Belangsungkawa: Zakaria Ariffin yang diam

Belangsungkawa: Zakaria Ariffin yang diam

Antara pencapaian Zakaria Ariffin termasuk dipilih menerima SEA Write Award pada tahun 2003.

faisal tehrani

Berita pemergian dramatis Zakaria Ariffin ke alam abadi semalam saya terima ketika sedang duduk di dalam bilik mesyuarat di Institut Alam dan Tamadun Melayu menerusi Marlia Musa. Kira-kira pukul 10 pagi. Tentu sudah agak lewat untuk saya berkejar ke Tanjung Malim menghadiri persemadiannya. Dan sepanjang mesyuarat, wajah Encik Z, gelar yang selalu saya gunakan untuknya terhampar di ingatan.

Beberapa bulan lalu saya ada terserempak dengan Allahyarham di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dan seperti biasa, dengan saya dia lebih diam; dan hanya sedikit senyum. Akan tetapi, Encik Z nampak tetap ganteng meski terlihat tua.

Allahyarham Zakaria dilahirkan pada 22 Jul 1952 di Kuantan Pahang dan menerima pendidikan rendah dan menengah di Kuantan sebelum melanjutkan pelajarannya di Universiti Sains Malaysia dalam bidang teater pada tahun 1975. Di era itu harus diingat jalur dan keriuhan teater Malaysia adalah sedang ikut nanar dengan aliran absurd. Dan di Pulau Pinang itu, Encik Z memperolehi ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1978.

Beliau langsung berkhidmat di DBP sebagai pegawai perancang bahasa. Posisi di DBP adalah idaman ramai penggiat dan penulis muda di zaman lampau. Di DBP, Encik Z menggunakan Badan Budaya dan menjadikan DBP rumah hangat untuk orang teater, lantas memberikan peluang kepada orang seperti Abdul Wahab Hamzah, Rasdi Daud, Khatijah Tan, Sabri Yunus, Bohari Ibrahim, dan Wak Khalid Salleh.

Sebagai penerbit, drama beliau yang pertama ialah Rumah Kedai di Jalan Seladang yang menyertai Malaysia Fest 1989. Zakaria ada juga menulis puisi, cerpen, esei dan kritikan, tetapi agak tenggelam dengan bidang utama beliau iaitu drama. Beliau menyelenggara buku-buku penting seperti Drama Moden Dalam Esei (1981), Drama Tiga Zaman (1984) dan Perantau Zaman. Saya tidak dapat membayangkan rekod perkembangan teater Melayu tanpa kajian beliau ini.

Ketokohan Zakaria makin menyerlah dengan Pentas Opera yang memenangi tempat kedua Hadiah drama ESSO-GAPENA II (1988/89), dan kemudian apabila beliau dipilih sebagai penerima SEA Write Award pada tahun 2003.

Beliau di DBP sehingga tahun 1996, apabila membuat keputusan untuk bersara awal dan beralih arah untuk menumbuh bakat baharu di Akademi Seni Kebangsaan (ASK). Meskipun ada juga cakap-cakap beliau membuat pilihan demikian kerana ‘banyak yang tidak boleh’ jika terus bertugas di badan bahasa dan sastera pemerintah yang ketat tersebut.

Di ASK, Encik Z menjadi ketua Program Penulisan, dan bertanggunjawab meletakkan jabatan tersebut setanding dengan kekuatan Program Teater, Filem, Tari dan Muzik. Dalam tahun 1990an itu beroleh tiket di ASK adalah impian setiap seniman muda.

Dalam bidang penulisan dan pengarahan teater, Encik Z pernah membikin Syajar (1980), Mayat (1981), Pelayaran Inderaputera II (1982), Tuk Selampit (1988), dan Pentas Opera (1989). Saya percaya nama beliau menggema setelah Raja Lawak (1992), diikuti Belum Selesai (1996), Teja (1997), Imam (1998) dan Siti Zubaidah (2000). Perempuan Seorang Leftenan Inggeris (1995) sebagai misalan meletakkan nama Tiara Jacquelina di pentas teater dengan demikian besar.

Ia saya percaya merupakan latihan agung untuk seniwati ini menyiapkan dirinya bagi watak-watak lebih penting yang kelak sinonimnya dengannya seperti T. Pinkie dan malah Puteri Gunung Ledang itu sendiri.

Dalam banyak-banyak drama pentas beliau di atas, bagi saya tidak ada yang lebih pentingnya untuk perkembangan seni itu sendiri melainkan sebuah sahaja. Drama yang saya maksudkan adalah ‘Jangan Bunuh Sam’ (2003). Dan sebetulnya saya tidak juga dapat membayangkan satu penyataan seni paling halus dan berani dekad itu melainkan drama ini yang tentu mengheret kontroversi.

Zakaria dengan pasrah meletakkan ‘nama baiknya’ yang beroleh SEA Write Award (yang dinamakan oleh DBP) untuk menulis sebuah drama yang secara halus menyanggah dan membantah ura-ura penamatan sebuah sitkom tivi kerana kononnya mengunggulkan watak lelaki lembut (waktu itu ungkapan seperti fenomena LGBT jarang digunakan). Lebih sensasi drama itu diarahkan oleh Nam Ron yang sedang meningkat naik, dan dibawa berkeliling ke seluruh negara.

Naskah ‘Jangan Bunuh Sam’ menyorot secara penuh komik watak Rahim yang dalam dilema ekoran stesen televisyen yang menggunakan khidmatnya memilih untuk menggugurkan watak Sam yang sudah sebati. Watak Sam dianggap memberi ruang besar kepada pesona lelaki lembut dan ini merupakan satu kebejatan moral untuk masyarakat.

Penerbit rancangan sitkom Sam hanya diberikan dua pilihan oleh stesen televisyen iaitu pertama, membunuh watak Sam atau pilihan B, rancangan sitkom dihentikan serta merta. Rahim yang sudah satu dekad memegang watak Sam dalam rancangan sitkom tersebut berada dalam kebingungan.

Penyataan berani dalam ’Jangan Bunuh Sam’ adalah satu taruhan risiko yang besar. Saya masih ingat betapa ributnya waktu itu. Suara seni arus perdana dari pemerintah disudut secara drastik menerusi drama fenomenal ini. ASK malah dicop. Encik Z juga dilabel. Tetapi drama itu diteruskan, dan pementasan teaternya menerima sambutan luar biasa.

Sukar untuk saya menjelaskan kegemparan yang tercetus tatkala itu kepada pembaca dan penggiat muda hari ini. Pilihan berani Encik Z ini sesungguhnya sangat berisiko. Drama-drama beliau sebelum ini “sangat DBP” dan terbentuk oleh acuan teater arus perdana. Kebanyakan drama beliau temanya sejarah, nasionalisme, cinta watan dan bangsa dan di sana sini ada renjisan Islami yang berhati-hati tidak sampai berkhutbah. Tetapi ‘Jangan Bunuh Sam’ lain. Ia bukan sahaja mencabar konvensi biasa Encik Z, tetapi jauh dari itu ia telah membuat gempa kecil.

Siapa tahu dengan kehebohan mutakhir, Nam Ron akan turun padang sekali lagi mengarahkan naskah ini?

Ketika saya menyertai Akademi Seni Budaya dan Kebangsaan (ASWARA) pada 2009, Encik Z menjadi teman kerja saya di Fakulti Penulisan. Beliau seorang yang tekun, sanggahnya dalam mesyuarat tegas tetapi berhemah, dan dalam kalangan siswa, beliau disenangi ramai. Dia tidak memagar diri dan selalu memberi khidmat. Encik Z juga selalu muncul tiba-tiba menonton drama saya, hatta sekecil Kopitiam Ghadir, Monsopiad, dan Dua Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun. Saya selalu gentar melihat penjelmaannya yang tidak dirancang itu. Suka atau tidak suka, Encik Z menyokong dengan caranya. Dalam diam dia memberikan perangsang.

Saya sangat menghormati Encik Z sehingga saya memilih untuk tidak mengkritik, atau menulis mengenai pementasan kerjaannya. Ini saya lakukan secara sedar meskipun KakiSeni dan Dewan Budaya ada menawarkan slot untuk saya mengomentari produk seni beliau. Mujurlah demikian. Ini supaya saya dapat terus menikmati diamnya dan senyum sedikit beliau itu.

Selamat berangkat ke negeri abadi Encik Z. Terima kasih dari pentas Malaysia untuk anda.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.