
Pada petang Rabu (semalam), Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin ada temu janji dengan pakar bedah hati, saluran hempedu dan pankreas Prof Brian Davidson di Platinum Medical Centre, London bagi mendapatkan nasihat perubatan terhadap kanser pankreasnya.
Sama-samalah doakan agar semua urusannya di kota raya United Kingdom itu — termasuk melawat cucunya di sana sesudah Mahkamah Sesyen melepaskan pasport antarabangsanya sehingga 14 Jan — kerana nampaknya ada banyak perkara berkaitan parti yang belum selesai walaupun didakwa sebaliknya.
Seperti dimaklumkan peguamnya Hisham Teh Poh Teik kepada mahkamah pada 10 Dis, Imbasan Tomografi Pancaran Positron (PET Scan) yang dijalaninya baru-baru ini menunjukkan ada sedikit peningkatan melebihi paras normal dalam bacaan penanda tumor Muhyiddin yang mendatangkan kerisauan.
Lantas, temu janjinya itu penting bagi mendapatkan nasihat rawatan rawatan perubatan terbaik yang diperlukannya — berbanding keputusan mahkamah pada 3 Okt lalu yang menolak permohonannya mendapatkan pasport antarabangsa untuk bercuti dan menyambut ulang tahun perkahwinan ke-52 bersama isteri di Uzbekistan yang dianggap tidak mendesak.
Muhyiddin perlu sihat dan cergas sekembali ke tanah air nanti bagi menangani ketidakpuasan hati PAS berhubung isu agihan jawatan tertinggi dalam PN. Ini selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang dipengerusikannya 9 Dis lalu mengesahkan pelantikan Azmin Ali sebagai setiausaha agung manakala Ahmad Faizal Azumu selaku ketua penerangan.
Hamzah Zainudin pula dinamakan sebagai timbalan pengerusi PN, Mas Ermieyati Samsudin sebagai ketua Wanita manakala Radzi Md Jidin dan Ronald Kiandee sebagai anggota MT PN.
Di sebalik Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengatakan partinya menerima pelantikan Azmin walaupun ada cadangan supaya Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan dilantik ke jawatan setiausaha agung, ia terdedah kemudian bahawa beliau sekadar bermain wayang.
Hujahnya bahawa PAS menghormati kuasa Muhyiddin melantik pimpinan komponen terbabit di samping parti itu boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja, juga dilihat dibuat dalam keadaan terdesak. Tidak semena-mena Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar meletak jawatan sebagai bendahari agung PN dua hari selepas mesyuarat MT itu.
Berdolak-dalik di antara mencontohi kata-kata hikmah pemain legenda bola keranjang Amerika Syarikat, Kareem Abdul-Jabbar, untuk cuba melakukan perkara yang betul di waktu yang tepat dengan usaha memperkukuhkan gabungan itu, menteri besar Terengganu turut menafikan timbul ‘keretakan’ dalam PN.
“Tidak berlaku keretakan sebenarnya. Saya boleh sebut macam tu la… tidak berlaku keretakan apa-apa. Kita sedang mencari jalan untuk memperkukuhkan PN supaya menjadi suatu muafakat politik yang lebih kuat sebelum menghadapi pilihan raya dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya. Beliau enggan mengulas sama ada peletakan jawatan itu atas kerelaan sendiri.
Dalam pada Dr Sam bercakap mengenai usaha menguatkan muafakat, beliau sendiri memilih untuk meletakkan jawatan bendahari. Di mana logiknya? Tentunya ini menimbulkan persoalan terhadap tindakan mengejutnya.
Andai diingat, Samsuri atau Dr Sam pernah disebut-sebut sebagai calon berpotensi sebagai perdana menteri apabila PN membentuk kerajaan — seperti diakui Muhyiddin ketika berkempen untuk calon PN itu menjelang PRK Kemaman yang berlangsung pada 2 Dis 2023.
Namun, tindakannya hanya dua hari selepas pelantikan jawatan utama dalam PN diumumkan, segera mengundang tafsiran bahawa ia membayangkan kekecewaan beliau dan partinya yang berasa tersisih dan tidak diutamakan.
Apatah lagi ini selepas beberapa pemimpin PN antaranya Ahmad Faizal, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dan Presiden Gerakan Dominic Lau sebelum itu saling berbalas kenyataan berhubung isu pengerusi PN dan calon perdana menteri untuk PRU16.
Faizal dan Lau mempertahankan Muhyiddin manakala Hashim pula menegaskan PAS lebih layak memimpin gabungan itu kerana wakil rakyatnya paling ramai di Parlimen serta mempunyai jentera akar umbi yang kuat selain mendesak perbincangan mengenainya diadakan.
Sambil itu peletakan jawatan Dr Sam dianggap penganalisis sebagai bayangan PAS mungkin telah melancarkan ‘pertarungan senyap’ dalam PN sebagai menyerlahkan tanda tidak puas hati. Kata Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan, situasi itu mungkin memberi isyarat dan tekanan supaya jawatan utama dalam PN — khususnya pelantikan Azmin selaku setiausaha agung — dikaji semula.
“Ini pertarungan senyap dan isyarat daripada PAS iaitu mereka akan lakukan sesuatu yang drastik untuk memaksa Bersatu berunding dulu dan paling tidak melepaskan jawatan setiausaha agung untuk diberikan kepada PAS,” katanya sambil menambah tekanan parti itu turut membabitkan pengumuman ‘poster boy’ PN untuk PRU16.
Menyusuli kenyataan awalnya pada 22 Nov bahawa PAS lebih layak memimpin PN — sekali gus menolak cadangan supaya Muhyiddin kekal sebagai calon perdana menteri — Hashim menegaskan PAS juga tiada rekod atau masalah lompat parti berbanding Bersatu yang terbukti banyak kepincangan.
Tambahnya, Bersatu tidak boleh membelakangi PAS dalam menentukan jawatan penting itu melainkan ia keputusan yang dipersetujui bersama selain menekankan jawatan nombor satu jika PN menang dalam PRU16 perlu diteliti panjang terlebih dahulu berdasarkan kenyataan dan hakikat.
Berselang hampir sebulan, Hashim pada Rabu kembali mengungkit bahawa ‘pemberat’ seperti kekuatan parti harus dijadikan pertimbangan utama dalam menentukan pelantikan barisan kepimpinan PN.
Dalam pada mengakui kuasa itu di bawah Muhyiddin selaku pengerusi, Hashim — yang tidak gemar cakap berlapik berbanding Tuan Ibrahim — mengulangi bahawa setiap keputusan dibuat perlu secara ‘bertimbang rasa’ dan ambil kira kedudukan rakan komponen.
“Banyaklah alasannya (untuk dijadikan pemberat), contoh PAS ada banyak kerusi (43 di Dewan Rakyat dibandingkan Bersatu yang tinggal 25) dan empat negeri kita memerintah (Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis). Ambil kira itu untuk kebaikan bersama. Walaupun pengerusi ada kuasa tetapi rundinglah dulu,” katanya kepada FMT.
Maknanya sepeninggalan Muhyiddin ke London untuk mendapatkan nasihat perubatan sambil bercuti, tumpuannya ditagih untuk mencari solusi mengelakkan keadaan terus bergelora dalam PN.
Kepulangannya daripada istirahat musim sejuk diharapkan dengan kesihatan yang lebih baik kerana itu akan amat diperlukannya untuk menangani keadaan.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.