Harimau ‘jadian’ mengaum

Harimau ‘jadian’ mengaum

Penyerapan pemain warisan baharu terbukti mampu angkat darjat Harimau Malaya untuk memukau.

hishamuddin-aun

Ketua Jurulatih Harimau Malaya Peter Cklamovski sebelumnya menjanjikan satu pertunjukan pasukan berwajah baharunya akan menghantar pulang penyokong dari Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dengan senyuman. Usainya aksi menentang Vietnam dalam Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 malam tadi memberikan mereka lebih daripada itu.

Majoriti daripada 61,512 penyokong yang hadir – kalau pun tidak kesemua mereka – kini harus diyakini dengan kepercayaan bahawa ‘revolusi’ Harimau Malaya yang menggabungkan tenaga pemain berdarah warisan dilabel ‘gred A’ dengan pemain naturalisasi dan bakat terbaik tempatan adalah langkah tepat untuk terus memacu pasukan ke hadapan.

“Hello Riyadh, tunggu kami datang!” Mungkin sudah ada yang berperasaan demikian untuk Malaysia meraih hak menyertai sejumlah 24 pasukan dalam pusingan akhir Piala Asia 2027 yang akan dianjurkan Arab Saudi dari 7 Jan hingga 5 Feb 2027 – matlamat asal ‘revolusi’ ini digerakkan.

Apatah lagi selepas memperagakan persembahan sebegitu meyakinkan dengan pemain-pemain warisan yang baharu didatangkan cuma sempat berlatih bersama kira-kira seminggu, kita boleh berasa yakin bahawa pasukan ini hanya akan jadi bertambah baik apabila keserasian semakin terbentuk.

Selepas kemenangan meyakinkan dengan mengatasi pasukan di tangga ke-109 dunia, Vietnam, 4-0 malam tadi, laluan buat Harimau Malaya menjuarai kumpulannya harus kini kurang berliku di sebalik ada empat perlawanan lagi menanti dalam pusingan ketiga kelayakan ini.

Malaysia seterusnya akan berkunjung ke Laos pada 9 Okt, disusuli aksi timbal balik di Bukit Jalil pada 14 Okt, kemudian berkunjung ke Kathmandu untuk aksi timbal balik menentang Nepal pada 18 Nov sebelum melakukan perhitungan semula di Vietnam pada 31 Mac tahun depan. Selepas apa yang berlaku malam tadi, harus skuad Bintang Pahlawan Emas itu semakin terhakis keyakinan mereka.

Bertahan untuk kedudukan 0-0 hingga tamat separuh masa pertama, Vietnam harus masih termangu-mangu dengan apa yang menimpa mereka apabila dibolosi empat kali dalam babak kedua untuk meranapkan rekod tanpa kalahnya dengan Malaysia sejak 2014.

Perihal segerombolan kecil penyokong Vietnam mula meninggalkan stadium ketika permainan masih berbaki 20 minit – Malaysia sedang mendahului 3-0 menerusi gol Joao Figueiredo (m-49), Rodrigo Holgado (m-59) dan Corbin Ong (m-67) – membayangkan mereka tiada harapan bangkit. Gol keempat Dion Cools (m-88) sekadar menguatkan lagi hakikat bahawa lawan bukan sekadar ditundukkan, malah diaibkan.

Beberapa jam sebelum sepak mula lagi, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengeluarkan kenyataan bahawa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah meluluskan lima pemain warisan baharu Harimau Malaya – Facundo Garces (kelab Deportivo Alaves, Sepanyol), Imanol Machuca (Velez Sarsfield, Argentina), Jon Irazabal (Sabah FK, Azerbaijan), Figueiredo (Basaksehir FK, Turki) dan Holgado (America de Cali, Colombia). Mereka adalah tambahan kepada dua lagi pemain warisan Hector Hevel dan Gabriel Palmero yang didaftarkan Mac lalu.

Ia bukan sangat berkisar kepada keabsahan mereka untuk menyarung jersi Harimau Malaya ketika berdepan Vietnam tetapi lebih kepada menutup mulut pengkritik yang mempertikaikan mereka memiliki darah warisan dari Malaysia. Selepas ini, tiada sesiapa dapat mempertikaikannya lagi ketika FAM berkira-kira untuk menambah beberapa lagi pemain warisan berpangkalan di luar negara.

Barangkali tidak adil untuk menyandarkan kemenangan malam tadi kepada pemain-pemain warisan baharu yang diturunkan semata-mata. Syihan Hazmi Mohamed, Nooa Laine, Cools dan Arif Aiman Hanapi yang tersenarai dalam kesebelasan permulaan turut cemerlang selain Endrick dos Santos, Nazmi Faiz Mansor dan Stuart Wilkin yang masuk sebagai gantian.

Tetapi ‘revolusi’ Harimau Malaya hasil ilham Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mula mengorak langkah dengan pencarian pemain warisan pada Disember lalu tidak dapat disangkal telah menyuntik peningkatan yang sekian lama diharap-harapkan.

Apakah peminat Harimau Malaya boleh berasa bangga atau sebaliknya menolak ia sebagai hasil bantuan pemain asing? Terpulang kepada masing-masing kerana lambat-laun mereka juga akan terbiasa dengannya, tambahan dengan lebih banyak pasukan mengamalkannya.

Apabila Harimau Malaya beransur-ansur meningkat dalam ranking dunia untuk menembusi kelompok 100 terbaik semula selepas tiga dekad, dan kemaraan ke pusingan akhir kejohanan peringkat Asia semakin jadi kelaziman, ketika itu mungkin tiada siapa lagi akan mempertikaikannya.

Sudah jadi lumrah apabila sesuatu yang baru diperkenalkan, semua orang – peminat bola sepak tidak terkecuali – mahukan hasilnya. Malah, bukan sekadar hasil tapi hasil segera.

Kembalinya Ultras Malaya secara beramai-ramai ke SNBJ – selepas memboikot Pestabola Merdeka pada September tahun lalu berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap pengurusan pasukan kebangsaan dan kepincangan dalam FAM – disertai ekor Harimau Malaya yang membingitkan suasana adalah bukti pengiktirafan terhadap ‘revolusi’ dicetuskan.

Dalam menikmati persembahan Harimau Malaya yang mampu mengembalikan nilai hiburan untuk tontonan mereka, selepas ini mungkin tiada siapa lagi akan membeza-bezakan antara sumbangan pemain berpangkalan di luar negara atau tempatan melainkan kesemuanya mengundang rasa bangga penyokong Malaysia.

Tidak keterlaluan untuk mengandaikan aksi Harimau Malaya malam tadi turut mendapat tontonan peminat di negara-negara Asia Tenggara untuk menilai impak daripada ‘revolusi’ berkenaan hingga mungkin mendorong mereka memberi tekanan kepada persekutuan bola sepak negara masing-masing agar mencontohi pendekatan serupa.

Jepun, antara kuasa bola sepak Asia mendahului negara lain dalam menyerap pemain naturalisasi, antaranya Marcus Tulio Tanaka, Wagner Lopes dan Ruy Ramos yang ketiga-tiganya berasal dari Brazil.

Skuad Samurai Biru itu turut dikenali memiliki pemain warisan termasuk Daniel Schmidt (kelahiran Amerika Syarikat) dan Musashi Suzuki (kelahiran Jamaica).

“Saya bangga dengan persembahan pemain dan kami lakukannya untuk Malaysia dan untuk penyokong. Persembahan pasukan adalah penentu kepada kemenangan ini,” kata Cklamovski sambil menambah ia adalah bukti kesungguhan, fokus pemain dalam sesi latihan dan semangat kekeluargaan dalam pasukan.

“Suasana di stadium dan sokongan penyokong di seluruh negara sememangnya sangat menakjubkan,” tambahnya.

Jika sebelumnya Cklamovski menjanjikan penyokong akan pulang dengan senyuman, kini jurulatih berusia 46 tahun itu berjanji Harimau Malaya hanya akan bertambah baik.

Yang pasti, aksi dan kemenangan malam tadi mengembalikan keseronokan untuk menonton Harimau Malaya semula.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.