
Ada semacam kelainan pada Zahid Hamidi dan pasukannya menjelang PRK Ayer Kuning, Sabtu ini. Memperagakan ketenangan dan emosi terkawal, pengerusi Barisan Nasional (BN) itu enggan melatah terhadap apa juga provokasi lawan daripada Perikatan Nasional (PN) terhadapnya.
Berlatar belakangkan dua kemenangan BN pada PRK Nenggiri 17 Ogos disusuli PRK Mahkota berselang lebih sedikit dari sebulan pada 28 Sept, presiden Umno itu hanya menumpukan gerak kerja jentera pilihan rayanya sambil membiarkan 31,897 pengundi berdaftar – Melayu 55.64%, Cina 21.99%, India 14.3% dan kumpulan lain 8.07% – untuk memutuskan pilihan mereka.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mohamad Yusri Bakir, calon PN Abd Muhaimin Malek dan KS Bawani mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Mengambil alih daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai sasaran utama serangan lawan pada PRK kali ini – lagipun kerusi DUN Ayer Kuning dikuasai BN-Umno sejak ia diwujudkan pada PRU 1986 – Zahid tidak pun bertindak balas.
Mereka yang condong kepada PN melihat beliau tidak mampu menangkis atau menawarkan jawapan. Sebaliknya di pihak kerabat BN, sikap ‘gentleman’ pemimpin mereka itu dilihat sebagai bayangan keyakinan untuk kerusi DUN Ayer Kuning bukan saja dipertahankan, malah dengan majoriti lebih besar daripada 2,213 undi yang diraih pada PRU15.
Pernah memulangkan gelaran ‘dajal’ kepada pihak yang menuduh partinya ‘dajal’ ketika Perhimpunan Agung Umno 2024 Ogos lalu, Zahid mengamalkan sikap ‘membisu yang anggun’ ketika dihujani pelbagai tuduhan dan kata-nista dalam kempen yang berbaki hanya tiga hari lagi.
Ramai harus tidak lupa bila Presiden PAS Hadi Awang mengherdik Umno sebagai ‘lebih dajal daripada dajal’ atas dakwaannya parti itu membeli rakyat dengan wang dan kebendaan untuk merampas kerusi Nenggiri daripada PN, Zahid menjawab balik: “Yang dajal itu adalah mereka (PAS).”
Ceramah Mega PN di Kampung Tanjung Keramat, Sabtu lalu tidak terkecuali menyasarkan Zahid dengan bermacam-macam tuduhan.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Annuar Musa dalam pada mendakwa Zahid telah membawa Umno berada dalam keadaan tenat hingga bertindak menyingkirkan ahli yang tidak bersetuju dengan kepimpinannya, turut menggesa ahli-ahli Umno mengambil tindakan bagi menyedarkan kepimpinan parti itu.
“Kita tidak membenci Umno. Tapi bagaimana nak menyedarkan pemimpin Umno yang tersalah langkah? Kalau tegur, (kena) pecat macam saya. Kalau tidak setuju (kena) singkir. Nak lawan, ditiadakan pertandingan, ditangguhkan pemilihan. Dalam Umno, seluruh proses menjadikannya sebuah parti yang demokratik macam awalnya (ditubuhkan), tidak dapat diadakan (kini). Maka bagaimana nak menegur pimpinan Umno?” katanya.
Hakikatnya, ini bukan pertandingan antara Annuar – dipecat mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 8 Dis 2022 kerana melanggar disiplin parti – dengan Zahid, yang menampakkan bekas setiausaha agung Umno itu masih tidak boleh berganjak daripada perpisahan tanpa relanya.
Kecuali menyatakan kesal dengan kempen pembangkang yang masih menyentuh isu-isu sensitif, masalah peribadi dan isu titik-bengik, beliau sekadar menyarankan agar kempen BN menumpukan kepada kelebihan parti dan calon, bukan merendah-rendahkan pihak lain.
Lebih daripada itu, Zahid tidak pula menyelar Annuar atau pemimpin PN lain kecuali meminta jentera parti bekerja sehabis baik terutama untuk menepis isu yang dimainkan oleh pihak lawan.
“Ada sahaja isu yang dibangkitkan oleh pihak lawan sepanjang tempoh berkempen ini. Insya-Allah, saya minta jentera dari seluruh pelosok Malaysia yang berkampung di sini untuk bidas semua isu tersebut. Jangan kita memprovokasi pihak lawan kerana itu adalah kepakaran mereka,” katanya.
Silaplah jika ada sesiapa beranggapan Zahid tidak terlalu memberatkan kemenangan partinya Sabtu ini kerana dari awal lagi beliau menyatakan peri pentingnya BN menang PRK kelima untuk gabungan itu sebagai penentu kejayaan kerajaan perpaduan, tambahan Anwar mahu rentak kemenangan di Nenggiri dan Mahkota diteruskan di Ayer Kuning.
Walaupun di atas kertas gabungan undi lebih 15,000 undi kepada BN dan Pakatan Harapan (PH) di Ayer Kuning pada PRU15 membayangkan kemenangan besar, beliau tidak menganggapnya sebagai jaminan, sebaliknya menuntut jentera parti bekerja keras memenangi hati dan pemikiran pengundi.
Seperti di Nenggiri dan Mahkota, BN memilih untuk tidak mengadakan ceramah berskala besar, sebaliknya bersandarkan pendekatan agresif ‘ketuk pintu santuni pengundi’. Pendekatan itu membawa kejayaan dalam dua PRK berkenaan, maka tiada sebab untuk mengubahnya kali ini.
“Jawapan yang diberikan (ketika mengunjungi rumah ke rumah) Insya-Allah bukan sahaja akan memuaskan hati pengundi di sini, malah mampu memberikan penjelasan terhadap isu-isu yang dibangkitkan pihak lawan,” katanya.
Lagipun, seperti dilaporkan Kosmo pada Ahad, ceramah PN kurang dapat sambutan, dengan ceramah mega yang turut menampilkan Hadi hanya dihadiri kira-kira 300 orang – berbanding bertemu pengundi secara langsung di rumah yang dilihat lebih berkesan untuk mempengaruhi pengundi selain penggunaan media sosial terutama TikTok.
Dalam mengambil pendekatan sedemikian pun, Zahid berpesan supaya sentiasa berkempen secara berhemah selain mengelakkan provokasi – pendirian yang turut ditekankan Naib Presiden Umno Johari Abdul Ghani dan Setiausaha Agung BN Zambry Kadir yang mengingatkan kenyataan keterlaluan dan bongkak perlu dielakkan sama sekali.
“Jual calon (Yusri Bakir) dan amalkan strategi kempen bersih tanpa libatkan serangan politik,” pesan Johari pada sesi perjumpaan dengan jentera dan masyarakat di Pusat Daerah Mengundi Kampung Rahmat, Tapah pada Selasa.
“Jika parti kita ada kelemahan, atasinya. Kemudian kita ‘jual’ calon kita yang berwibawa. Pastikan juga jentera kita bekerja sebagai satu pasukan tanpa ada sabotaj. Paling penting kita kena ada tiga perkara ini kerana selalunya agak sukar untuk kalah,” kata Johari.
Zambry, menteri besar Perak ke-11 selama sembilan tahun dari 2009-2018 yang cukup mengenali kawasan Parlimen Tapah termasuk DUN Ayer Kuning, menekankan supaya PRK ini dijadikan contoh kepada amalan politik matang yang menghormati kepelbagaian kaum selari dengan semangat kebersamaan yang telah lama wujud.
“Cara BN, kita sentiasa bekerja dan terus bekerja untuk rakyat tanpa bermain dengan sentimen yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat. Kita tidak mahulah orang kata kita bersikap bongkak dan terlalu yakin,” katanya dalam Program Outreach KPT@Tapah di Ayer Kuning semalam.
Nah, BN bukan saja memilih untuk berkempen secara berhemah, malah menyasarkan kemenangan dengan bermaruah.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.