
Bersemangat sekali Tun Faisal Ismail Aziz dalam video TikTok terbarunya mengajak ramai-ramai menyertai himpunan ‘Turun Anwar’ di Dataran Merdeka, 26 Julai ini dengan menyalahkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai punca segala permasalahan dalam negara hari ini, seolah-olah tanpanya di tampuk kepimpinan semua masalah akan selesai.
“Bukan sebab institusi kehakiman saja, ini salah satu. Sebab selepas dua setengah tahun kita dah tak boleh tahan lagi dengan Anwar Ibrahim ni. Anwar adalah punca kerosakan dalam negara ini, Anwar adalah punca rakyat terbeban hari ini, Anwar adalah punca ekonomi kita tak berapa bagus. Kita desak Anwar segera turun, segera letak jawatan.
“Kalau semua orang dah tak yakin kepada Anwar, kalau Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan pun tak yakin, ada sembilan orang campur DAP lagi, kalau Ahli Parlimen Umno, GPS, GRS tidak yakin lagi dengan Anwar, apa lagi desak buat undi tidak percaya tapi secara rahsia, boleh tak? Saya percaya kalau hari ini buat esok kita dapat perdana menteri baru kita dapat kerajaan baru,” katanya dalam video singkat itu.
Tun Faisal — ketua penerangan Bersatu yang dahulunya dipecat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dalam suratnya bertarikh 27 Januari 2023 atas kesalahan melanggar etika ahli kerana lantang mengkritik kepimpinan parti — pun tahu himpunan 26 Julai ini sekadar mahu mengenakan tekanan ke atas perdana menteri dan tidak boleh memaksa penggantiannya.
Benar seperti dikatakannya langkah itu hanya dapat dilaksanakan melalui undi tidak percaya terhadap Anwar di Dewan Rakyat. Tapi kenapa perlu secara berahsia seperti dicadangkannya? Yakinkah beliau andai undi tidak percaya — seperti dialu-alukan Anwar sendiri — akan berjaya dengan kerajaan Madani memiliki majoriti lebih 2/3 yang kukuh dalam keadaan pakatan pembangkang pula makin bercelaru?
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin dalam pada meyakini mampu menerajui negara dengan lebih baik untuk membetulkan isu asas rakyat berbanding kerajaan perpaduan dan bukan sekadar omong kosong, mengakui bahawa sebarang perubahan kerajaan perlu melalui proses demokrasi.
Sambil menyifatkan kenyataan presiden Bersatu itu mampu menamatkan sebarang spekulasi ‘tebuk atap’ atau merampas pentadbiran sebelum habis penggal oleh pembangkang, Naib Pengerusi DAP Syahredzan Johan bagaimanapun percaya ia bukan jaminan tiada lagi percubaan menukar kerajaan selepas ini.
“Sekiranya ada pihak yang masih mengidamkan untuk ganggu gugat kerajaan, sekurang-kurangnya mereka akan menghadapi kesukaran untuk mendapat sokongan daripada Bersatu sendiri,” katanya.
Muhyiddin mengulangi dalam Himpunan Mandat Negarawan di Alor Setar pada Jumaat bahawa PN bersedia untuk menggantikan kerajaan sedia atas kepercayaan ia miliki pengalaman tadbir negara lebih baik ketika era pandemik Covid-19 di samping mempunyai formula lebih berkesan untuk mengatasi masalah ekonomi negara.
“Orang bertanya kalau Anwar Ibrahim letak jawatan siapa kerajaan yang akan memimpin negara? (Jawabnya) tak kan kerajaan yang nak ganti itu sama taraf dan martabat seperti kerajaan Madani tak munasabah, mesti lebih baik,” katanya.
Soalan itu sudah dijawab Anwar sendiri.
“Apabila ada (tekanan politik dengan diasak dari pelbagai sudut oleh pembangkang) supaya turun, saya kata Insya-Allah saya tidak akan turun kecuali kalau saya curi duit rakyat. Kalau saya curi, suruhlah saya turun. Tapi, saya tak curi duit orang,” katanya di majlis pecah tanah Kompleks Madani Teluk Kumbar, Pulau Pinang pada Sabtu.
Berucap pada sambutan Minggu Perpaduan Nasional di Stadium Batu Kawan pada hari sama, Anwar turut sekali lagi mencabar pengkritiknya supaya membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat sekiranya mereka mahu mengambil alih pentadbiran Putrajaya.
“Saya tahu ada yang mahu jatuhkan kerajaan. Boleh, ikut proses. Bawa usul hilang kepercayaan di Parlimen. Jika tak cukup sokongan, tunggu pilihan raya. Jangan guna demonstrasi atau hasutan,” katanya sambil menggesa agar semua pihak berhati-hati dalam memberi reaksi terhadap suara kebencian, termasuk daripada segelintir tokoh agama.
Sejak menang undi percaya bagi mengesahkan keabsahannya sebagai perdana menteri dalam sidang Parlimen pertama selepas PRU15 pada 20 Dis 2022, dah tidak dapat diingati berapa kali Anwar mencabar pembangkang membawa undi tidak percaya terhadapnya.
Malah, kerapnya PN berdrama mengancam untuk menjatuhkannya dari tampuk kuasa juga dah tidak terhitung hingga perdana menteri menggelar mereka pihak yang tidak berhenti-henti mengigau.
Anehnya mereka tidak pula serik-serik. Undi percaya terhadap Anwar 26 bulan lalu itu — diluluskan dengan persetujuan suara majoriti tanpa PN meminta supaya undian belah bahagi dilakukan — menolak kononnya keabsahan sokongan terhadap Anwar sebagai mencurigakan.
Di samping menelanjangi Muhyiddin sebagai berbohong kononnya mempunyai sokongan 115 ahli Dewan Rakyat, hakikatnya jelas ketika itu bahawa gabungan pembangkang hanya mendapat sokongan 74 ahli.
Mengulangi cabarannya pada 14 Mei 2023 dan sekali lagi pada 30 Julai 2023, kali ini Anwar memberi jaminan usul undi tidak percaya ke atasnya tidak akan ditolak jika dikemukakan kepada speaker Dewan Rakyat dengan janji berikut:
“PAS, Bersatu kalau ada undi bawa usul… bawa, saya tidak sekat. Saya bukan macam Muhyiddin Yassin, bila ada usul umum darurat.”
Kemudian, perdana menteri sekali lagi melontarkan cabaran pada 11 Jan 2024 menyusuli dakwaan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Sanusi Nor bahawa PN sudah mempunyai jumlah akuan bersumpah (SD) yang mencukupi — didakwa sekitar 120 — untuk menumbangkan kerajaan.
“Dah lama kita tunggu (usul tidak percaya) dah setahun. Hari-hari kita tunggu tetapi tak ada, jadi kita tak ada fikir apa-apa. Saya tidak fikir mereka ada kekuatan untuk bawa SD selain propaganda untuk menipu penyokong supaya tak hilang semangat. Sekarang dah terbukti semua itu sekadar politik cemas dalam kalangan mereka yang kehilangan modal,” katanya ketika itu.
Reda seketika kira-kira lapan bulan, Anwar sekali lagi mencabar pembangkang untuk membawa usul undi tidak percaya terhadapnya pada 20 Sept 2024 sambil memperlekehkan pembangkang supaya mengikut undang-undang dan bukan hanya bermain sentimen atau bersorak mahukannya turun.
“Ada 30 orang suruh Anwar turun. Dia ingat negara ini tiada peraturan, tak ikut hukum, tiada sistem (Parlimen)? Kalau nak suruh turun, sila bawa usul undi tidak percaya pada sidang Dewan Rakyat, Oktober ini. Kalau usul itu lambat sekalipun, saya luluskan,” katanya ketika berucap dalam Himpunan Keadilan: Suara Rakyat Suara Keramat di ibu negara.
Seakan-akan menepati kitarannya kira-kira enam hingga lapan bulan setiap kali, PN kembali mengigau apabila Muhyiddin mengarahkan jentera Bersatu digerakkan segera bagi menghadapi kemungkinan PRU mengejut hujung tahun ini di sebalik penggal pentadbiran kerajaan perpaduan hanya akan tamat pada 2027.
Kerapnya Anwar melalui gertakan pembangkang harus sudah melalikannya bahawa bayangan himpunan besar-besaran hingga digembar-gemburkan dengan kehadiran 300,000 orang pada Sabtu ini — apatah lagi sebarang kemungkinan usul tidak percaya dalam sidang Dewan Rakyat bermula hari ini hingga 28 Ogos — tidak lebih daripada bualan di warung tepi jalan.
Selepas berminggu-minggu dikecam dan difitnah berkait isu jawatan hakim kanan yang diharapkannya terpadam dengan pelantikan yang diumumkan pada awal pagi Jumaat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Anwar berhak kepada layanan lebih baik.
Atau Tun Faisal sendirian yang terlebih bersemangat.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.