
Sebak sekali abang seorang pengantin perempuan dalam rakaman video keluh-kesahnya yang tular menceritakan sebuah syarikat katering ghaib pada malam sebelum majlis berlangsung di Jempol Ahad lalu, di sebalik bayaran lebih RM13,000 sudah dijelaskan bagi menyediakan makanan untuk 1,000 tetamu, pelamin, dan baju kahwin. Sebak juga sesiapa saja yang mendengar bagaimana keluarga berkenaan berhempas-pulas agar majlis keesokannya dapat dilangsungkan jua – dalam keadaan ala kadar.
Pada ketika pemilik syarikat katering itu dan kakitangannya masih boleh lena tidur malam, bayangkan keluarga pengantin berkenaan terpaksa bersengkang mata menyiapkan segala keperluan dalam keadaan terdesak. Ahli keluarga dan rakan-rakan bergotong-royong bermula tengah malam membuat persiapan untuk memasak sendiri sajian untuk majlis resepsi keesokan hari. Mereka turut berpecah kepada beberapa kumpulan bagi mencari meja, kerusi, periuk besar, dan barang-barang memasak.
“Bayangkan katering ini di Shah Alam. Pada 11.20 malam satu barang pun tak sampai lagi. Kosong. Esok kami nak kenduri adik saya kahwin. Alhamdulillah ipar-duai dan adik-beradik bantu. Kerusi ini kami pinjam dari surau. RM13,888 tetapi kami tak dapat apa-apa,” ujar Najmuddin Abdul Shukor atau pemilik akaun ‘Abang Soyaa’.
Seorang lagi abang pengantin perempuan, Burhanuddin Rabbani Abdul Shukor, turut memuat naik satu catatan di Facebook: “Kami telah jadi mangsa penipuan pihak katering yang ditempah adik kami. Banyak kali kami cuba telefon tetapi tiada maklum balas. Jumlah tempahan yang dah dibuat untuk 1,000 orang. Pening kami nak fikir. Kami tunggu hingga jam 9 malam (malam sebelum majlis) memang tiada respons, jadi kami sembilan beradik ambil keputusan untuk masak sendiri.
“Malam tu juga kami susun meja kerusi mana yang dapat, malam tu juga kami cuba dapatkan ayam. Basuh semua siap-siap. Blend bahan-bahan untuk masak gulai ayam. Esok lepas subuh kami terus masak ramai-ramai adik beradik ipar duai. Syukur sebelum pukul 11 pagi semua dah siap hantar ke dewan. Kami hanya mampu siapkan dalam anggaran 400 tetamu. Itu pun sekadar lauk ayam gulai, sambal belacan, buah, dan ulam-ulaman,” katanya.
“Kami harungi hari besar adik kami dengan sebaiknya, kami susun semua kerusi meja sendiri, dalam kesedihan kami atasi semuanya dengan semangat. Kami yakin kami boleh buat semua ini. Alhamdulillah semalam (majlis) semuanya berjalan dengan baik walaupun hanya dengan ada satu lauk hidangan. Ada yang datang menaja apam balik, popcorn, kuih muih. Semua datang dan buat dengan penuh kasih sayang. Allah Maha Kaya, walaupun majlis dah berakhir tapi lauk-pauk masih ada, syukur semuanya cukup. Terima kasih semua yang hadir,” tambahnya.
Kita tidak boleh bayangkan kalau kita di tempat mereka, mungkin kita tidak mampu berbuat yang sama dalam keadaan cemas sedemikian. Akal akan jadi buntu memikirkan jalan keluar, lebih-lebih lagi jika nafsu amarah menguasai diri hingga tidak mampu merancang. Untung pengantin perempuan memiliki keluarga besar dan dalam keadaan yang menuntut mereka bermuafakat dan menyumbang kudrat, semua tampil menolak bantal dan selimut ke tepi. Harus itu hikmah di sebalik musibah yang keluarga berkenaan hadapi.
Media sosial turut dibanjiri pelbagai komen netizen yang melahirkan rasa simpati kepada keluarga berkenaan di samping memuji semangat muafakat dan kesabaran tinggi yang ditunjukkan hingga majlis dapat berlangsung juga. Dalam pada itu, ramai yang menyalahkan pengusaha syarikat katering di Shah Alam itu sebagai tidak berhati perut, menyusahkan orang, dan patut didedah dan diaibkan sebagai pengajaran. Memang menyedihkan dapat katering tidak bertanggungjawab hingga sanggup menganiaya orang pada hari bahagianya, kata mereka.
Namun, ada juga yang menyimpulkan kejadian itu harus jadi pengajaran kepada semua agar tidak mengambil khidmat syarikat katering yang terlalu jauh kerana lebih mudah berurusan jika berlaku masalah lewat jika syarikat itu berdekatan. Selain itu, kebanyakan mereka merasakan satu kesilapan untuk melunaskan bayaran penuh sebelum majlis berlangsung. Katerer yang menuntut bayaran penuh lebih awal dianggap mereka lazimnya cenderung untuk menipu.
Rata-rata netizen juga mahu keluarga berkenaan mengemukakan saman sivil terhadap syarikat terbabit dengan menuntut ganti rugi dan saman malu. “Jangan bagi lepas orang macam ni supaya orang lain tak kena tipu,” kata seorang. “Tularkan nama syarikat ini, takyah nak sorok-sorok kerana dengar-dengarnya sudah ada beberapa kes penipuan membabitkan syarikat yang sama sebelum ini,” kata seorang lagi.
Menjelang tengah malam pada hari sebelum majlis berlangsung, pengantin perempuan sudah membuat laporan polis di Jempol. Ketua Polis Jempol Hoo Chang Hook mengesahkan menerima laporan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat, dan boleh juga dikenakan denda. Biarlah polis buat kerja mereka agar yang bersalah dapat diheret ke muka pengadilan.
Sebenarnya sudah banyak duluan bagi kes penipuan katerer seumpama ini. Salah satunya menurut laporan Bernama pada 7 Feb 2019, seorang katerer dijatuhkan hukuman penjara dua tahun, denda RM5,000 dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas tuduhan menipu seorang peniaga pasar malam berhubung projek buka puasa di Masjid Khalid Al Walid, Kementerian Pertahanan membabitkan kerugian RM15,000 pada pada 29 Jun 2015. Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda ditetapkan.
Apa pun, janganlah kerana satu kes penipuan di Jempol ini, semua katerer harus terpalit sama. Bukan semua syarikat katering tidak boleh dipercayai kerana ada banyak syarikat yang menawarkan khidmat katering secara jujur dan menepati kehendak pelanggan. Pakej yang ditawarkan juga bergantung kepada bajet. Cuma kita tidak mahu disebabkan ada banyak yang memiliki reputasi yang baik, satu atau dua berniat serong dengan mengambil kesempatan untuk menipu. Lagipun, pada zaman media sosial sekarang, memang sukar untuk katerer yang curang menyembunyikan penipuan. Sama seperti kes di Jempol, dalam sekelip mata saja nama syarikat katering berkenaan sudah disebarluaskan.
Sesuai dengan kes penipuan katering sebagai menarik minat ramai, syarikat yang menipu hendaklah didedahkan dan kalau boleh disenaraihitamkan agar mereka menerima pengajaran di samping memelihara syarikat lain yang menjalankan urusniaga secara jujur, terus mendapat sambutan. Kita berharap polis dapat memuktamadkan siasatan dalam masa terdekat agar mereka yang bersalah dapat didakwa dan dipertonton kepada ramai.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.