Salah panggungkah jika filem gagal?

Salah panggungkah jika filem gagal?

Siapa salah sebenarnya jika filem dikeluarkan daripada tayangan kerana kurang sambutan selepas pihak panggung selesai mematuhi syarat memainkannya selama seminggu?

ronasina

Filem ‘6 Jilake’ arahan Aziz M Osman menerima nasib tidak baik, dikurangkan waktu tayangannya disebabkan sambutan sangat lemah sepanjang seminggu tempoh mainannya. Pada masa sama filem aksi arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, ‘Blood Brothers: Bara Naga’ terus ditayangkan untuk minggu ketiga dan telah memungut lebih RM60 juta. Kawan saya Amerul Affendi pemeran utama dalam filem 6 Jilake menzahirkan rasa terkilan terhadap sambutan lemah dan pihak panggung yang kemudian mengurangkan waktu tayangan. Ini menyukarkan filem 6 Jilake mencapai tahap ‘box office’. Barangkali ketika anda membaca tulisan ini, filem 6 Jilake sudah pun tiada lagi ditayangkan. Memang sedih.

Sungutan penggiat filem dan peminat filem Melayu jika keadaan begini berlaku selalunya berbunyi: Penonton Melayu tak reti menilai filem bermutu, hanya suka filem sampah. Penonton tak sokong filem bangsa sendiri. Tauke panggung tak ada simpati, hanya fikirkan untung sendiri saja!

Siapa yang salah sebenarnya jika sebuah filem itu dikeluarkan daripada tayangan kerana kurang sambutan setelah pihak panggung selesai mematuhi syarat memainkannya selama seminggu? Perlukah tauke panggung bersimpati terhadap sesebuah filem yang kalau dalam lima tayangan pada satu hari hanya ada seorang dua sahaja penonton sedang kos elektrik dan sewa tauke kena tanggung? Walhal, di dewan tayangan sebelah ada sebuah lagi filem yang penuh sesak setiap waktu tayangan walaupun sudah dua minggu berjalan. Jika tauke lihat penonton akan bersesak juga bila ditambah satu dewan lagi tetapi harus kurangkan kekerapan tayangan satu lagi filem yang perlahan sambutannya, salahkah dia? Maaf, saya hanya sekadar bertanya – bukan hendak membela.

“Ini bisnes. Kita tak boleh salahkan tauke wayang,” kata kawan saya. Dia seorang penerbit filem dan filem sulungnya beberapa tahun dahulu berjaya mencapai kutipan memberangsangkan walaupun modal pembikinannya pun agak kasar. Kira dia dapat ngam-ngamlah! Tak rugi dan taklah untung besar.

“Kalau aku cakap macam ni mesti kawan-kawan marah tapi ini hakikat,” sambungnya lagi. “Takkan tauke nak pertahankan filem kita yang tak laku untuk tempoh seminggu lagi sedangkan filem Spiderman atau Batman sudah siap sedia menunggu ni. Ini contoh!” katanya lagi.

Saya cuba memahamkan. Sentimen nasib anak bangsa turut juga mempengaruhi penilaian saya terhadap keadilan. Tolonglah, janganlah asyik memikirkan tentang untung saja. Dulu masa pandemik Covid-19, tauke panggung menggelupur tak ada bisnes, minta tolong supaya kerajaan bantulah sikit. Hari ini bila dah aman bukan main berlagak pula buat sesuka hati!

“Bukan!” kata kawan saya si penerbit filem ini. “Macam contoh kita buka gerai nasi lemak. Ada seorang mak cik kita dan seorang lagi kawan kita letakkan kuih buatan mereka untuk dijual. Kuih buatan mak cik kita memang terbaik buatannya tapi entah kenapa jualannya perlahan. Kuih kawan kita sangat laris sehingga kena tambah sebab permintaannya tinggi. Ruang kita terhad. Sewa tapak harian kita kena bayar. Jadi, bila kita suruh mak cik kita kurangkan sedikit jumlah kuihnya untuk mengelak daripada kuihnya berlambak tak laku dan ruang yang ada itu kita letakkan kuih kawan kita yang jumlahnya telah ditambah, tiba-tiba mak cik kita bising dan marah-marah kata kita zalim. Patutkah?”

Ok! Saya boleh faham dan kaitkan perumpamaan ini. Saya bukan pemain dalam industri filem meskipun saya peminat filem, jadi saya akur kawan saya itu lebih faham sepak-terajang berniaga filem. Antara filem bermutu dan mampu buat untung mesti dipertimbangkan. Patutlah dah bertahun dia kaji skrip filem berjudul Kerinchi yang saya hasilkan berdasarkan novel tulisan saya sendiri dengan judul sama; masih belum berjawab dan terperuk. Dia tahu ada risikonya untuk keluarkan modal.

Macam saya kata tadi, saya bukan orang filem dan tak mahir dalam rantaian ekosistemnya. Ramai juga macam saya, bercakap pandai tapi awak duduk luar gelanggang mana awak tahu. Tetapi, saya seorang penulis dan menghasilkan buku. Masuk bulan Mei setiap tahun, penerbit buku saya akan masuk pesta buku. Di sana persaingan sengit. Bukan setakat bersaing dengan syarikat penerbitan lain sahaja, persaingan sesama penulis bawah penerbitan sama juga berlaku.

Saya boleh mendakwa buku saya berkualiti tetapi akhirnya pembaca dan pembeli yang membuat keputusan. Kekuatan nama dan karya mempengaruhi keyakinan pembeli. Ada yang tidak kenal saya tetapi promosi pihak penerbit dan turunnya saya di tapak gerai membuatkan mereka beli. Ada yang memang kenal dan tahu saya, mereka tanpa ragu-ragu akan beli buku saya. Ada kawan dan kenalan yang saya tahu tak sempat membaca karya saya tetapi mereka beli kerana menyokong saya. Ini kerana mereka mampu untuk beli.

Golongan inilah yang membantu memberi nyawa dan dek kerana mereka membeli dapatlah kita duit untuk kita beli pula karya kawan-kawan lain. Golongan ini juga ada dalam industri filem. Mereka sentiasa akan sokong filem tempatan. Ada juga kawan saya yang baik dengan saya tetapi tidak membeli. Walaupun berkawan tetapi selera bacaan mereka tak sama genre dengan tulisan saya. Saya tak kisah. Saya tak bising-bising marahkan mereka kerana tak baca buku saya yang saya rasa bagus dan baik. Sebab akhirnya, itu duit mereka. Buat apa beli kalau terpaksa. Nak tuduh mereka tak sokong usaha anak bangsa sendiri seperti saya, apatah lagi kawan; tak baiklah, kan? Nak tahu dia buta seni, aduh! Buruk benar nampaknya saya. Tetapi begitulah! Pilihan di tangan mereka. Jika buku saya disusun sebelah Faisal Tehrani, Ku Syafiq atau Nasir Jani dan jualan saya terkebelakang, saya tak boleh marah-marah. Saya tak boleh juga meminta penerbit memperlahankan promosi untuk mereka dan melebihkan saya. Saya harus memikirkan untuk menghasilkan karya lain yang boleh membuat buku saya laris setanding mereka. Ya, saya faham bahawa filem bukan buku untuk dibandingkan. Modalnya juta-juta tetapi kita bercakap tentang dilemanya.

Bagi saya, itulah gunanya berpersatuan. Mesti berani bersuara dan bersatu untuk membina empayar sendiri. Saya ada dengar cadangan supaya kerajaan bina panggung wayang khas bagi membantu filem tempatan. Saya fikir, cadangan itu baik tetapi jika nak buat panggung itu mestilah bukan panggung jenis tangkap muat sebaliknya mestilah punya ‘standard’ seperti panggung yang ada. Kemudahannya sama baik, ada jual air soda dan bertih jagung. Lagi bagus kalau makanannya bercirikan tempatan. Letaknya pun mesti di gedung dan kompleks beli-belah di kota. Bukan di bangunan kerajaan yang sayu atau di ceruk kota yang muram. Panggung kerajaan ini boleh juga menayangkan filem luar tetapi keutamaan mestilah diberikan kepada filem tempatan. Paling istimewa, boleh ada ruang promosi dan program diskusi filem sekali di situ di mana peminat boleh hadir melihat bagaimana filem dibincangkan dengan kehadiran pelakon, penerbit, sutradara dan pengkritik filem mengupas sesebuah filem. Hari ini sebenarnya kita ada ramai pembikin filem bebas dan mandiri yang membikin filem modal kecil dan filem pendek. Kewujudan panggung khas kerajaan rasanya boleh membantu mereka. Sediakan platform untuk mereka tayangkan karya mereka.

Barulah sedikit-sebanyak penonton yang menonton dengan niat sekadar untuk berhibur itu duduk hadir dan mendapat sesuatu. Ketika mereka hendak menonton filem pilihan mereka, mereka nampak juga bahawa ada filem kita yang lain genrenya sedang diperkatakan di situ dan ini sedikit-sebanyak mampu menarik minat mereka.

Sebenarnya, aktiviti tayangan dan diskusi filem ini telah pun dibuat oleh beberapa aktivis dan komuniti filem seperti Komfit (Komuniti Filem Titiwangsa), Wayang Budiman dan lain-lain penggerak meskipun mereka tiada duit sangat. Penerbit buku saya Rabak-Lit pun pernah berkeliling Semenanjung Malaysia membawa saya dan pengarah Nasir Jani membuat tayangan filem Kembara Seniman Jalanan dan berdiskusi tentangnya. Tapi, penontonnya pun kutu-kutu sajalah, yang minat buku, filem dan muzik. Sebab kita tak ada duit nak bawa artis glamor. Buat pun di studio kecil, tepi jalan atau di warung-warung. Persatuan filem kalau nampak usaha komuniti ini, bolehlah ambil inisiatif untuk membawanya ke medan lebih besar supaya sampai ke sasaran.

Filem 6 Jilake baru-baru ini pun ada dibuat program diskusinya di Kuantan dengan kehadiran pelakon Amerul Affendi dan sutradara Aziz M Osman. Ini anjuran kutu-kutu Kuantan seperti Addy Haikal dan Cikgu Zainal (sekadar menyebut beberapa nama). Kutu-kutu inilah juga yang sering membuat program apresiasi seni seperti baca sajak, bedah buku, mini gig, kupas muzik dan lagu. Artis dan selebriti glamor pun tak kenal kutu-kutu macam ini. Aktivis ini pun tak hairan sebab mereka buat atas dasar minat dan rasa cinta terhadap karya seni. Bagi mereka, sayang jika ia tidak diwacanakan meskipun tempatnya hanya di ceruk warung.

Entah kenapa saya teringat perjuangan P Ramlee. Orang selalu cerita tentang filem dan lagu P Ramlee yang malar segar tetapi jarang mengungkap pengorbanan berani matinya kepada dunia filem yang sangat dicintainya. P Ramlee pernah membuat panggung sendiri dengan nama Pawagam P Ramlee. Dan dengan penuh keazaman telah juga menerbitkan majalah sendiri bernama Gelanggang Filem. Badan filem seperti Finas dan kementerian berkaitan harus ambil semangat juang P Ramlee ini untuk bangkit meneruskan apa yang P Ramlee pernah buat. Malulah kita kalau P Ramlee sebagai orang perseorangan pun mampu melaksanakannya, takkan sebuah badan dan sebuah kementerian tak boleh. Kalau asyik berleter salahkan situ dan sini atau bergantung harap pada tauke, seribu tahun lagi pun kita takkan naik!

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.