Madani: Yang betul dan tak betul

Madani: Yang betul dan tak betul

Mendapatkan semula wang yang diseleweng sang perasuah dan memenjarakan perasuah 'go hand in hand'. Tidak timbul minat ini tak minat itu.

Mohsin Abdullah

PAS mendesak Malaysia menggunakan kedudukan sebagai pengerusi Asean untuk bertindak lebih tegas ekoran serangan Tel Aviv ke atas Iran tempoh hari. Desakan PAS dibuat melalui Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan.

Bagi saya ‘this statement is made for the sake of making a statement’, dan menekan Anwar Ibrahim. Itu sahaja. Jika baca keseluruhan kenyataan itu yang disiar Malaysiakini ‘Takiyuddin was merely stating the obvious’. Tiada lontaran cadangan bagaimana ‘tindakan lebih tegas’ yang beliau maksudkan boleh dilakukan.

Pada peringkat Perikatan Nasional pula, gabungan itu menggesa kerajaan membatalkan peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan dan kenaikan tarif asas elektrik serta menangguhkan pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95.

Kenyataan ini dikeluarkan menerusi Ketua Penerangan PN Radzi Jidin. Bagi saya ini kenyataan populis bertujuan memikat hati rakyat (baca pengundi), dan menekan perdana menteri.

Namun, perlu ditegaskan apa yang disebut itu adalah hak PAS dan PN selaku pembangkang.

Kata wartawan veteran A Kadir Jasin melalui Facebook: “Saya sudah banyak kali menyebut mengenai kecenderungan menguji batas kebebasan dan toleransi sejak tertubuhnya kerajaan Malaysia Madani”.

Hal ini kata Kadir tidaklah memeranjatkan kerana ‘Perdana Menteri Anwar Ibrahim sejak zaman-berzaman menampilkan diri beliau sebagai seorang yang berfikiran terbuka,reformis dan toleran’.

Lalu banyak hal sedang diuji. Daripada isu politik kepada autonomi wilayah, agama, bangsa, monarki, ekonomi, LGBT, bendera, ternakan babi dan bermacam-macam lagi, kata beliau.

Perlu ditegas Kadir membuat hantaran Facebook itu berikutan ‘cadangan’ supaya nama Keretapi Tanah Melayu ditukar. Ertinya komen beliau diluah sebelum kenyataan PAS dan PN yang saya disebut tadi dibuat.

Selanjutnya, saya memetik kenyataan Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden seperti dilapor Malaysiakini 14 Jun lalu. Bagi beliau Anwar adalah ‘ibu’ kepada segala masalah di Malaysia waktu ini. Lalu Pemuda PAS mahu mengadakan himpunan yang dipanggil ‘Turun Anwar’.

Antara isu yang kata Afnan sedang dihadapi negara ialah kes saman Yusoff Rawther terhadap Anwar, kegagalan agenda reformasi, isu kebebasan bersuara dan kenaikan kos sara hidup.

Pada hemat saya kes saman dimaksudkan hanya membabitkan dua individu dan tidak punya kesan secara langsung ke atas negara.

Soal agenda reformasi saya setuju Afnan membawanya tetapi tidak pasti sama ada istilah ‘kegagalan’ yang beliau gunakan itu tepat.

Bagi Anwar agenda reformasi masih berterusan tetapi tidak boleh dilakukan pada kadar cepat. Ertinya PMX kata agenda reformasi perlu ambil masa panjang untuk dilaksanakan. Untuk memperkuhkan kenyataannya Anwar merujuk tugas yang sedang dilakukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dalam menyiapkan puluhan undangan-undang.

Yang sudah siap kata Anwar ialah Akta Kewangan dan Akauntabiliti Fiskal yang menuntut antara lain, setiap kontrak kerajaan mesti melalui proses yang betul dan tender. Bukankah ini ‘stating the obvious?’ Selama ini pun bukankah itu yang sememangnya wajib dijalankan?(tetapi tidak dilakukan?). Perlukah satu akta baharu diwujudkan? Mungkinkah dengan akta baharu ini apa yang digariskan akan pasti dilaksanakan?

Kata Anwar dalam sebuah negara yang tahap rasuah berada pada ‘endemik’
melaksanakan perundangan seperti itu membuat beliau sangat tidak popular dalam kalangan bisnes yang sudah biasa dengan ‘cara lama’.

Apa pun tahniah diucapkan atas kejayaan mewujudkan akta berkenaan. Kini kita tunggu reformasi mengenai tempoh perkhidmatan perdana menteri, mengasingkan peranan peguam negara dan pihak pendakwa raya serta memperkenalkan Akta Pembiayaan Politik. Semua ini dikatakan sedang ‘under study’.

Walaupun Anwar menegaskan agenda reformasi ambil masa lama untuk terlaksana dan mungkin ada benarnya kata-kata itu, tetapi persepsi umum ialah kerajaannya ‘is dragging its feet’.

Dua lagi isu yang diketengahkan ketua Pemuda PAS ialah soal kebebasan bersuara dan kos sara hidup. Adakah rakyat tidak bebas bersuara? Terserah interpretasi masing-masing. Mungkin boleh lihat semula apa kata Kadir yang ditulis di atas.

Bagi soal kos sara hidup pula, oleh kerana ia berkaitan ekonomi saya rujuk artikel siaran FMT semalam yang ditulis pakar ekonomi dan dasar Geoffrey Williams. Artikelnya bertajuk ‘Creating Anwar’s legacy – basic income’.

Kata Williams: “The Malaysian economy has performed well under the unity government. Strong and sustainable growth, low inflation and a stable financial system provide the macroeconomic fundamentals for economic development.”

Namun, kata beliau cabaran ekonomi paling besar masih pendapatan rendah – walaupun dalam kalangan pekerja tetap. Ini yang mesti ditangani kerajaan.

Satu isu utama yang tidak dibangkitkan si ketua Pemuda PAS yang mahu Anwar diturunkan ialah rasuah. Oleh itu, saya menyentuh secara ringkas isu ini dengan memetik sedikit ucapan Anwar pada majlis sambutan Hari Wartawan Nasional baru-baru ini.

Kata Anwar: “Apabila kita ambil tindakan terhadap pemimpin yang korup, bekas pemimpin mahupun pemimpin semasa, ahli perniagaan, pemimpin korporat yang membazirkan berbilion ringgit, saya tidak nampak sebarang bentuk kemarahan atau sokongan yang sepatutnya.”

Saya rasa pelik Anwar berkata demikian. Golongan yang tidak suka tindakan banteras rasuah dijalankan ialah si perasuah itu sendiri, keluarga dan kawan-kawannya. Keseluruhan rakyat rata-rata memang marah apabila rasuah dan pembazian berlaku. Dan rakyat sokong apabila tangkapan dibuat ke atas golongan perasuah. Cuma rakyat mahu lebih banyak kes dibongkar dan lebih ramai perasuah dibawa ke muka pengadilan, lantas dihukum. Boleh disimpulkan ramai beranggapan tindakan kerajaan setakat ini belum mencukupi.

Anwar juga berkata, beliau tidak berminat untuk memenjarakan individu tertentu. Mungkin Anwar mahu menunjukkan beliau bukan berdendam terhadap individu tertentu. Pun begitu kata Anwar sebaliknya beliau hanya berminat mahu mendapatkan kembali wang negara yang diselewengkan pihak tertentu supaya dapat dikembalikan demi manfaat rakyat.

Sesungguhnya rakyat mahu wang yang diselewang dikembalikan kepada mereka. Baca komen di pelbagai platform media, kita akan tahu ramai mahu wang yang disonglap oleh perasuah dirampas. Malah, harta perasuah juga ramai yang mahu dirampas oleh pihak berkuasa.

Tetapi, bukankah untuk mendapatkan semula wang yang dilenyapkan sang perasuah mesti terlebih dahulu ditangkap, didapati bersalah oleh mahkamah dan dijatuhi hukum? Barulah boleh mendapatkan semula wang yang disonglap.

Bagi saya mendapatkan semula wang yang diseleweng sang perasuah dan memenjarakan perasuah ‘go hand in hand’. Tidak timbul minat ini tak minat itu.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.