
Sambil mempertahankan dirinya sebagai jurucakap kepada rakyat, Rafizi Ramli berasakan ia tanggungjawabnya untuk menegur kerajaan dan parti dianggotainya PKR termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang tidak harus ambil hati jika ia dibuat untuk kebaikan.
Mengumpamakannya sebagai menggali kubur sendiri jika parti tidak boleh menerima teguran di samping membiarkan persoalan dibangkitkan rakyat tidak berjawab, kerajaan pada pertimbangannya tidak boleh terus memilih untuk berdiam diri.
Isnin lalu, bekas timbalan presiden PKR itu dalam sidang media bersama enam lagi Ahli Parlimen PKR di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Subang, menuntut satu suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan berhubung pelantikan hakim.
Mendakwa pencalonan beberapa jawatan hakim sebelum ini tidak diambil tindakan sewajarnya selepas dihantar oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) kepada kerajaan, beliau turut berkata mesyuarat JAC telah dipanggil pada 4 Julai tanpa mematuhi keperluan notis 10 hari, dengan tujuan membuat pencalonan semula bagi jawatan-jawatan yang kosong.
“Ini semua memerlukan penjelasan dari pihak kerajaan,” katanya pada sidang media khas yang turut dihadiri Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail, Ahli Parlimen Subang Wong Chen, Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan, Ahli Parlimen Balik Pulau Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh.
Kepada satu soalan benarkah naratif bahawa beliau dan Anwar sedang bermasalah dan tidak lagi sehaluan dalam audio siar ‘Yang Berhenti Menteri’ secara langsung menerusi media sosial malam tadi, Rafizi menjawab: “Ada masalah atau tak ada masalah itu sebenarnya pandangan masing-masing. Yang bestnya sebagai Ahli Parlimen dan bukan menteri, saya tidak punya tanggungjawab untuk pertahankan kerajaan.
“Tanggungjawab saya ialah bersuara untuk rakyat. Jadi, ada yang betul, ada yang salah. Kalau menteri tu saya rasa perlahan, jadi bergantung kepada menteri itulah kalau saya kata engkau ni perlahanlah. Kalau dia jenis mahu lakukan yang terbaik dalam tugasnya kerana ini adalah tanggungjawabnya, pergi laju sikit la tapi kalau jenis tak boleh tegur langsung, ‘good luck’ kepada you lah. Kau boleh la kalau nak marah-marah aku tapi kalau kalah kalah pilihan raya jangan marah kat aku. Sebab itulah proses yang telah berlaku kalau dari sayalah sebagai Ahli Parlimen dari dulu. Siapa-siapa pun saya tegur. Sesetengah menerimanya secara positif, sesetengah lagi dia tak boleh, dalam parti pun macam itu,” katanya.
Pada Jumaat, Perikatan Nasional (PN) melalui Ketua Whip Takiyuddin Hassan menolak gesaan Rafizi supaya Ahli Parlimen menyokong penubuhan RCI berhubung pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman atas alasan Ahli Parlimen Pandan itu masih sebahagian daripada barisan kerajaan.
Ini menyusuli satu kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa parti itu hanya akan menyokong penubuhan RCI sekiranya Rafizi turut serta dalam ‘Himpunan Turun Anwar’ pada 26 Julai ini di ibu negara – sesuatu yang ditepisnya sebagai PAS cuba ‘menunggang’ isu berkenaan.
Ditanya lanjut oleh tetamu audio siarnya, Faiz Ahmad – seorang pempengaruh ekonomi di TikTok – yang mewakili ramai sebagai mahukan Rafizi dan Anwar terus bergandingan dan tidak berlaku perpecahan antara mereka, bekas menteri ekonomi itu berpandangan sebarang persaingan adalah baik.
“Siapa dalam negara ini di sebelah kerajaan yang boleh menegur perdana menteri? Namakan seorang…akulah. Jadi jika saya rasa ada benda yang boleh diperbaiki, maka ia tugas saya untuk menyatakannya. Kata putus adalah pada perdana menteri. Kita dalam PKR 30 tahun kita ni parti reform, kita terbuka, demokrasi. Itulah ujiannya dan hakimnya ada di luar sana. Hakimnya bukan saya atau Anwar Ibrahim ataupun PKR, (sebaliknya) orang ramai. Dia akan menilai secara keseluruhan PKR. Sebab alternatifnya lebih buruk. Ambil contoh kehakiman ada perkara-perkara yang perlu dijawab oleh kerajaan.
“Kemudian dia dah sampai ke peringkat Badan Peguam akan berarak (dari Istana Kehakiman menuju ke Pejabat Perdana Menteri pada 14 Julai bagi menyerahkan memorandum mendesak agar langkah segera diambil demi mempertahankan kebebasan institusi kehakiman negara). Setiap kali Badan Peguam berarak, kerajaan tu kalah tau. 2007 Badan Peguam buat Walk For Justice, 2008 (kerajaan) kalah. 2022 ada buat Walk For Justice juga, 2022 tu kalah kerajaan. Jadi peguam-peguam ni dia bukanlah jenis yang suka demo. Kalau dia dah sampai buat resolusi dan Badan Peguam ni bukanlah jenis satu kepala, dia ada segala jenis manusia, yang Melayu yang Cina yang India semua ni, nak dapat satu keputusan tu tak mudah. Kalau sudah ada keputusan bahawa mereka merasakan bahawa perkara ini adalah perkara pokok yang perlu dijawab, kena jawablah. Jadi kalau contohnya PH – Amanah, DAP ke PKR — dalam keadaan bising kat luar ni tak ada seorang pun tanya, ya semua, sebenarnya yang kena adalah PH.
“Jadi sebenarnya bergantung kepada pimpinan dalam PKR, dalam Amanah, dalam DAP, dia nak tengok ni bergantung kepada bagaimana kamu menanganinya ataupun saya bersuara dengan rakan-rakan kerana orang ramai akan menghakimi kita kerana tak ada orang berani menegur langsung sehingga ada jurang di antara pandangan rakyat dan pemegang taruh yang lain dengan apa yang kerajaan buat.
“Jadi saya fikir dia bukan soal mesti nampak bersama, yang rakyat harap ialah ahli politik ini adalah hamba rakyat. Bos tertinggi kita adalah rakyat dan kita tidak boleh sesekali melencong daripada pandangan rakyat. Boleh la kita nak debatkan itu pandangan majoriti ke, pandangan minoriti ke tapi jika kamu telah berada dalam politik cukup lama, kamu ada skil untuk tahu bahawa satu daripadanya adalah butang merah yang tidak boleh diabaikan.
“Rakyat akan tengok bagaimana PH tangani perkara ini. Kalau kita buat ikut gaya 1MDB, gaya Najib (Razak) semua dulu, sebut je (kena) pecat, sebut je (dituduh) khianat, maka kamu gali kubur la. Tapi jika
kita tanganinya dengan baik, rakyat akan kata Okeylah sekurang-kurangnya mereka melakukan semak dan imbang.
“Dalam demokrasi moden di negara-negara lain dalam satu parti memang ada berbeza-beza pandangan. Bernie Sanders tak pernah bersetuju dengan Demokrat. Elizabeth Warren, seorang senator Demokrat yang sangat senior, pandangan dia sangat berbeza dengan Joe Biden.
“Tapi secara keseluruhan rakyat meneliti semak dan imbang itu dalam parti mereka la. Tugas saya ialah menyatakan apa yang saya fikir perlu dinyatakan. Contohnya soal kehakiman, ini bukanlah benda baru, benda ni dah lama. Peguam-peguam bercakap pasal benda ni lama dah…setahun dah. Dia bukan sangat soal Tengku Maimun tak jadi ketua hakim negara (dilanjutkan enam bulan lagi), kenapa dibiarkan kekosongan ini berlanjutan. Apa yang sedang berlaku?
“Kemudian ditanya kenapa kalau JAC dah hantar nama, kalau kamu tak setuju tak apalah, mintalah nama baru, supaya jangan ada kekosongan lama sangat. Kemudian ditanya pula kalau semua nama yang dihantar melalui proses JAC semua pun tak diterima, buat apa ada JAC? Semua persoalan ini sebenarnya perlu dijawab. Jadi, kalau dalam PH dalam kerajaan, kita sebenarnya yang saya sebut tadi, kita lebih suci daripada yang lain langsung tak boleh, saya fikir kita gali kubur kita sendiri.
“Kamu perlu lakukan apa yang hati kecil kamu kata adalah betul. Kamu tak boleh (buat) benda berdasarkan eh kalau aku buat macam ni nanti orang kata apa, kalau aku buat macam ni nanti orang kata (nak) menjatuhkan,” kata Rafizi lagi.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.