Langkah Tengku Zafrul

Langkah Tengku Zafrul

Pilihannya bukan untuk mengkhianati parti tapi terus berbakti, cuma ada dalam Umno melihatnya sebagai konspirasi.

hishamuddin-aun

Sekeping foto Tengku Zafrul Aziz mengaminkan doa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sabtu lalu sebelum berlepas untuk mengerjakan ibadah haji menyerlahkan wajah seorang yang damai dan pasrah.

Sepeninggalannya untuk ‘haji ekspres’ bagi pakej VIP untuk tempoh kira-kira dua minggu itu, suasana politik di dalam negara yang ditinggalkannya pula hiruk-pikuk dengan langkahnya keluar dari Umno sambil menanti keputusan terhadap permohonannya menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) — sesuatu yang sudah jadi bualan berbulan-bulan lamanya.

Pada waktu ini, boleh diandaikan menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu lebih khusyuk untuk menyempurnakan amal ibadat di tengah-tengah kira-kira 2 juta jemaah haji yang sudah berhimpun di Tanah Suci menjelang hari wukuf esok daripada memikirkan polemik yang mengaitkan diri dan masa depan politiknya. Itu bukan lagi di dalam tangannya melainkan ditentukan oleh kepimpinan parti-parti terbabit.

Harus panjang sekali teks doa yang disediakannya untuk dibaca ketika berwukuf agar masa depan politiknya dipermudahkan sambil dapat terus menyumbang khidmat dalam Kabinet dan tidak terlalu melukakan perasaan rakan-rakan dalam Umno — parti yang mungkin Tengku Zafrul berasa tidak terlalu mengalu-alukan kehadirannya apabila meletak jawatan bendahari Umno Selangor pada April tahun lalu.

“Kebanyakan akar umbi menyatakan eloklah (Zafrul) keluar kalau tidak ada ketaatsetiaan di dalam parti. Dan kita jangan ganggu beliau kerana beliau sedang melakukan ibadah haji. Diharap dapat hidayah yang baru, mudah-mudahan ketenangan itu akan menyelubungi minda beliau,” kata Presiden Umno Zahid Hamidi pada sidang media selepas mempengerusikan pramesyuarat bersama delegasi Malaysia sempena lawatan kerja empat hari ke United Kingdom yang bermula Isnin.

Susulan kenyataan Tengku Zafrul menerusi Facebook Jumaat lepas bahawa beliau telah menghantar surat peletakan jawatan dalam Umno untuk menyertai PKR, Zahid yang terdahulu menuntut supaya kuota tujuh menteri penuh di dalam Kabinet dikembalikan semula kepada parti itu, dilihat cuba meredakan suhu yang kian membahang.

“Hak mutlak pelantikan menteri ini adalah atas (budi bicara) perdana menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Elok kita adakan perbincangan secara dalaman supaya tidak timbul interpretasi yang pelbagai dalam perkara ini,” tambahnya.

Anwar, dalam mempertahankan perlunya Tengku Zafrul kekal dalam Kabinet, Ahad lalu, menegaskan kedudukan beliau sebagai menteri tidak terjejas biarpun selepas memutuskan untuk keluar Umno dan berhasrat menyertai PKR.

“Tengku Zafrul seorang menteri yang menjalankan tugas dengan sangat baik. Pelaburan kita ratusan bilion, banyak juga dikendali dengan usahanya. Kita mahu dia teruskan tugas kerana prestasi sebagai menteri baik dan negara memerlukan sumbangannya,” katanya.

Sebaliknya, dianggap tindakan Tengku Zafrul itu tidak beretika dan tidak mengenang budi, sesetengah pemimpin picisan Umno — tidak perlulah didedahkan kerana ia hanya menceritakan keburukan mereka — mencercanya dengan pelbagai kata nista.

Meminjam kata-kata bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli, mereka lebih sudu dari kuah — berlawanan dengan kepimpinan tertinggi parti yang jelas lebih berhemah.

“Semua orang berhak memilih jalan mereka dan kami pilih untuk terus bergerak ke hadapan, fokus membina semula kekuatan parti dan memperjuangkan nasib rakyat,” kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan sambil menganggap tindakan Tengku Zafrul bukan luar biasa atau mengejutkan kerana ia sebahagian daripada dinamik politik.

“Umno tidak pernah bergantung kepada mana-mana individu. Kita adalah sebuah parti yang dibina atas kekuatan akar umbi, semangat perjuangan, dan keyakinan rakyat, bukan pada nama atau kedudukan. Orang datang dan pergi, ini lumrah dalam politik. Yang penting, perjuangan ini mesti diteruskan,” katanya lagi.

Sambil menghormati keputusan Tengku Zafrul yang memilih arah politik lebih dekat dengan pandangan peribadinya, Mohamad menambah bahawa bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu telah memainkan peranan sebagai teknokrat yang menyumbang dalam bidang ekonomi dan kewangan.

Tentunya itu lebih sedap didengar daripada dituduh ia satu drama politik terancang oleh PKR, lebih-lebih lagi menggelar Tengku Zafrul seorang ‘pelancong politik kelas pertama’ yang hanya mencari keuntungan peribadi dari sudut pandangnya semata-mata.

Berpandangan ke hadapan, Naib Presiden Umno Johari Abdul Ghani percaya kerjasama Umno dan PKR tidak terjejas dengan peletakan jawatan Tengku Zafrul daripada parti itu, apatah lagi kedua-dua parti perlu terus bekerjasama demi kestabilan politik negara.

“Soal politik ini biasalah dan itu semua sepatutnya tidak boleh menjejaskan pakatan kita dalam kerajaan perpaduan,” tambahnya sambil menjelaskan Tengku Zafrul juga tidak terikat dengan akta antilompat parti kerana statusnya selaku senator dan bukan Ahli Parlimen.

Barangkali penjelasan terbaik mengenai hala tuju Tengku Zafrul dibuat oleh pensyarah Universiti Sunway Wong Chin Huat yang merumuskan beliau memerlukan pilihan raya kecil (PRK) untuk kekal relevan dalam politik selepas tempohnya sebagai senator tamat pada 2 Dis nanti.

Satu-satunya jalan lain, tambahnya, adalah melalui pelantikan sebagai duta khas bertaraf menteri yang dianggap kurang kontroversi berbanding laluan PRK. Namun, dilema yang timbul ialah parti politik mana yang sanggup mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepadanya.

“Tak mungkin Umno kerana Umno tidak memenangi banyak kerusi dan juga Tengku Zafrul sebenarnya baru aktif dalam Umno sejak Julai 2022. PKR ada 30 ahli Parlimen dan tak ada siapa yang sanggup mengorbankan jawatan itu,” katanya.

Andai dirujuk temu bualnya dalam The Breakfast Grille melalui Radio BFM yang tersiar pada 9 April, Tengku Zafrul menolak jika ditawarkan untuk bertanding dalam PRK, yang jika dimenanginya tidak perlu berhenti sebagai menteri.

“Tidak. Saya tidak akan terima tawaran seperti itu. Pada saya, rakyat tidak gemar untuk diadakan PRK hanya untuk seseorang seperti saya. Maksud saya seorang di peringkat saya. Saya bukan seorang ahli politik kanan, bukan seorang yang senior dalam mana-mana parti untuk diberi laluan. Itu akan memerlukan belanja, masa dan pelbagai sumber daripada kerajaan dan ia bukan sesuatu yang sangat produktif.

“Saya lebih memilih untuk menyumbang dengan cara lain bagi tempoh satu setengah atau dua tahun (selepas tamat tempoh senator sehingga PRU16) apabila saya tidak lagi jadi menteri kerana PRU perlu diadakan dalam tempoh lima tahun (untuk beliau kembali bertanding).

“Saya tidak akan berhenti daripada politik. Saya hanya mahu berkhidmat. Jika saya ada peluang untuk berkhidmat, saya mahu terus menyumbang,” kata Tengku Zafrul lagi.

Itu, bagaimanapun, adalah pendiriannya tiga bulan bulan lalu berdasarkan temu bual The Breakfast Grille itu dirakam pada 3 Mac dan hanya ke udara sebulan kemudian.

Mungkin seperti dikatakan oleh Zahid, sekembalinya dengan haji mabrur — Insya-Allah kita doakan — Tengku Zafrul akan mendapat hidayah baru.

Siapa tahu Anwar akan tampil dengan formula menang-menang dengan mengembalikan kuota tujuh menteri daripada Umno dan selepas itu PKR boleh menerima kemasukan Zafrul sebagai ahli baru tanpa bantahan.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.