Bila hilangnya kewarasan

Bila hilangnya kewarasan

Ramai terus tuntut tindakan tegas ke atas sebilangan individu yang memukul seorang OKU di pasar tani Chukai, Kemaman, pagi Jumaat lalu.

hishamuddin-aun

Saya suka memberitahu kawan-kawan: “Sebagai seorang OKU, saya tidak harapkan apa-apa, cukuplah dengan apa yang ada.” Akur dengan kelainan upaya, maka tidak wajarlah untuk mengharapkan layanan dan penghormatan seperti diterima orang lain yang sempurna fizikal mereka.

Menanggung kecacatan selepas diserang strok 13 tahun lalu – tangan kiri terkulai, terpaksa bertongkat untuk berjalan dan akhir-akhir ini makin kerap menggunakan kerusi roda – saya reda dengan serba kepayahan dan cepatnya kepenatan kerana untuk duduk pun memerlukan tenaga untuk mengimbangi badan.

Seboleh-bolehnya menolak bantuan, apatah lagi dipapah kerana ia akan tambah menyulitkan, namun ada ketika-ketikanya apabila pertolongan sangat dialu-alukan, terutama apabila memanjat atau menuruni anak-anak tangga, dengan ketidakyakinan dan rasa gayat menjadi cabaran.

Pun begitu, saya bersyukur masih mampu mengurus diri sendiri bila di bilik air atau mengenakan pakaian di samping masih mampu berkarya mencari pendapatan. Benarlah sebaris ayat “La Yukallifullahu Nafsan Illa Wus’aha” yang bermaksud “Allah tidak membebani seseorang hamba-Nya kecuali menurut kemampuannya.”

Lagipun, tahap keprihatinan terhadap warga OKU juga semakin meningkat dengan ramai yang sedia memberi pertolongan ketika ke kedai makan atau menaiki pengangkutan awam kecuali satu kejadian yang tular di Kemaman, Terengganu, Jumaat lalu – suatu kegilaan pastinya hanya kerana beberapa detik hilang kewarasan.

Dua hari selepas kejadiaan, platform TikTok terus sarat dengan video komen-komen dari pelbagai sudut pandang.

Seorang pengguna TikTok menggunakan nama Nadia Shuhani berkongsi satu coretan yang menyimpulkan: “Dia melutut kat tengah tu, mintak air masak sebab mata pedih. Tiada siapa pun hulur… dia jalan merangkak pergi kat khemah, basuh muka dengan air hujan. Paling sayu sekali bila pakcik tu kata: ‘Takpe Allah ada’ (yang disahut suara seorang wanita ‘Baru ingat Tuhan’.) Tetiba kaki hinggap kat mukanya terus tergolek. Allah… manalah belas ihsan sesama manusia.”

Dalam video yang tular sejak pagi Jumaat, seorang lelaki OKU cacat mental berusia 47 tahun dipukul dan diseret beberapa lelaki di pasar tani di Chukai, Kemaman selepas dia dikatakan menunggang motosikalnya memasuki tapak jualan lalu terlanggar sebuah gerai nasi goreng dan mi goreng hingga menyebabkan barangan di gerai itu terjatuh. Ada yang mendakwa pemilik gerai itu menuntut ganti rugi RM10,000.

Gara-garanya lelaki OKU itu yang dikenali sebagai Ahmad Nor Al Faizan Jusoh ditunjukkan dalam video berdurasi kira-kira dua minit itu dipukul beberapa individu yang berada di lokasi berkenaan selain dia kemudian diseret dalam hujan renyai-renyai. Berseorangan dia tidak pun melawan melainkan merayu agar tidak diapa-apakan.

Ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan – sesetengah mereka dikatakan mengenali lelaki itu sebagai seorang OKU – tetapi hanya memerhatikan tetapi tidak pula membantu meleraikan keadaan hingga mangsa dilaporkan dalam keadaan trauma ketika dirawat di Hospital Kemaman.

“Tu dia serupa macam binatang depa buat kat abang tu. Aku bila tengok video tu aku rasa kesian, sedih. Dan bertambah sedih bila benda ni berlaku kat negeri yang terpaling Islam kononnya. Syiar Islam tu tak meresap dalam jiwa depa pun… sampai tak boleh nak guna otak masa tu fikir kesan selepas tu. Sama ada brother tu OKU ke tak OKU, tindakan depa ni salah dan memang patut dikenakan hukuman,” kata YazidNoor.

Ada juga yang mempersoalkan sikap membisu Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Ahli Parlimen Kemaman terhadap kejadian itu.

Seorang lagi pengguna TikTok, Wan Hadi, yang kerap mengkritik PAS dalam videonya bagaimanapun enggan mengaitkan kejadian berkenaan dengan politik.

“Aku pun tak setuju bila ramai pihak kaitkan isu OKU kena pukul dekat pasar tani Kemaman tu dengan kepartian, kaitkan dengan negeri. Ramai pakat burukkan negeri Terengganu seolah-olah semua rakyat Terengganu ni perangai sama macam dalam video yang pukul OKU tu.

“Tapi kena ingatlah kita ni di negara yang ada undang-undang, berpada-padalah jangan nak ikut emosi sangat. Kalau ya pun kawan tu ada buat salah, tak kiralah dia langgar kedai ke apa, tak boleh kau nak bantai dia sampai tahap macam tu sekali. Dalam video tu aku tengok pun aku tak sampai hati.

“Kawan tu merangkak, berkali-kali dia minta maaf, sudah-sudahlah bantai dia. Dia banyak kali minta maaf tapi waktu dia minta maaf, waktu tulah kau pergi bantai dia lagi. Mana perikemanusiaan kita hari ni,” soalnya.

Pemilik akaun bernama Pengemis Pahala menambah: “Maaf, ini bukan hadis… sekadar nukilan usai melihat video OKU dihenyak di Terengganu. Cerita satu pihak, mangsa membawa motor laju dalam pasar tani, kemudian disepak motornya hingga hilang kawalan dan melanggar kedai mi.

“Allah sedang uji… uji hamba-Nya yang dulunya sihat tapi sekarang kurang akalnya dek tekanan mental. Allah sedang uji hamba-Nya yang sedang meniaga tapi rugi perniagaannya dek kerana rosak barang niaganya.

“Allah sedang uji… uji hamba-Nya yang sihat akal tapi tetap menggunakan kekerasan untuk tindas mereka yang lemah. Saat terungkap ayat dari mangsa… ‘Dak pe, Allah ada’.

“Saat itu ungkapan mulutnya menjadi doa, dia serahkan pengadilan dari Allah SWT Yang Maha Adil, yang bakal menjadi hakim yang seadilnya di Padang Mahsyar kelak. Semoga pelaku sempat memohon maaf pada si mangsa, semoga mangsa sempat memaafkan si pelaku.

“Ingat, Allah yang maha adil, Allah yang maha mengetahui segala yang tersirat dan tersurat… bakal tiba hari pembalasan segala dosa yang kita laksanakan di dunia.”

Saya jarang bersetuju dengan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dalam banyak isu sebelum ini tetapi pujian selayak buatnya dalam isu ini dengan menyifatkan tindakan beberapa individu memukul, mengheret dan menyepak mangsa sebagai tidak berperikemanusiaan.

“Apa yang menyedihkan saya, mangsa diperlaku seperti binatang. Dia disepak muka, diheret. Tak ada rasa perikemanusiaan ke? Kalau dia bukan pesakit mental pun kenapa nak pukul dia beramai-ramai. Kalau anak jantan, bukan begitu caranya,” katanya menerusi video di Facebook.

Akmal sudah menghubungi keluarga mangsa untuk Pemuda Umno menawarkan khidmat peguam secara percuma agar keadilan dapat ditegakkan.

“Kita nak pastikan mereka yang buat perkara tak ada hati perut ini dikenakan tindakan undang-undang yang setimpal mungkin,” katanya pada Sabtu.

Sambil itu, Pemangku Ketua Polis Kemaman Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata tiga individu berusia 18 tahun hingga 60 tahun sudah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, dengan ramai di TikTok mendesak agar lebih banyak individu lain turut diheret kerana bersubahat dalam kejadian berkenaan.

Malah, ada seorang yang menawarkan diri menjadi ‘Rambo’ untuk mengurus mereka yang terbabit memukul lelaki OKU itu secara bersendirian tanpa bantuan sesiapa. Tetapi biarlah polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan mengikut undang-undang daripada membenarkan lebih ramai yang hilang kewarasan.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.