
Menurut polis, kumpulan itu beroperasi secara terancang dengan menggunakan aplikasi Telegram untuk menghubungi rakan subahat dari luar negara bagi membeli atau menukar maklumat log masuk yang bocor, termasuk nama pengguna dan kata laluan yang diperoleh melalui serangan siber.
Pihak berkuasa berkata suspek kemudiannya menggunakan perisian automatik untuk menceroboh akaun e-mel secara haram, mengumpul data peribadi dan menjual semula maklumat berkenaan secara dalam talian untuk mengaut keuntungan.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan Vietnam kerana pencerobohan haram ke dalam rangkaian komputer, rangkaian telekomunikasi atau sistem elektronik.
Hasil siasatan mendapati kumpulan itu memperdagangkan lebih 8.4 bilion akaun e-mel antara tahun 2024 dan 2025, dengan mengaut keuntungan haram mencecah ratusan juta dong.
Siasatan masih diteruskan dan polis kini sedang mengesan suspek lain yang terlibat.