Lagi bagai orang buta dengan gajah

Lagi bagai orang buta dengan gajah

Elok setiap YB kita membaca buku mengenai apa yang mesti dilakukan di dalam Dewan. Mereka bermati-matian nak jadi Ahli Dewan. Bila dah jadi janganlah sia-siakan.

Penulisan ini bolehlah dianggap lanjutan artikel semalam mengenai ‘interpretasi’ politikus ke atas titah ucapan Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong. Tidak perlu saya ulangi untuk imbau apa yang telah ditulis. Artikel itu masih ada di laman portal ini.

Lalu saya melanjutkan, khusus sebahagian lagi titah ucapan Sultan Ibrahim semasa merasmikan persidangan Parlimen beberapa hari lalu. Antaranya mengenai tingkah laku anggota Parlimen terutama ahli Dewan Rakyat:

“Suka saya ingatkan bahawa Parlimen ini tempat para penggubal undang-undang berhimpun untuk membuat peraturan dan Yang Berhormat semua (merujuk Ahli Parlimen) para penggubalnya. Oleh itu adalah tidak masuk akal jika penggubal itu sendiri gagal untuk mematuhi peraturan yang dibuat.”

Oleh itu baginda mahu Ahli Parlimen tunjuk contoh teladan yang baik apabila berada dalam Dewan dengan menjaga adab dan tatatertib serta menggunakan tutur kata yang sopan bukannya memaki hamun.

Sultan Ibrahim spot on apabila bertitah, “kalau tengok perangai ahli Dewan sebelum ini saya pun rasa malu hendak masuk ke dewan ini.”

Sememangnya kita rakyat sudah biasa tengok dan dengar perangai buruk Ahli Parlimen terpekik terlolong. Memaki hamun lawan menggunakan bahasa kasar dan kesat termasuk mencarut. Juga menggunakan istilah lucah dan sexism apabila menghentam lawan atas alasan gurau. Semua dilakukan tanpa rasa malu malah bangga.

Kalau Agong malu melihat itu semua, begitu juga kita si rakyat biasa. Lantas ramai rakyat merasa bosan sekali gus mempersendakan Ahli Parlimen dan melabel himpunan mereka itu ibarat sarkas.

Maka Sultan Ibrahim memberi lampu hijau kepada speaker mengambil tindakan tegas ke atas ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara yang melampaui batas. Tindakan yang boleh diambil speaker, menurut baginda, ialah mengenakan penggantungan selama 14 hari ke atas ahli Dewan terlibat jika mereka masih berdegil.

Sehari kemudian, Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim dari PAS mengeluarkan sesuatu kenyataan yang mengakibatkan Speaker Johari Abdul menggantungnya selama empat hari. Awang mahupun Johari tidak menjelaskan apa kata-kata yang telah dikeluarkan yang membawa kepada penggantungan berkenaan.

Namun menurut laporan Malaysiakini, Johari kemudian membatalkan penggantungan empat hari itu setelah Awang mematuhui nasihat Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin supaya memohon maaf kepada Johari dan menarik balik kenyataan yang mengakibatkan penggantungan itu in the first place.

Aneh dan pelik kes ini. Tetapi saya tidak dapat elak bertanya jika Hamzah tidak menasihatinya adakah Awang akan mohon maaf? Adakah mohon maaf itu ikhlas?

Adakah Speaker terlepas peluang bertindak tegas walaupun setelah mendapat lampu hijau daripada Agong untuk berbuat demikian? Bagaimanapun diakui mengenakan hukuman dan membatalnya adalah hak Speaker dan beliau boleh mengguna budi bicara.

Terdahulu, Ahli Parlimen pembangkang keluar Dewan beramai-ramai memprotes Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan tahniah kepada Sultan Ibrahim sebagai Yang di Pertuan Agong ke-17, pada sebelah petang bukan pagi.

Bagi ketua pembangkang, ucapan Anwar sepatutnya disampaikan lebih awal yakni pada permulaan persidangan. Hamzah mendakwa tidak pernah berlaku sebelum ini perdana menteri menyampaikan ucapan sebegitu apabila perbahasan titah baginda sudah dimulakan di dalam Dewan.

Apa pun menurut Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong, perdana menteri tidak dapat hadir di Parlimen pada pagi itu kerana menyambut kunjungan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet.

Saya tidak tahu sama ada perkara begini tidak pernah berlaku sebelum ini membabitkan perdana menteri dahulu seperti yang dikatakan Hamzah. Tetapi kalau betul sekali pun bagi saya apa yang Hamzah bangkitkan itu membabitkan soal prosedur persidangan. Bukan tidak penting tetapi tidaklah sampai perlu membawa kepada keluar Dewan beramai-ramai.

Saya tidak berhak untuk mentafsir adakah tindakan keluar Dewan ini boleh dianggap sesuatu yang memalukan Sultan Ibrahim. Yang pasti bagi kebanyakan rakyat ini satu lagi aksi sarkas. Saya setuju dengan Liew pembangkang membangkitkan isu remeh.

Sehari selepas itu — 27 Feb — Ahli Parlimen Wan Saiful Wan Jan mendakwa di dalam Dewan beliau diugut beberapa individu (yang nama mereka beliau tidak dedahkan) untuk menyokong perdana menteri. Untuk memendekkan cerita yang panjang, Wan Saiful mendakwa ditawar habuan iaitu peruntukan Parlimen sebanyak RM1.7 juta.

Ini tuduhan serius dan mesti disiasat. Jika terbukti benar tindakan keras mesti diambil ke atas semua yang terbabit.

Menurut Wan Saiful setelah dihubungi berkali-kali pihak yang membuat tawaran, beliau akhirnya bersetuju untuk menemui mereka. Maksudnya bersemuka. Sayang beliau tidak membuat rakaman video secara sulit untuk memerangkap pihak itu.

Sayang juga beliau tidak membuat laporan kepada polis atau SPRM dan juga mendedahkan perkara itu kepada umum melalui sidang media atau pelbagai platform media sosial.

Sebaliknya beliau memilih untuk membuat pendedahan di dalam Dewan. Apa yang dapat dengan langkah sedemikian? Selain menarik perhatian dan mencetus kegamatan di dalam Dewan. Sememangnya itulah yang terjadi dan sekali lagi saya menegaskan kegamatan dan kekecohan bagai sarkas.

Kesimpulan semua yang dihurai menerusi penulisan ini ialah elok setiap YB kita membaca buku mengenai apa yang mesti dilakukan di dalam Dewan semasa persidangan berlangsung. Mereka bermati-matian nak jadi Ahli Dewan. Bila dah jadi janganlah sia-siakan usaha gigih itu.

Oh ya satu lagi perkara. Elok YB hayati titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.