Rafizi bakar jambatan

Rafizi bakar jambatan

Pertahan kerusi Pandan dalam PRU16, kembali bertanding jawatan dalam PKR bukan lagi keutamaan, sebaliknya mahu jadi orang biasa.

hishamuddin-aun

Episod ketiga audio siar Yang Berhenti Menteri pada Jumaat adalah yang terbaik setakat ini. Menampilkan pempengaruh PKR Faizal Rahman sebagai tetamu, soalan-soalan daripadanya datang bertalu-talu dan tidak berselindung. Didesak sedemikian rupa, Rafizi Ramli juga tidak bermain taici.

Setelah melepaskan jawatan menteri ekonomi 17 Ogos lalu berikutan kekalahan dalam pemilihan timbalan presiden pada 23 Mei yang didakwanya sudah diatur, tiada hati yang perlu dijaganya. Jika sebelum ini Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang juga pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) jadi sasaran, terbaru setiausaha agung Fuziah Salleh mendapat kritikan panjangnya.

Selain memberi bayangan untuk meninggalkan PKR selepas tamat penggal Parlimen ini dan tidak bertanding dalam PRU16, Rafizi menegaskan tidak mahu menjadi sebahagian daripada budaya politik yang ditunjukkan semasa pemilihan PKR pada Mei lalu apabila beliau tewas jawatan timbalan presiden kepada Nurul Izzah Anwar.

Pada penghujung siaran dua jam itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga presiden PKR turut tidak terhindar daipada menjadi modal bicaranya, dengan Rafizi memberi gambaran bahawa dia sudah membakar jambatan dengan parti yang pernah diperjuangkannya selama 27 tahun itu.

Tidak tahulah kalau Rafizi mengambil satu muka surat daripada kisah bekas menteri Rais Yatim yang membakar jambatan dengan Umno susulan pertembungan Team A dan Team B pada pemilihan 1987 hingga mendorongnya memilih menyertai Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Semangat 46, Rafizi pula berkira-kira untuk berundur terus daripada politik.

Ketika dimaklumkan moderator bahawa ada 300 soalan daripada Faizal — peguam yang tewas pemilihan ketua cabang Kuala Selangor, April lalu yang didakwanya sarat dengan diskriminasi, kelemahan sistem dan manipulasi undi yang menghakis asas keadilan sebenar dalam parti — Rafizi harus menjangkakan audio siar yang lebih panjang daripada biasa.

Bersiaran hampir setiap malam melalui platform media sosial dengan kecondongan kepada Rafizi sejak sebelum pemilihan 23 Mei lalu, sesi ‘live’ yang dianjurkan Faizal mendapat tontonan ramai hasil siri pendedahannya di samping menjawab pelbagai persoalan yang dibangkitkan ramai.

Hasil provokasinya juga, Rafizi yang dalam Jelajah Hiruk berkata beliau menyokong sistem pemilihan yang diguna pakai kerana mahu bersangka baik dengan JPP, mendedahkan ‘perang besar’ dalam satu mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang berkait dengan perkara itu.

“Anwar Ibrahim menjerit kat aku untuk tempoh 20 minit (dalam mesyuarat itu), bergaduh besar. ‘Developer’ pun masa dia bentangkan semua itu, dia ingat kami semua bodoh. Dia ingat kami semua ni tak faham IT, dia lupa aku ada syarikat ‘startup’. Hakikat bahawa sampai ke sudah JPP marah-marah tak bagi buka blockchain (untuk pengundian), saya tak fikir saya perlukan lebih bukti ada banyak benda yang disembunyikan,” katanya.

Ditanya Faizal apakah ‘pengkhianatan Keadilan 2025’ telah memadamkan PKR dalam jiwa Ahli Parlimen Pandan itu, Rafizi menggunakan analogi sepasang kekasih yang tidak lagi sehaluan selepas melalui ada masa yang baik dan tidak baik ketika bercinta hingga apabila tiba masanya, masing-masing harus membuat pilihan.

“Kalau pada satu ketika kita rasa ‘you dah berubah, I dah berubah’, kita dah tak serasi. lebih baik supaya kita move on (beranjak). Tapi itu sepatutnya tak memadamkan benda yang baik yang lepas-lepas dalam 27 tahun itu. Parti ini bukan milik geng-geng yang dok menang bising dalam tempoh 4-5 bulan lepas ni. Parti ni milik berpuluh ribu orang yang membanting tulang dari 1999. ‘Form’ masih ada, parti PKR, tapi ‘substance’ dah memang sangat berbeza daripada yang saya kenal dan lalui dahulu.

“Kalau saya boleh ubah balik tak apa tapi saya rasa saya tak boleh dah. Jadi, kalau kita dah sampai ke peringkat itu, lebih baik untuk masing-masing ‘move on’ untuk mencari ‘girlfriend’ baru, dia cari ‘boyfriend’ baru, macam tu lah. Tapi saya tak adalah jenis yang nak bakar semua hadiah-hadiah yang dia bagi dulu, tak adalah. Aku letak dalam kotak aku simpan dalam biliklah,” katanya.

Faizal: ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia) pernah membatalkan pemilihan DAP, begitu juga dengan MIC. Katakan ROS membatalkan keseluruhan pemilihan (PKR), adakah YB akan bertanding timbalan (presiden) buat kali kedua atau YB akan bertanding sebagai presiden?

“Saya akan move on, saya tak akan bertanding apa-apa jawatan dalam PKR kalau pun keputusan dibatalkan. Saya rasa budaya yang telah ditunjukkan dalam PKR, dalam pemilihan yang lepas itu bukanlah sesuatu yang saya nak jadi sebahagian daripadanya. Kalau pun ada pemilihan baru, saya tak rasa saya atau kita ada kemampuan untuk membersihkan parti daripada budaya itu. Jadi, saya memang akan move on. Maksud saya kalau pun dibatalkan, saya tak akan bertanding,” kata Rafizi.

Faizal: Adakah YB akan cuci tangan dan tinggalkan PKR begitu saja?

“Saya kena hormati mandat rakyat kepada saya sebagai Ahli Parlimen dalam tempoh berbaki. Saya akan lakukan yang sama tapi soal PKR ini ialah soal ‘reform’. Kita menyertai PKR dahulu kerana kita yakin ini adalah landasan dan platform yang budayanya bagus, bawa politik baru, yang tidak ada perkara ‘hanky-panky’, yang menumpukan kepada rakyat. Kalau contohnya saya ambil keputusan untuk jadi sebahagian daripada pimpinan, itu mestilah berasaskan kepada pertama, keyakinan saya yang saya ada kemampuan untuk mempengaruhi budaya itu. Yang kedua ialah keyakinan saya bahawa dengan budaya yang baik dan platform yang baik, saya boleh bawa perubahan kepada masyarakat seperti yang saya rasa perlu.

“Saya tak rasa saya memenuhi syarat yang pertama. Dengan apa yang berlaku dalam PKR kebelakangan ini, kalau pun diberi karpet merah untuk saya balik bertanding ataupun dijemput jadi timbalan presiden, kalau pun jadi timbalan presiden, saya tidak mahu dipatuk kali kedua, iaitu hanyalah untuk mendapatkan saya buat kerja tapi budaya itu berkekalan. Dan saya tak yakin saya ada kemampuan dalam tempoh yang pendek untuk membersihkan budaya itu, Jadi, terima kasih saya akan tumpu kepada kedai-kedai runcit saya,” jawabnya.

Faizal: Ada dalam pimpinan mengatakan ada orang yang membuat hasutan?

“Yang menghasutnya korang (pempengaruh). Orang kata saya emosi, saya sebenarnya hampir tidak beremosi langsung. Sebab latihan saya dalam kejuruteraan dan sains, saya sangat berfakta dan objektif. Semua yang berlaku dalam PKR saya dah sebut. Dalam kempen saya tak berlapik langsung, dah sebut terus, hatta kepada perdana menteri pun. Saya tidak punya apa-apa lagi nak kata sebenarnya. Kalaulah Fuziah (Salleh, setiausaha agung) nak kata aku menghasut, ini memang gila talak betullah. Saya tak ambil kisah sangat,” kata Rafizi.

Bekas timbalan presiden itu ada nasihat khususnya kepada Fuziah: “Masa pemilihan saya dah suarakan jangan ambil mudah benda ini kerana orang yang kena penggal ini (fenomena badan tanpa kepala) ialah anggota parti biasa kat bawah. Penat dia kerja, ketuk pintu, keluarkan duit sendiri. Bila ada ketua cabang yang kena penggal kepala, itu maruah dia. Dia bawa masuk anggota parti beratus-ratus dan bertahun-tahun, kemudian bertanding kena khianat, mana dia nak letak muka dia?

“Tak payah hasut pun dia akan letak jawatan. Nasihat saya kepada Fuziah, you dah dapat jawatan yang diidam-idamkan jadi orang penting parti dan you sebahagian daripada episod yang berlaku ini. Ia tugas you nak menanganinya. Jangan tuding jari kat siapa-siapa. Jangan sibuk nak kata orang cucuk.

“You setiausaha agung, orang dah bagitau dari awal benda ini berlaku, you tau risiko itu. Apa yang you buat? You cuci tangan, tanya kat Zaliha, Zaliha tak buka aduan. Bila dah jadi macam ini you tak ada ‘solution’, you tembak kat kita orang. Kalaulah sikapnya berterusan macam ini, PKR akan terus bergolak seperti itu,” katanya lagi.

 

Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.