
Untuk satu cuaca menjadi aman, kemudian damai; memang tidak dapat tidak, keadaan haruslah terlebih dahulu hiruk. Malah bukan sahaja hiruk, ia bahkan juga seharusnya pikuk dengan penuh penggandaan akan hiruk itu.
Apabila pasukan Rafizi Ramli memilih kata Hiruk, lantas menjelajah serata alam sepenuh pikuk; Yunani dulu-dulu dengan penuh kepurbaan telah pun menegaskan betapa manusia adalah zoon logon echon, iaitu binatang yang memiliki sepenuhnya kefahaman lojik lantas meluahkannya dengan segala kebahasaan. Oleh sebab itu, dapatlah difahami yang tatkala pertarungan terjadi, manusia bukan sahaja akan beradu kekuatan. Manusia bahkan akan mengadukan kemampuan berbahasa.
Setelah manusia beransur memilih untuk tidak bertempur menggunakan kekuatan fizik, penyelesaian masalah sesama insan mulailah berkenduran dengan cara yang dinamai sesama mereka: demokrasi.
Fenomena demokrasi menyusutkan adu gaduh dengan tangan. Tiada lagi tetak menetak, darah dan kelukaan. Kematian dalam pertarungan demokrasi adalah menerusi bahasa. Maka di situlah datang kemahiran dan kepakaran yang lebih menakutkan; iaitu kebahasaan.
Kecekatan menggunakan bahasa jauh lebih menggerunkan ketimbang penggunaan tenaga. Tetak menetak dengan gerakan bahasa dalam banyak keadaan meninggalkan parut dalam yang tidak mungkin dilegakan sehingga ke akhir. Darah dan parah cedera oleh kata-kata manusia sering kekal selagi benak merakam ingatan.
Menyaksikan dua ’binatang politik’ PKR berhujah dengan bahasa adalah menyaksikan sejarah homo luden (manusia yang boleh bermain) kerana politik adalah satu perburuan, atau ‘game’. Apabila manusia berburu dengan bahasa, dan tidak lagi dengan panah atau lembing, bahasa dijadikan senjata untuk menakik.
Bahasa yang menjadi senjata itu kian menjadi identiti, dan dengan bahasalah tetak-menetak berlaku. Meski tiada darah, tetapi parahnya melulu.
Yang menjadikan bahasa sebagai senjata politik itu sangat menakutkan ialah apabila ia digumpal dalam pemilihan kata. Pada kata yang dilafaz, terdapat penyataan fikiran. Namun apabila bahasa menjadi senjata perburuan, ia kadang-kala atau acap kali adalah penyembunyian. Ia semacam katuk di tengkuk dari belakang, dan kemudian segera (tangan) lidah itu digulung dengan alasan keterlanjuran. Kata yang bergomolan antara kejujuran dan pengungkapan rahsia itu secara tepatnya pernah diutarakan dengan penuh polos oleh orang Perancis dalam peribahasa mereka.
Peribahasa itu berbunyi, les paroles sont faites pour cacher nos pensées yakni kata-kata itu diciptakan oleh kita demi menyembunyikan fikiran sebenar.
Memilih kata Hiruk sebagai mesej dan tema jelajah, sama sekali tidak sederhana. Bahasa politik (ingat bahasa kini senjata) bukan lagi untuk menyatakan fakta. Selalunya ia adalah implikasi. Dalam erti kata lain bahasa dalam politik itu tujuannya untuk menggoncangkan emosi. Dalam demokrasi yang tiada lagi adu kekuatan secara fizik, emosi dapat memindahkan sokongan pengikut.
Bahasa politik sebagai senjata dalam demokrasi berperanan menakik di empat tempat. Itulah sebabnya saya katakan ia, sangat menakutkan.
Pertama yang ditakik itu tafsiran. Dengan bahasa penuh emosi, yang mendengar sesuatu kata berbau politik memerlukan perenungan untuk mentafsirkan. Apabila Rafizi mengatakan menolak Izzah adalah menolak Anwar Ibrahim, maka pilihlah Nurul Izzah dan jangan sampai memilih dirinya; Rafizi sedang menakik ke dalam rusuk.
Bahasa politik juga dituturkan untuk diberikan selaku sebuah kebulatan yang tidak lagi boleh dipertengkarkan. Nurul Izzah mengatakan dia tidak mahu jawatan menteri jika dia memenangi pemilihan PKR. Memang pun canggung menjadi menteri bila tiada kerusi di Parlimen.
Pun, politik kebahasaan juga ada peranan ketiga yang lebih menggelupurkan. Ia adalah pengucapan angkuh untuk tujuan mencapai maksud. Dalam pertarungan tentulah ia adalah untuk menang (dan kadang-kala mematikan lawan). Ia semacam chauvinism. Rafizi dengan penuh permainan seorang homo luden menghamburkan kata bersayap emas (doubletalk) bahawa dia akan diserang sakit jantung jika menewaskan Izzah. Maksud itu dihantar dengan arogan, atau ia adalah sejenis keceluparan yang diperlukan.
Peranan senjata bahasa yang paling berbahaya adalah ia bermaksud menciptakan satu persekitaran terkawal di mana ia dilafaz untuk membolehkan sang pendengar terikat.
Hakikat bahawa Rafizi memilih kata Hiruk adalah satu senjata amuk yang tajam. Hiruk itu adalah locutionary act, tindakan lokusi. Justeru Hiruk menjadi bukan sahaja kata biasa, ia adalah set idea, satu pasukan gempur berani yang kalian perlukan. Dalam erti kata lain, sekalipun Rafizi nanti kalah, dia adalah wakil Hiruk, satu idea canggih dan tentera berani mati yang nanti kita perlukan lambat laun kelak apabila masa di medan tiba. Ia menjadikan pengikut atau ahli PKR berada di simpang paling menggelincirkan. Masakan gamak mengorbankan pahlawan yang heroik?
Akan tetapi Hiruk juga sebagai satu kata adalah satu tindakan yang penuh erti lagi penuh makna di sebalik penyataan kata itu. Ia adalah illocutionary act. Ia memiliki efek komunikasi yang berbekas. Kalau orang mengatakan, ‘hati-hati ada ular dalam pasukan kamu’ ia bukan satu lagi nasihat, ia bukan pula ancaman; tetapi pemomokan bahawa ular ini akan memagut, dan kita memang tahu bayang-bayang ular itu sedia ada ternampak-nampak. Apakah benar ia ular atau tidak, ia akan jatuh pada tafsiran yang saya sebut-sebutkan di atas.
Izzah tahu kemampuan Rafizi berbahasa. Senjata Rafizi memang kata-kata. Maka ya, eloklah tim Damai tidak menerima anjuran atau pelawaan debat.
Jika Izzah kelak menang, harus dipercaya bahawa Rafizi telah pun menjadi terpercaya (ingat Rafizi ada memesankan bahawa Izzah perlu menang agar Anwar tidak diaibkan sebagai Presiden parti).
Rafizi juga tidak kalah (kalaupun nanti dia kalah). Dia menggunakan sepenuhnya kekuatan bahasa sebagai senjata. Hiruk itu kata yang tajam. Ia menjelaskan Rafizilah yang kalian perlukan satu kala nanti apabila genderang perang berkumandang. Dalam hiruknya Rafizi mengingatkan bahawa dia telah melakukan pengorbanan dan akan melakukannya lagi. Bahawa kalau pun damai nanti terjadi, Hiruk wajib dicari kembali kerana itulah tindakan perlokusi atau perlocutionary act, atau kesan dari apa yang diucapkan penutur atau homo luden.
Rafizi menjelajah serata negeri untuk menghiruk. Orang PKR rasa panas dan gemparnya. Rafizi tidak perlu mengubah emosi perwakilan. Dia telah beroleh tafsiran dan keterikatan daripada pengikut bawahan. Perwakilan tidak lagi penting. Rafizi memang nampak hingar, bising, nakal, agresif dan kaki polos. Tetapi Hiruk telah memindahkan ramai pendengar biasa menjadi pendengar yang berwacana. Pikuk orang PKR berbahas dan mengupas-ngupas segala kewacanaan.
Itulah kesan senjata bahasa yang paling menakutkan, iaitu apabila rakyat atau pengikut tidak lagi menelan bulat sahaja sebaliknya sudah memikir. Dalam politik, berfikir itu risiko.
Dalam siasah orang Melayu sayugia diingatkan menang kalah tidak diukur dengan keluasan jajahan. Tetapi dengan penambahan atau pengekalan pengikut. Sultan Melaka tidak pernah berasa kalah di tangan Portugis meskipun negeri sudah tergadai. Ini kerana apabila baginda berpindah ke Muar, Pagoh, Kampar dan Bentan baginda masih berasa dia jaguh. Sultan Melaka masih melihat Fatimah di sisi, Fatimah yang pernah diculik dan dipaksa menjadi isterinya. Fatimah yang menggugurkan kandungan beberapa kali kerana bencikan keganasan sang raja. Dia masih melihat bendahara dan Orang Laut berkobar-kobar menjulang tombak dan mengeraskan suara bertempik daulat untuknya. Saat baginda berpindah randah itu masih ada pengikut mengekor buntut gajahnya. Ke mana baginda pergi, dia beroleh pengikut kerana Melayu dan raja berpisah tiada. Makanya dia berasa dia masih Sultan.
Kuasa untuk orang Melayu bukan pada keluasan jajahan. Raja Melayu terus menjadi rasa berkuasa kerana mereka tetap ada pengikut. Izzah kalau menang dia akan bertapak (baca: beroleh jajahan takluk), tetapi belum tentu dia dapat menjadi raja (atau ratu).
Alih-alih nanti dia tiada pengikut.
Ke mana pengikut atau rakyat itu telah pergi?
Mereka, seperti mana manusia biasa kita-kita yang buta politik ini akan suka atau terpengaruh mencari kemeriahan dan kebisingan. Semua sudah bangkit meninggalkan bangku mencari hiruk pikuk dan kebisingan. Lumrahlah kita tertarik pada hiruk. Kita manusia yang suka kehebohan, kata lainnya adalah kehirukan.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.