarang kononnya hidup siswa amat susah. Apabila saya pertikaikan definisi kesusahan itu, ternyata siswa berkenaan gagal menjelaskan apa yang disebut ‘susah’. Bukan itu sahaja, lebih melucukan ialah apabila siswa ini dikerah oleh ‘Dr Raja’ untuk mengusahakan supaya 5,000 siswa hadir dari Perlis.
Sambil tersenyum saya memikir begini, “’Dr Raja’ generasi bawah saya di universiti, tak pernah menikmati semburan gas pemedih mata dia. Ada berapa universiti di Perlis? Kalau 5,000 datang untuk Turun Anwar dari Perlis, tidakkah susut nanti Kangar atau Arau?”
Sanggahan saya seterusnya kepada siswa itu, “Seeloknya kalian semua berdemo untuk Gaza, bukan untuk naikkan Muhyiddin Yassin, atau Abdul Hadi Awang…”
Apabila aneka video dari Turun Anwar tular di pelbagai media sosial, jelas sekali kerumunan yang hadir ke Dataran Merdeka itu tidak ada sebab kuat untuk mendesak Anwar agar turun. Seorang misalnya mengarut bahawa ketika Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri pada tahun 2018, beliau telah menjual aset negara. Kita semua tahu kesilapan fakta ini. Tapi dia ini terus-terusan mendakwa diri ‘ahli akademik’.
Seorang anak muda pula bila ditanyai siapakah yang berhak menggantikan Anwar setelah beliau turun, mendadak menjawab ‘Safwan…Afnan’. Kemabukan begini menjadikan kita segera menyedari bahawa demonstrasi Turun Anwar tiada sebab yang patut. Fahamilah kita ia adalah kerumunan orang jahil.
Kerumunan, atau kehebohan beramai-ramai mempunyai sisi haiwaninya juga. Burung hering, semut merah, langau dan lalat, orang jahil; semua mempunyai satu tabiat iaitu mengerumuni sesuatu.
Elias Canetti pengarang Bulgaria yang pernah menerima Hadiah Nobel untuk Kesusasteraan pada 1981 pernah menyuarakan perihal bagaimana emosi manusia boleh dimanipulasi menjadi kerumunan. Contoh emosi yang haiwani apabila ia menjadi melampau ialah ‘ketakutan’.
Dalam bukunya yang tersohor, Crowds and Power, Canetti mencontohkan bagaimana ketakutan atau kekhuatiran boleh mempengaruhi sikap dan fikiran luar sedar manusia lantas mereka berkumpul beramai-ramai. Ketakutan dan kekhuatiran ini boleh dijana, digembar-gembur, dipalsukan, dibesar-besarkan segala aspek, ditipu dan direkayasa; lantas memanjangkan rasa ketakutan tersebut. Apabila manusia takut, mereka akan senang dibohongi dan dihalakan ke satu tujuan.
Hipotesis Canetti itu boleh diuji, dan ia terpakai apabila kita menganalisis khalayak Turun Anwar (meskipun tidak semua). Video viral daripada pelbagai demonstran yang tenggelam punca, tidak bersebab musabab, nanar, penuh pembohongan dan mengarut adalah contoh bagaimana kekhuatiran dan ketakutan telah dimanipulasi oleh sejumlah tokoh yang ingin kembali ke tampuk pemerintahan. Untuk menjayakan ini, agenda mereka haruslah memperdaya orang takut.
Orang takut dibahankan menjadi kerumunan jahil. Orang takut selalunya adalah orang jahil. Langau berhak untuk mengerumuni sampah malah ia cara hidup langau.
Pun, saya ingin menasihatkan perdana menteri dan kerajaan untuk tidak mengkesampingkan kerumunan orang jahil. Keramaian dan kehebohan yang diperkotak-katik selalunya boleh bangkit untuk melakukan kerosakan di luar duga. Canetti misalnya mengatakan, jangan terkejut tatkala orang yang takut berkumpul beramai-ramai mereka langsung hilang rasa takut pada undang-undang dan mulai merosakkan harta benda, membakar rumah dan melakukan huru-hara.
Meskipun Turun Anwar tidak sampai begitu dan hanya meninggalkan sampah sarap, tetapi barang diingat kerumunan mempunyai irama sendiri dan irama itu boleh jadi bertukar bentuk dari damai menjadi hiruk, seterusnya ganas.
Canetti sebetulnya turut mengkaji kerumunan orang ramai apabila mereka menjadi kumpulan orang yang beriman. Kerumunan orang beriman tidak sama dengan kerumunan orang tidak beriman. Sebagai contoh kerumunan demi mengerjakan haji, atau Canetti membawa contoh kerumunan orang Syiah untuk ke Karbala, dan dalam konteks Malaysia mungkin kerumunan penganut Hindu ketika Thaipusam, atau kerumunan di dataran Vatican untuk mendengar khutbah Pope Leo; semua itu adalah kerumunan dengan niat baik. Kerumunan itu memiliki objektif keagamaan.
Turun Anwar tidak ada alasan agama, atau keimanan. Sukar untuk mengejek Anwar bukan pemimpin Islam jikalau suara beliau tentang Gaza, tentang Kemboja, tentang penindasan tarif didengar umat Islam belahan lain. Ternyata belahan 30,000 ini memilih untuk menulikan telinga. Jangan silap faham, mereka berhak melakukan itu. Orang jahil berhak untuk terus jahil.
Tetapi satu yang mereka tidak berhak melakukan adalah untuk melarang orang pandai seperti anda daripada berhujah. Orang pandai tidak harus letih dan putus asa. Nabi Muhammad tidak berhenti memadanikan Quraisy. Maksud madani di sini tentulah pandai, urban dan canggih.
Lama kelamaan jika kita tegar menasihati, mendidik dan memberi mereka kefahaman dan ilmu, mereka akan akur. Misalnya, siswa persatuan Islam dari universiti tempatan itu tahu betapa dia tidak harus terus berada dalam kerumunan orang jahil. Bila saya tanyakan mengapa beliau berasa sedemikian, siswa ini membalas bijak;
“Kucing boleh diajar mengambus tahi. Tapi anjing kalau dialpakan, akan makan tahi.”
Saya menyambut, “Betul, orang Melayu mengajarkan bangsanya bahawa anjing biasa makan tahi; jika tidak dimakan mencium ada juga. Peribahasa ini bermaksud, ‘kalau sudah biasa jahat walau berhenti sekalipun menjahat juga’. Nah, sekarang jawab saya, di mana Melayunya pada kerumunan orang jahil?”
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.