Henti pertikai pemain warisan Harimau Malaya

Henti pertikai pemain warisan Harimau Malaya

Baik lahir di Argentina, Brazil atau Sepanyol, Fifa telah sahkan kelayakan mereka wakili pasukan kebangsaan Malaysia.

hishamuddin-aun

Pada hari yang sama Harimau Malaya membaham Vietnam 4-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 genap seminggu lalu, timnas Indonesia pula diperbudakkan Jepun 6-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 sehingga pemilik akaun TikTok di republik itu mengalihkan tumpuan daripada kekecewaan berkenaan kepada keabsahan tujuh pemain warisan baharu yang disenaraikan Malaysia.

Selepas seminggu, sindiran terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang didakwa menipu dalam mendapatkan pemain warisan baharu berkenaan belum reda, sambil terus mempertikaikan Harimau Malaya yang didakwa mereka tidak telus dalam mendedahkan susur-galur pemain berasal dari Argentina dan Brazil terutamanya.

Cuma ura-ura peletakan jawatan ketua jurulatih timnas Indonesia dari Belanda Patrick Kluivert susulan kekalahan mengaibkan kepada Jepun itu melencongkan seketika tumpuan mereka di sebalik ada sebilangan yang mengekalkan tempo untuk menekan Malaysia dengan andaian bahawa FAM akan berdepan tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Selama ini bukanlah rahsia, peminat bola sepak kedua-dua negara sering bercakaran di media sosial. Tetapi dibandingkan dengan cuma segelintir pemilik akaun TikTok di Malaysia yang gemar ‘melayan’, ia jadi semacam suatu keseronokan untuk penyokong timnas Indonesia memperlekehkan Harimau Malaya secara berjemaah dan berterusan.

Malah, ‘revolusi’ Harimau Malaya yang digagaskan Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim didakwa meniru langkah Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) Erick Thohir yang lebih dahulu menaturalisasikan pemain warisan.

Rekod bagaimanapun menunjukkan Razali Alias dari Singapura ialah pemain naturalisasi pertama di Malaysia pada Jan 1984 dan membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Mac 1985.

Tidak cukup dengan itu, peminat Indonesia membandingkan pula pemain warisan dalam skuad Garuda lebih jelas susur-galur pertalian darah warisan mereka manakala Malaysia dikatakan tidak telus dalam memberi kerakyatan kepada pemain-pemain dari Argentina, Brazil dan Sepanyol.

Antara contoh ditampilkan ialah kesebelasan Indonesia yang tumbang kepada Jepun turut membariskan tujuh pemain warisan – Shayne Pattynama, Stefano Lilipaly, Maarten Paes, Jordi Amat, Calvin Verdonk, Nathan Tjoe-A-On dan Rafael Struick – majoritinya berasal dari Belanda yang pernah menjajah Indonesia pada abad ke-17.

Ia seperti mengeyakan satu video TikTok Novamahendra28 yang menampilkan Erick sebagai berkata: “Pemain naturalisasi Indonesia berdarah Indonesia. Beda dengan negara-negara lain, mereka melakukan naturalisasi enggak ada darahnya mereka. Kalau kita jelas ada darah kita, itu yang patut kita bangga.”

Sebaliknya, kata mereka, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca (kelahiran Argentina), Jon Irazabal, Gabriel Palmero (kelahiran Sepanyol) dan Hector Hevel (Belanda) dan Joao Figueiredo (Brazil) yang disenaraikan menentang Vietnam tidak dibuktikan keabsahan mereka.

Pemilik akaun AI Football dari Indonesia menulis: “Harimau Malaya dengan segala kehebohannya membuat federasi mereka berpotensi diselidiki Fifa kerana menaturalisasi tujuh pemain dari Eropah dan Amerika Latin. Ketujuh-tujuh pemain tersebut masuk dalam dua gelombang mulai dari Feb hingga Jun 2025.

“Akan tetapi publik dihebohkan dengan asal usul pemain tersebut yang didakwa memiliki keturunan Malaysia. Hingga saat ini tidak banyak informasi yang didapatkan publik mengenai latar belakang mereka. Publik di Asia Tenggara meminta Malaysia mengeluarkan informasi perihal asal-usul pemain naturalisasinya.”

Pengumuman rasmi FAM beberapa jam sebelum sepak mula perlawanan Malaysia-Vietnam bahawa Fifa telah meluluskan lima pemain warisan baharu Harimau Malaya – Garces (kelab Deportivo Alaves, Sepanyol), Machuca (Velez Sarsfield, Argentina), Irazabal (Sabah FK, Azerbaijan), Figueiredo (Basaksehir FK, Turki) dan Holgado (America de Cali, Colombia) dianggap tidak cukup memuaskan. Hevel dan Palmero sudah diluluskan pendaftaran mereka lebih awal.

Satu akaun Timnas Indonesia menambah: “Harimau Malaya diduga melakukan kecurangan dalam proses menaturalisasi pemain. Mereka semua adalah deretan pemain yang dinaturalisasikan secara cepat hingga asal-usul dan pertalian warisan mereka dipersoalkan.

“Sejumlah penggemar bola sepak Asean mencurigai Malaysia. Banyak dari mereka mempertanyakan apakah FAM membeli pemain dari Amerika Selatan dan tidak jelas tentang asal-usul pemain tersebut. Penggemar meyakini bahawa pemain Amerika Selatan yang baru-baru ini dipanggil oleh FAM tidak memiliki leluhur Malaysia.

“Banyak orang mengajukan petisen kepada Fifa untuk menyelidiki apakah Malaysia melakukan kecurangan atau tidak. Jika terbukti terjadi pemalsuan dokumen pada proses naturalisasi, FAM dan Harimau Malaya bisa menghadapi sanksi (tindakan) serius dari Fifa dan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia).”

Seorang penyokong Harimau Malaya menggunakan akaun Marco Moreno di TikTok menyangkal dakwaan berkenaan dengan mempertahankan bahawa FAM telah mematuhi manual kelayakan baharu mewajibkan semua pendaftaran melalui Fifa Connect sejak 2020.

“Permohonan akan ditolak jika dokumen tidak lengkap atau warisan tidak dibuktikan secara rasmi. Semua pemain warisan atau naturalisasi baharu Malaysia kini didaftarkan secara rasmi di bawah system Fifa Connect ID. Setiap pemain yang bermain untuk Malaysia kini memiliki ID yang direkod terus dalam sistem Fifa.

“Data ini termasuk tarikh dan tempat lahir, status kewarganegaraan rasmi, sejarah negara dan kelab yang pernah diwakili dan bukti dokumentasi (warisan, pemastautin, naturalisasi). Semua pemain warisan Malaysia telah melalui proses pengesahan ketat Fifa Connect. Melalui sistem ini pengesahan warisan perlu dokumen sah dari JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) atau sijil kelahiran ibu bapa,” katanya.

Sebagai dalilnya, FAM pernah cuba mendaftarkan pemain kelahiran Belanda, Mats Deijl, 27, dari kelab Go Ahead Eagles dalam Eredivisie pada September lalu tetapi ditolak oleh Fifa kerana pemain itu didapati hanya mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyang beliau dan bukannya melalui datuk atau nenek sepertimana yang ditetapkan dalam syarat Fifa.

Menjelang pertemuan dengan Vietnam pada 10 Jun, ketua jurulatih Harimau Malaya Peter Cklamovski menegaskan segala kehebohan mempertikaikan keabsahan pemain warisan baharu bawah kendaliannya tidak menjejaskan fokus pasukan.

“Gembar-gembur dan spekulasi di media sosial bukan perkara baharu. Kami tidak akan benarkan kebisingan di luar mengganggu. Memang ia boleh menjejaskan penumpuan tetapi fokus kami terarah kepada perlawanan menentang Vietnam (yang dimenangi 4-0),” katanya.

Segala kehebohan yang ditimbulkan oleh penyokong Indonesia barangkali dijawab dengan cukup ampuh oleh penyokong Harimau Malaya menggunakan akaun BOLA G.O.A.T53: “Rasmi daripada Fifa dan FAM sendiri, lima pemain warisan baharu Harimau Malaya boleh bermain untuk skuad menentang Vietnam pada 10 Jun. Siapa yang kata itu ‘fake’, ini datang daripada Fifa sendiri. Kalau tak puas hati, jumpa dengan Fifa.

“Ini bukan dari kerajaan – kerajaan langit ke kerajaan bawah tanah ke – ini datang dari Fifa, mengesahkan kelima-lima pemain ini boleh bermain untuk Malaysia, berdarah Malaysia dan mereka ini ada pertalian dengan Malaysia.

“Selama ini hidup anda tak puas hati dengan Malaysia, tolonglah hentikan. Media-media tolonglah henti menyebarkan ‘hoax’ (maklumat palsu). Belajar cari info yang benar, jangan dengarkan media yang inginkan ‘views’.

“Tolong henti menyebarkan media yang palsu dan ‘stoplah’ ambil video orang sebagai ‘clickbait’, lepas tu buat video untuk menporak-perandakan antara Malaysia dan Indonesia.”

Sehingga FIFA sendiri bersuara, yang lain elok diam.

 

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.