Bila Pak Jo bersuara

Bila Pak Jo bersuara

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul harapkan Ahli Parlimen lebih serius dengan keutamaan kepada pembentangan RMK13 dalam sidang mulai Isnin.

hishamuddin-aun

Kata Johari Abdul, ada tiga jenis Ahli Parlimen di Dewan Rakyat – yang baik, yang buruk, malah tidak ketinggalan juga ada yang sangat teruk. Dengan berkata demikian, tidak perlulah disoal siapa yang speaker Dewan Rakyat itu mahu tujukan tegurannya.

Sama seperti beliau tahu siapa-siapa wakil rakyat yang dimaksudkannya dalam kategori mana satu, rasanya Ahli Parlimen juga tahu dalam kategori mana masing-masing tergolong pada penilaian speaker, dan tentunya tiada siapa mahu ditakrifkan sebagai yang buruk, apatah lagi yang sangat teruk.

Namun, daripada sebelumnya jika ada sebilangan yang buruk, semakin ramai pula dah merosot menjadi sangat teruk tanpa mereka boleh menyalahkan keadaan melainkan ia atas pilihan masing-masing.

Tanpa Johari membuat penghakiman seperti itu pun, rakyat biasa boleh membuat penilaian sendiri hasil meluasnya video-video pendek sorotan di Facebook, YouTube dan TikTok setiap kali Parlimen bersidang.

Sebagai Ahli Parlimen yang mewakili sesuatu kawasan, tidak tahulah kalau pengundi di kawasan berkenaan bangga atau meluat dengan gelagat ahli politik yang mereka angkat sebagai wakil rakyat bagi menyampaikan hasrat dan suara mereka.

Tumpuan dalam sidang Dewan Rakyat bukan setakat siapa yang kerap bangun mengganggu perjalanan mesyuarat, mencelah dengan ungkapan tidak berparlimen di samping menjadi batu api untuk ‘membakar’ yang lain dengan niat mencetus kekecohan dan mengapi-apikan pertengkaran.

Mungkin kepada sesetengah mereka, tidak syoklah sidang Parlimen jika tidak tercetus sorak-menyorak dan pertikaman lidah. Bukan juga menghairankan jika ada yang sengaja berbuat demikian hanya untuk dilihat kekal relevan.

Lebih-lebih lagi itulah bentuk kandungan yang mudah menggamit minat ramai untuk menontonnya di pelbagai platform media sosial.

Mac lalu, Syerleena Abdul Rashid – wakil rakyat Melayu pertama daripada DAP di Pulau Pinang – memuat naik satu video di TikTok bertajuk ‘Benarkah Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang gaduh dalam Dewan Rakyat tapi ngopi sekali kat luar?’

Kata Ahli Parlimen Bukit Bendera dari itu, benar seperti dikatakan Johari, Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang hanya bertikam lidah dalam Dewan Rakyat tapi tidak ada masalah untuk minum bersama di luar.

Dalam pada itu, beliau menambah: “Tapi untuk pengetahuan semua ada juga yang dalam Dewan tak OK, luar Dewan pun tak OK. Jangan ingat semua wakil rakyat kerajaan dan pembangkang ni bertegur sapa. Ada yang tarik muka, ada yang ramah. Ada yang menyendiri, ada yang suka gurau dan macam-macam lagilah jenis yang ada. Namun majoriti besar Ahli Parlimen memang OK sahaja antara satu sama lain.”

Dalam sidang Dewan Rakyat pada 26 Feb lalu, Johari menegur Ahli Parlimen supaya mengelak daripada terlalu beremosi ketika bertikam lidah dan jangan melangkaui sempadan kerana ia hanya akan memburukkan keadaan.

“Saya minta la (supaya kita boleh bincang elok-elok). Saya pun tahu saya Ahli Parlimen 15 tahun di sini. You all gaduh-gaduh di sini (selepas itu) you all semua minum kat luar.

“Orang yang tengok tu ingat kut you all bergaduh sungguh, yang di kampung tu bertumbuk dek kerana you all. Jadi, bersikap adillah. Cakap ada sempadan kita, you all tahu di mana garis sempadannya, jangan langkau,” katanya.

Cuma, kenyataan terbaru Johari ketika merasmikan sambutan ulang tahun pertama Persatuan Pengamal Perhubungan Awam seperti dilaporkan akhbar Kosmo pada Rabu seakan-akan tersirat makna berbeza di sebalik tidak menghuraikan apa yang diharapkannya.

“(Ahli Parlimen) yang baik ialah mereka yang beri segala jenis idea, yang ‘solid’ dan praktikal. Yang buruk pula asyik merungut, apa sahaja yang kita kata pasti dia mahu bantah.

“Tapi yang paling teruk ialah mereka yang tidak datang ke Parlimen. Mereka selalu tiada, tetapi di luar merekalah kononnya pemimpin. Tidak pergi Parlimen tetapi banyak buat bising, keluarkan macam-macam kenyataan lucu yang akhirnya memusnahkan keharmonian negara,” katanya sambil membiarkan orang ramai berteka-teki ketika jawapannya ada pada mereka.

Kita boleh andaikan ingatan Johari itu dibuat ketika iklim politik negara sedang membahang dengan isu pelantikan badan kehakiman pada ketika isu titah addendum penahanan rumah Najib Razak juga belum berpenghujung.

Pada 7 Julai lalu pula, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan lapan lagi Ahli Parlimen PKR mendesak agar siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan yang berlegar berkaitan isu kehakiman.

Di samping itu, mereka juga memohon secara rasmi agar satu prosiding dan siasatan dijalankan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi), termasuk memanggil Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memberi keterangan.

Barangkali menjangkakan sidang Dewan Rakyat berikut ini akan lebih panas, Johari harus bersikap lebih tegas dalam mengawal dan mengekang agar tiada Ahli Parlimen yang akan mengambil kesempatan untuk melencong daripada peraturan mesyuarat.

Tambahan pula mesyuarat kedua bagi penggal keempat Parlimen Ke-15 yang akan berlangsung selama 24 hari bermula Isnin ini hingga 28 Ogos akan memberi tumpuan utama kepada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) – yang akan mengambil pendekatan global sebagai menunjukkan komitmen kerajaan untuk melihat isu ekonomi dalam konteks yang lebih luas.

Ahli Parlimen perlu mengingati titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bahawa Parlimen bukanlah tempat untuk bertegang urat, memaki-hamun atau menabur fitnah, sebaliknya dewan yang mulia bagi membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.

“Parlimen adalah dewan perhimpunan paling utama dalam sistem negara kita. Inilah gelanggang pertemuan suara rakyat jelata, tempat di mana undang-undang digubal, dan medan semak dan imbang ke atas pentadbiran negara,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, 3 Februari lalu.

Ahi Parlimen – tapi bukan kesemua mereka – suka buat-buat tak ingat.

 

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.