Kalungan bunga buat Michelle Yeoh, boleh ke?

Kalungan bunga buat Michelle Yeoh, boleh ke?

Realitinya Yeoh tidak pernah menyerah kalah dan berputus asa. Ucapannya semasa menerima Oscar tempoh hari bagi saya amat bermakna.

Susulan Michelle Yeoh menang Oscar Isnin lalu, hampir serta-merta timbul tangkap layar berita di media sosial yang tular memetik Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan cuti umum pada Rabu yakni hari ini. Terpaksa Jabatan Perdana Menteri tangkas menafikannya.

Menerusi hantaran di Facebook, JPM memaklumkan maklumat yang disampaikan seakan ‘berita’ bertajuk: “PM Anwar declares public holiday on Wednesday. This is the pride of a nation” adalah palsu.

Tidak memeranjatkan ada orang kita yang percaya cuti diisytiharkan kerana sekian lama kita sememangnya lazim menjangka atau mengharap cuti umum diberi setiap kali ada kejayaan diukir rakyat Malaysia. Malah sudah terbiasa dapat cuti walaupun kejayaan yang dicipta negara sama ada oleh individu atau berpasukan tidak segah mana.

Oleh itu, apabila Oscar yang sememangnya gah dimenangi orang Malaysia, tentu ada (atau ramai?) orang “expect” cuti akan menyusul. Diulangi itu tidak memeranjatkan. Namun ada juga yang memeranjatkan. Ketika ramai rakyat menabur tahniah kepada Yeoh, saya terbaca satu “post” di ruangan komen yang mengiringi laporan kejayaan Yeoh di laman berita dalam talian.

Menggunakan nama Melayu, si penulis mencatat: “Dia mana mengaku yang dia rakyat Malaysia.”

Untuk berlaku adil perlu dinyatakan Yeoh sering maklum kepada semua bahawa beliau berasal dari Ipoh. Ini beliau lakukan pada setiap temuramah dengan media antarabangsa sama ada media cetak, dalam talian, dan juga elektronik. Maka untuk menuduh Yeoh tidak pernah mengaku beliau orang Malaysia sesuatu yang memeranjatkan. Ini bukan untuk mempertahankan Yeoh. Sekadar menyatakan fakta. Saya secara peribadi tidak mengikuti karier Yeoh secara dekat. Maksudnya saya bukanlah peminat tegar Michelle Yeoh.

Filem hebat “Couching Tiger Hidden Dragon” saya tidak tonton hingga ke penghujung. Cuma tengok sikit-sikit dan treler. Filem beliau “Everything Everywhere All at Once” yang menang Oscar jujur saya katakan saya tidak tahu sebelum ini.

Tentulah ia juga filem hebat. Jika tidak masakan menang banyak Oscar. Apa pun saya sedar akan kewujudan “Everything Everywhere All at Once” hanya apabila Yeoh memenangi anugerah pelakon wanita terbaik Golden Globe Januari lalu untuk filem itu.

Filem lakonan Yeoh saya tonton dari “start” sampai “the end” ialah “The Lady”, terbitan 2011. Saya tonton bukan kerana Yeoh berlakon tetapi kerana watak utama filem itu Aung San Suu Kyi. Saya “enjoy” filem itu dan Yeoh pada hemat saya (yang bukan seorang pengkritik filem) membawa watak pemimpin Myanmar itu dengan baik.

Selain itu, saya ingat Yeoh sebagai penyokong kuat Najib Razak semasa memegang jawatan Perdana Menteri dulu. Pada 2013 menjelang PRU13, Yeoh menghadiri satu majlis makan malam besar besaran di Klang bersama Najib untuk memujuk rakyat khususnya pengundi Cina menyokong perdana menteri ketika itu.

Kesimpulannya ketika itu beliau berkempen untuk Najib, dengan lantang tanpa selindung. Yeoh dikecam hebat oleh golongan anti-Najib termasuk dalam kalangan masyarakat Cina. Sehingga kini ramai yang belum memaafkan Yeoh kerana dilihat mempolitikkan popularitinya untuk memenangkan seorang PM yang dituduh ‘tidak baik’ (sekadar menggunakan istilah lembut).

Video sedutan ucapan yang dibuat 10 tahun lalu diulang tayang di media sosial sekarang, jelas bertujuan mengingatkan umum akan ‘dosa’ Yeoh pada masa lalu.

Tetapi pada 2021, Yeoh dilapor menjadi antara penerbit bersama projek pembikinan drama bersiri televisyen berkisar skandal 1MDB. Drama itu diadaptasi buku yang laris, “Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood and The World”, yang dihasilkan wartawan Tom Wright dan Bradley Hope. Sekali lagi Yeoh dikecam hebat dan dituduh berpaling daripada ‘kawan rapatnya’ Najib yang sudah jatuh hanya untuk meraih wang.

Kee Thuan Chye, pelakon, pengarang drama, dan penulis terkenal menerusi hantaran di Facebook berkata beliau tidak faham mengapa rakyat begitu ghairah dengan kemenangan Oscar oleh Yeoh.

“Apa yang Malaysia sangat mengenai dia? Dia pergi ke Hong Kong untuk memulakan karier berlakonnya, kemudian pindah ke Hollywood. Dia mungkin balik Malaysia hanya untuk bercuti,” kata Kee.

Kata Kee lagi: “Ada dia buat apa-apa untuk Malaysia? Ada dia bantu industri filem Malaysia? Adakah dia melabur dalam filem Malaysia dengan jutaan wang yang dia perolehi? Setahu saya tak ada.” Setuju atau tidak terpulang. Ada lagi yang keras dan panas yang dikatakan Kee mengenai Yeoh yang saya tidak berhasrat mengulanginya di artikel ini.

Yang ingin saya tanya ialah apa pula Malaysia lakukan untuk Yeoh? Menurut mendiang Presiden AS John F Kennedy, “jangan tanya apa yang negara boleh lakukan untuk kamu, tanya apa kamu boleh lakukan untuk negara.”

Namun jika Yeoh tidak berpindah ke Hong Kong, China, dan seterusnya ke AS agaknya ke mana kariernya sebagai pelakon akan dituju? Jika kekal di Malaysia untuk dapat peranan kecil dalam filem Mat Kilau pun menurut saya mungkin sesuatu yang sukar.

Tidak dinafikan Yeoh gigih dan bekerja keras. Di Hollywood beliau berdepan prejudis dan “racism” sebelum dapat peranan dalam filem James Bond pada 1997 berjudul “Tomorrow Never Dies”.

Realitinya Yeoh tidak pernah menyerah kalah dan berputus asa. Ucapannya semasa menerima Oscar tempoh hari bagi saya amat bermakna. Antaranya Yeoh berkata anak-anak kecil yang rupanya sama dengannya (baca: anak Asia) boleh jadikan kemenangannya cahaya harapan. Untuk wanita pula, Yeoh berkata jangan biarkan sesiapa pun beritahu mereka waktu untuk cemerlang sudah berlalu.

Yeoh terima Oscar pada usia 61 tahun. Wanita Asia pertama yang menang anugerah pelakon wanita terbaik. Memenangi Oscar “is a big deal”. Tidak boleh dinafikan hakikat itu. Pun begitu perlu diingat Oscar yang dimenanginya ialah untuk mutu lakonan dalam satu filem. Ia mengenai seni lakonan. Bukan mengenai kecenderungan politik, perangai, mahu pun tingkah laku.

Berdasarkan itu saya jawab pertanyaan yang diajukan pada tajuk artikel ini. Bagi saya jawapannya ialah “boleh”. Tahniah Michelle Yeoh.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.