Semak imbang: Bolehkah terlaksana di Terengganu?

Semak imbang: Bolehkah terlaksana di Terengganu?

Adun PN Terengganu boleh kritik, nasihat, atau apa sahaja tetapi fungsi dan kesannya tidak akan sama dengan pembangkang ori.

Ada satu post di Facebook baru-baru ini yang menarik perhatian saya: “Dah takde pembangkang dalam DUN Ganu… Dah boleh lah laksana hudud… Janganlah bagi alasan Pusat tak benarkan pulok.”

Sinis dan pedih perli terhadap PAS yang menguasai DUN Terengganu secara mutlak, setelah menyapu bersih semua 32 kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya negeri 12 Ogos lalu. Ada logiknya post itu yang penghantarnya saya tidak tahu. Berdasarkan kedudukan di dewan undangan sememangnya kerajaan Terengganu boleh melakukan apa sahaja tanpa ada yang membantah.

Saya perlu menegaskan saya bukan bercakap mengenai hudud dan pelaksanaannya. Saya bercakap secara am yakni kerajaan negeri boleh buat itu dan ini. Tiada siapa yang boleh menghalang. Mereka tidak boleh dipersalahkan kerana penguasan penuh DUN mengizinkannya. Tetapi meskipun legally right, morally tidak berapa right.

Oleh itu, ramai yang kata situasi DUN Terengganu tidak sihat malah tidak bagus. Tidak ada semak dan imbang is never good. Tetapi kata Presiden PAS, Abdul Hadi Awang semak dan imbang boleh hadir menerusi rakyat dan juga Adun Perikatan Nasional.

Ambil aspek rakyat dulu. Kata Hadi rakyat boleh kritik kerajaan. Bagaimana? Apa caranya? Takkan rakyat boleh terus masuk DUN untuk kritik. Mungkinkah ada borang khas untuk meluahkan perasaan dan complain? Dihantar kepada kerajaan melalui saluran tertentu? Sayang Hadi tidak perinci.

Ambil pula aspek Adun PN. Ini saya faham Adun PN akan tegur dan kritik jika ada langkah sumbang. Kata Hadi dalam Islam walaupun tidak ada pembangkang, ahli-ahli dewan boleh mengkritik dan memberi teguran. Pada masa sama beliau berkata “kita akan galakkan budaya nasihat”.

Biasanya nasihat diberi dengan nada lembut dan orang yang dinasihati boleh terima atau tolak nasihat yang diberi. Tidak ada jaminan. Saya akui kalau pembangkang pun yang kritik tidak ada jaminan juga apa yang laungkan akan diterima kerajaan.

Dalam konteks DUN Terengganu, nasihat Adun PN kepada kerajaan PN (baca: PAS) boleh dianggap sebagai “friendly fire” tetapi ia tidak boleh disamakan dengan situasi kerajaan PH-BN apabila MCA mengkritik kerajaan perpaduan (sebenarnya menghentam DAP). Meskipun tindakan MCA dikatakan demi check and balance, ia dilihat ‘semacam’ oleh pelbagai pihak berpandukan permusuhan sengit kedua-dua parti sekian lama.

Apa yang ingin saya katakan ialah Adun PN boleh kritik, nasihat, atau apa sahaja tetapi fungsi dan kesannya tidak akan sama dengan pembangkang ori. Maklumlah ibarat teguran adik beradik dalam keluarga. Tegur-tegur sayang. Kalau ada tindakan susulan, OK. Kalau tidak ada, OK juga ke? Kesimpulannya semak dan imbang tidak efektif.

Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar pula memberitahu Terengganu akan mewujudkan ahli backbencher yang berperanan menegur setiap kepincangan kerajaan dan bertindak sebagai semak dan imbang. Jika diterjemah backbencer ialah “penyokong”. Peranan penyokong ialah sokong. Apa yang dikatakan Samsuri ialah sama dengan apa yang diumum Hadi. Ertinya jika cadangan presiden PAS tidak efektif, begitu juga lah cadangan MB.

Dalam pada itu, Samsuri juga berkata Terengganu akan perhalusi kemungkinan melantik Adun tanpa melalui proses pilihan raya bagi mengimbangi tiada wakil pembangkang dalam DUN. Ini berpandukan undang-undang tubuh kerajaan. Ertinya Adun yang dilantik.

Pelantikan Adun tanpa pilihan raya bukan perkara baru. Pahang dan Sabah juga ada peruntukan dalam undang-undang tubuh kerajaan masing-masing yang membolehkan pelantikan berkenaan. Sabah memanfaatkan peruntukan yang membolehkan pelantikan enam Adun tambahan walaupun dalam DUN ada wakil pembangkang. Adun yang dilantik kerap dilihat sebagai ‘insurans’ yang boleh diharapkan oleh pemerintah jika berlaku kegawatan politik dan kedudukan terancam. Betul atau tidak terpulang.

Di Terengganu, jika pelantikan Adun mahu dilaksanakan siapakah yang akan dipilih? Hak memilih kepunyaan kerajaan negeri. Adakah akan dilantik daripada PN juga? Jika iya maknanya walhasil balik asal. Kata orang utara pi mai pi mai tang tu.

Satu lagi pilihan ialah kerajaan melantik wakil NGO. Harap-harap yang dipilih bukan golongan yang pro-kerajaan. Bukan dicadangkan dipilih golongan anti kerajaan cuma yang afdal mereka yang berkecuali. Lebih afdal pilih wakil parti pembangkang. Jika boleh dan jika mahu.

FMT memetik Samsul berkata: “Sebagaimana undang-undang tubuh kerajaan Terengganu, kerajaan negeri ada kuasa melantik Adun sekiranya ada kelompok tertentu, kaum, atau apa jua yang tidak ada perwakilan.

“Ini akan kita perhalusi dan tengok segmen mana dalam masyarakat kita yang tidak ada wakil dan selepas itu kita akan melantik mana-mana dalam kalangan mereka yang perlu.” Bagi saya kenyataan beliau bukan suatu pencerahan.

Pun begitu mesti dinyatakan tiada keputusan dibuat setakat ini. Oleh itu berbaliklah kepada 32 Adun PN sedia ada untuk memastikan semak dan imbang. Moleklah dihayati pesanan veteran politik, Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah tempoh hari bahawa semua Adun Terengganu walaupun daripada gabungan parti politik yang sama mesti berani menyuarakan pandangan demi kesejahteraan rakyat. Kata kuncinya ialah ‘mesti berani’.

Kemungkinan tiada semak dan imbang memangnya masalah besar buat Terengganu, rakyat mahupun kerajaan. Namun kerajaan negeri tidak harus dipersalahkan. Bukan mereka yang mahu masalah ini. Bukan mereka yang cipta. Yang terjadi ialah akibat politik monopoli.

Saya setuju dengan pandangan Ketua Penyelidik Ilham Centre Yusri Ibrahim kepada Sinar Harian, bahawa “yang menentukan terjadinya monopoli ini ialah rakyat yang telah memberi mandat penuh kepada parti dan secara tidak langsung membentuk monopoli dalam kerajaan.”

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.