Memburu impian bernilai RM30 juta

Memburu impian bernilai RM30 juta

Tambahan peruntukan turut gandakan tekanan ke atas Harimau Malaya yang tidak boleh gagal layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027 bermula Mac.

hishamuddin-aun

Harus ramai yang cuba ‘membaca’ antara baris-baris pengumuman Anwar Ibrahim pada Ahad mengenai tambahan peruntukan RM15 juta lagi untuk pembangunan bola sepak, khususnya skuad Harimau Malaya tahun ini.

Menokok kepada RM15 juta yang diumumkan perdana menteri dalam Belanjawan 2025 pada 18 Okt lalu, sejumlah RM30 juta yang diperuntukkan – separuh dibiayai pihak swasta – merangkumi perubahan menyeluruh pengurusan organisasi bagi memastikan pemain kebangsaan mendapat sokongan berterusan daripada barisan tenaga pakar dan kejurulatihan yang dilantik.

Menggandakan peruntukan untuk skuad kebangsaan sebanyak itu dalam tempoh kurang tiga bulan tentunya menimbulkan persoalan sehingga ada yang cuba mengaitkannya dengan perkembangan politik semasa, terutama berkaitan adendum tahanan rumah bekas perdana menteri Najib Razak.

Pada 11 Jan lalu, Anwar menjelaskan peguam negara sudah menyerahkan titah tambahan itu kepada Istana Negara bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Sultan Ibrahim, membuat keputusan.

Namun, elok rasanya diketepikan sebarang kaitan peruntukan tambahan itu dengan isu politik kerana pengumuman perdana menteri sebenarnya menyerlahkan keyakinan beliau terhadap ‘revolusi’ Harimau Malaya diketuai Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dalam merealisasikan impian layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi selain menempatkan diri dalam kelompok 100 pasukan teratas dunia. Malaysia ketika ini di tangga ke-132.

Menghuraikan tambahan peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan terhadap ikhtiar memperkuatkan pasukan kebangsaan dan mengembalikan Malaysia sebagai antara kuasa bola sepak di Asia, perdana menteri berkata RM30 juta itu akan digunakan untuk meningkatkan program pembangunan di semua peringkat selain mempersiapkan Harimau Malaya agar lebih kompetitif.

Sambil menyifatkan Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebagai aset tak ternilai buat Harimau Malaya, Anwar percaya kepada pengalaman baginda dalam memacu kebangkitan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai antara disegani di Asia untuk melakukan yang sama dengan Harimau Malaya.

“Selain ikhtiar kerajaan Madani dan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), saya juga berharap DYAM Tunku Mahkota Ismail akan terus memberikan dukungan berterusan berdasarkan pencapaian, pengalaman serta rangkaian luas baginda dalam industri bola sepak.

“Pengetahuan Pemangku Sultan Johor yang mendalam mengenai pengurusan bola sepak serta hubungan dengan figura sukan dan kelab bola sepak antarabangsa adalah aset yang tidak ternilai yang dapat digunakan untuk menolong Harimau Malaya dan pasukan pengurusannya,” katanya.

Adakah apa yang dilakukan Anwar dalam mengharapkan peningkatan Harimau Malaya dilihat janggal? Ia sebenarnya tidak.

Ambil contoh Singapura dengan perdana menterinya Goh Chok Tong dalam ucapan Hari Kebangsaan pada 1998 mengumumkan: “Tahun lalu saya katakan Singapura tidak akan berpeluang ke Piala Dunia kerana peraturan mensyaratkan semua pemain adalah warganegara.

“Mungkin jika kita menukar kriteria imigresen kita untuk membawa masuk bakat-bakat bola sepak dan menjadikan mereka warganegara, mungkin suatu hari kita akan layak. Itulah yang kita cadang akan lakukan…dengan membawa masuk bakat-bakat bola sepak terbaik.”

Singapura belum lagi layak ke Piala Dunia, tapi kejayaan skuad Singa itu menyingkirkan Malaysia dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia bagi zon Asia pada 2011 dengan agregat 6-4 – menang 5-3 di Singapura dan seri 1-1 di Bukit Jalil – diraikan mereka sebagai amat bermakna.

Semua enam gol mereka dalam perlawanan secara timbal balik itu dijaringkan oleh pemain naturalisasi — Aleksandar Duric dan Fahrudin Mustafic (kedua-duanya kelahiran Yugoslavia) di samping Shi Jiayi dan Qiu Li (kedua-duanya kelahiran China). Seorang lagi pemain naturalisasi Singapura dalam perlawanan itu ialah pertahanan kelahiran England, Daniel Bennett.

Sebagai perbandingan, Tunku Ismail dengan bantuan pasukannya sendiri memiliki impian lebih besar dengan usaha awal untuk mengenal pasti enam hingga tujuh pemain yang memiliki pertalian darah dengan Malaysia terutama bagi beberapa posisi kritikal dalam skuad kebangsaan.

“Bek tengah, bek kiri, penyerang, pemain tengah, pemain tengah menyerang dan juga sayap kiri. Kebanyakannya bermain di liga teratas Eropah. Tiada pemain dari England. Kebanyakannya dari Eropah selatan,” kata baginda pada Isnin.

Sasaran awalnya ialah Harimau Malaya akan tampil dengan lebih kuat dalam kelayakan Piala Asia 2027 dengan penyertaan pemain warisan. Malaysia yang diundi dalam Kumpulan F bersama Vietnam, Nepal dan Laos akan membuka saingan menentang Nepal pada 25 Mac dalam merebut enam slot yang masih tinggal untuk ke pusingan akhir.

Ke arah itu, Tunku Ismail selaku ‘supremo’ pasukan kebangsaan telah mengumumkan Peter Cklamovski dari Australia selaku ketua jurulatih selain Robert Friend dari Kanada selaku ketua pegawai eksekutif dan Dr Craig Duncan dari Australia sebagai ketua prestasi tinggi dan perubatan sukan.

“Kami telah mengenal pasti enam hingga tujuh pemain warisan untuk pasukan Harimau Malaya. Diharapkan kerajaan Malaysia dapat membantu dalam proses mendapatkan pasport Malaysia agar mereka dapat bermain untuk Harimau Malaya pada kelayakan Piala Asia 2027 mulai bulan Mac ini.

“Mustahak untuk Harimau Malaya memulakan kempen kelayakan dengan keputusan yang positif,” tulis Tunku Ismail di media sosial miliknya.

Dalam pada itu, ‘revolusi’ Harimau Malaya mendatangkan cabaran yang bukan kecil dari segi pemilihan pemain warisan yang tepat – tiga pemain, kapten Burnley FC Josh Brownhill; pemain Newcastle United Isaac Hayden; dan pemain muda Belanda, Iggy Houben sebelum ini menolak mempunyai pertalian darah dengan Malaysia — mendapatkan persetujuan mereka untuk mewakili negara.

Dengan pemain berkenaan berpangkalan di Eropah, kekangan jadual ketat untuk latihan membentuk keserasian sesama mereka selain bersama pemain tempatan di bawah kendalian Cklamovski turut menghadirkan cabaran berbeza.

Peruntukan RM30 juta yang bakal disalurkan akan membawa bersamanya cabaran sebesar nilai itu juga pada ketika Harimau Malaya dengan revolusinya dilihat tidak boleh gagal terutama untuk menempah tempat dalam pusingan akhir Piala Asia pada 2027.

Dengan kepimpinan berwawasan, pemilihan yang tepat dan persiapan secukupnya, kegagalan bukan pun satu pilihan sebenarnya.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.