Penghargaan kerajaan kepada rakyat — persoalan paling penting apa?

Penghargaan kerajaan kepada rakyat — persoalan paling penting apa?

Pengumuman Anwar boleh dilihat sebagai langkah populis, bertujuan memikat hati rakyat. Tidak ada salahnya mahukan undi. Jika populis baik untuk rakyat, OK je.

Mohsin Abdullah

Untuk menunjukkan ‘penghargaan kepada rakyat’, PMX tiga hari lalu umum apa yang beliau umum. Tidak perlu saya perinci pengumuman itu, tentu semua sudah maklum. Apa respons terhadap penghargaan itu?

Reaksi politikus pembangkang mudah dijangkakan malah sebelum umum sudah boleh agak. Reaksi ahli politik kerajaan juga boleh dijangka (walaupun Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow orang Pakatan Harapan dalam ucapan terima kasih mahu bantuan lebih menyeluruh diberi). Lalu hujah siapa yang betul? Terpulang interpretasi sendiri.

Bolehkah penghargaan kerajaan dilihat secara adil dan rasional? Orang biasa — ertinya bukan ahli parti politik tetapi propembangkang dan tidak suka Anwar Ibrahim (mereka ini termasuk kenalan saya yang anti-PMX atas sebab tertentu dan tersendiri) — akan kritik, kecam dan persenda. Sudah pun berbuat demikian. Kata mereka pengumuman dibuat kerana perdana menteri takut himpunan Turun Anwar. Saya tidak setuju kerana rasanya kerajaan tahu kemungkinan lebih ramai ahli PAS akan turun (himpunan anjuran PAS) setelah dengar pengumuman as an act of defiance.

Ada pun kata apa yang diberi kepada rakyat ibarat ‘kacang’ (tetapi sempat berkata, “aku ambil juga SARA RM100 kerana hak aku sebagai rakyat”).

Berkata aktivis media Fathi Aris Omar di Facebook:

“Kerajaan rasa beri berbilion billion tetapi rakyat rasa jumlah itu sikit. Subsidi diulang-ulang tetapi tiada yang sedar. Ada had retorika hulur bantuan. Zaman syukur kepada kerajaan sudah berakhir.”

Tidak dinafikan ada dalam kalangan rakyat yang bersyukur. Kata seorang kawan, “bagi rakyat yang layak, ambil dan bersyukurlah kepada Tuhan. Ini rezeki kita daripada duit cukai yang kita bayar.”

Berkata pula seorang lagi kawan pasal harga petrol: “Siapa yang masih kutuk harga minyak RON95 RM1.99, belilah pada harga RM2,.05. Baru adil”. Pedih dan sinis walaupun beliau bukan peminat PMX.

Rasanya anda juga ada menerima pesanan WhatsApp daripada satu persatuan penduduk rumah pangsa yang saya kira di Kuala Lumpur menyatakan sesiapa yang menolak SARA RM100 sila beli barangan dengan wang itu dan beri kepada mereka supaya boleh diagihkan kepada penghuni rumah pangsa yang majoritinya golongan B40. Pesanan lengkap dengan alamat pejabat persatuan. Kemungkinan besar bukan fake.

Menurut Anwar, semua bantuan diharap akan suntik kelegaan terutama dalam menangani tekanan kos sara hidup yang semakin mencabar. Kata wartawan veteran A Kadir Jasin:

“Baguslah sekurang-kurangnya beliau mengaku yang rakyat jelata sedang mengalami tekanan kos sara hidup yang sebahagian daripadanya disebabkan oleh dasar-dasar kerajaan Madani sendiri seperti perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan kenaikan kadarnya daripada 6% kepada 8% mulai 1 Julai lalu.”

Natijahnya, kata Kadir, kerajaan “sekadar memulangkan sebahagian hasil cukai SST yng dipungut daripada kita”. Benar — sekurang-kurangnya ada dikembalikan semula kepada rakyat, taklah dibolot semuanya.

Semasa melaksanakan dasar-dasarnya Anwar berkata semua itu untuk kebaikan negara dan rakyat lalu mempertahankannya. Bagaimana pula sekarang boleh ‘melembut’ atau ‘mengendur’ dasar berkenaan? Jika ia sememangnya baik untuk negara bukankah perlu terus dilaksanakan dalam bentuk asal?

“Pengumuman baik kita raikan. Ekonomi semakin stabil dan baik. Unjuran keseluruhan ekonomi 4.4% pada suku pertama 2025. Dijangka naik pada suku kedua kepada 4.5%. Malaysia melonjak 11 anak tangga ke kedudukan 23 dalam indeks Daya Saing Dunia 2025,” kata Azlan Zainal daripada Ilham Centre di Facebook. Ertinya bila keadaan bertambah baik bolehlah dilakukan apa yang dilakukan kerajaan dewasa ini.

Pun begitu bagi PAS, menerusi ketua penerangannya Ahmad Fadhil Shaari, apa yang diumum Anwar ialah pengumuman biasa. Rakannya daripada Bersatu, Hamzah Zainudin, pula bertanya apa kerajaan buat untuk turunkan inflasi harga makanan? Seperti dikata di awal artikel, ini memang dijangkakan. Takkan kita expect mereka memuji pula?

Bagaimanapun kenyataan Rafidah Aziz, menteri kanan dalam kerajaan Mahathir Mohamad zaman BN dulu menarik. Kata beliau menurut laporan Malaysiakini: “Tidak perlu menghargai rakyat atau mengumpan mereka hanya untuk mendapatkan undi”. Benarkah Anwar menghargai rakyat untuk dapat undi? Masing-masing ada jawapan sendiri.

Bagi saya pengumuman Anwar boleh dilihat sebagai langkah populis, bertujuan memikat hati rakyat untuk dapat undi dan menang pilihan raya kelak (walaupun lama lagi PRU16 akan diadakan). Tidak ada salahnya mahukan undi rakyat. Tidak ada salah mahu menang pilihan raya. Setiap pemimpin politik dan parti mahukan itu.
Oleh itu jika populis baik untuk rakyat, OK je kata saya. Bak dua post yang saya lihat di media sosial, penulisnya tidak saya kenali.

Kata penulis pertama: “Gula-gula yang dia bagi berkhasiat dan tak rosakkan gigi hingga ke akar.”

Kata penghantar kedua pula: “So dia mungkin populis. Tapi kalau menjadi populis buat rakyat benefit kita layankan. Kalau boleh guna si populis untuk desak dasar lebih adil lebih berani kita take it as it is.”

Jika begitu gaya tindakan pembangkang mencemuh dan mempersenda, berlebih-lebihan akan, pada pendapat saya, backfire.

Bagaimanapun kesimpulan terbaik dibuat ahli akademik Khoo Ying Hooi: “If Anwar can pivot from today’s symbolism to tomorrow’s substance, then this announcement may yet be remembered not just as a populist gift, but the beginning of a deeper shift in how Malaysia governs.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.