
Apabila Zahid Hamidi menyerahkan kepada perwakilan Perhimpunan Agung Umno (PAU) untuk menentukan sama ada jawatan presiden dan timbalannya dipertandingkan atau tidak, tentu beliau yakin keputusan akan menyaksikan beliau dan Mohamad Hassan (Tok Mat) akan kekal jawatan masing masing .Yakni keputusan memihak mereka.
Keputusan “top 2″ Umno tidak dipertandingkan bukanlah memeranjatkan. Tanda-tandanya sudah kelihatan sejak awal. Antaranya apabila kumpulan ketua Umno bahagian membuat ketetapan 24 jam sebelum PAU bermula.
Itu bagai isyarat (saranan atau mungkinkah arahan?) kepada ahli parti bawahan mereka yang menjadi perwakilan untuk tidak menyokong apa-apa usul jawatan presiden dan timbalan presiden dipertanding pada pemilihan yang akan diadakan tahun ini. Pada sudut lain, memastikan dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan.
Namun semasa Umno Negeri Sembilan (diwakili perwakilan Umno Bahagian Rembau yang ketuanya timbalan presiden parti) mengemukakan kepada perhimpunan usul tambahan – jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan, ia disambut dengan ejekan “boo” perwakilan. Videonya tular serta merta.
Tetapi jelas ejekan itu tidak cukup kuat. Terbukti hasil pengundian perwakilan semalam. Bak kata seorang perwakilan dari Pulau Pinang, “hanya segelintir perwakilan yang ‘boo’ kerana kerana ramai yang menyokong (usul itu )”.
Hasil pengundian sepetang semalam memang ramai perwakilan menyokong dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan. Undian dijalankan melalui kiraan tangan dan perwakilan berdiri menyatakan sokongan.
Mungkinkah jika undian dijalankan ala pilihan raya yakni memangkah kertas undi secara sulit (yang akan ambil masa) lain ceritanya? Waullahualam. Apa pun, rata-rata akar umbi yang ditemui FMT memberitahu secara peribadi mereka mahu pertandingan itu diadakan “demi demokrasi”.
Hakikatnya, Zahid kekal presiden, Tok Mat timbalan presiden sepenggal lagi. Itu yang diputuskan perwakilan PAU 2022 yang diadakan pada 2023 kerana ia ditangguhkan, mengambil kira PRU15 tahun lalu.
Sebelum ini, ada pihak dalaman, juga penganalisis dan pemerhati politik berpendapat Umno akan hidup segan mati tak mahu jika Zahid dan pemimpin lain yang “toksik” dikekalkan. Umno dilihat membelakangkan demokrasi jika tidak ada pertandingan. Juga Perikatan Nasional dikatakan akan “untung” jika Zahid kekal. Dan macam-macam lagi peringatan dan amaran.
Dengan pilihan yang perwakilan buat, adakah Umno tidak hiraukan itu semua? Pandang enteng mungkin ? Atau tidak percaya sama sekali “amaran dan peringatan” yang diberi? Apa pun keputusan sudah mereka buat. Lantas mesti dihormati semua, tidak kira sama ada yang setuju atau sebaliknya.
Ke mana Umno sekarang? Apa yang Zahid akan lakukan? Untuk membawa Umno ke hadapan. Adakah Umno akan menjadi parti “centrist” yang menawarkan khidmat kepada orang Melayu dan bukan Melayu?
Apa peranan yang Umno mahu mainkan “moving ahead” dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim? Semua pihak dalam Umno nampaknya mahu sokongan kepada kerajaan diteruskan.
Ada Umno mahu jadi parti Melayu dalam Pakatan Harapan seperti yang mahu dilakukan Khairy Jamaluddin “jika saya pimpin Umno”.
Seperti diakui perwakilan, Umno tidak disukai ramai dewasa ini .Bukan mudah untuk pulih apatah lagi bangkit. Sesungguh Umno punya banyak kerja sekarang. Bermula dengan pilihan raya enam negeri yang akan dijalankan tidak lama lagi .
Zahid ada rancangannya. Semasa menyampaikan ucapan dasarnya Jumaat lalu, beliau menggariskan lima hala tuju baharu Umno bagi “membolehkan parti bergerak ke hadapan, sesuai dengan perubahan sikap, pemikiran dan landskap politik negara “.
Tidak perlu saya menghuraikan apa hala tuju itu. Orang Umno saya kira sudah atau patut tahu. Saya jangka mereka akan bersama presiden dan timbalan menjayakan rancangan itu. Kerana mereka mahu Zahid dan Tok Mat dikekalkan, logiklah rancangan presiden mereka jayakan. Bukan begitu?
Apa jua rancangan, bagus macam mana pun, tanpa komitmen bersungguh-sungguh, ia akan tinggal rancangan.
Persoalan penting, apa akan terjadi kepada golongan yang dilabel “pengkhianat” parti? Ada nama-nama besar dalam kalangan golongan itu. Dalam lain perkataan, apa Zahid akan lakukan terhadap mereka?
Benar Zahid menegaskan sudah memaafkan 10 Ahli Parlimen BN, termasuk dari Umno, yang menandatangani surat akuan bersumpah menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ketika Parlimen tergantung susulan PRU15 – satu tindakan yang bertentangan dengan pendirian parti.
Pun begitu, Zahid juga berkata akan bersama Lembaga Disiplin terus memantau kumpulan berkenaan dan “mana-mana gerakan jika ada”.
Pada perhimpunan ini, terutama perhimpunan sayap Pemuda, kedengaran suara lantang menuntut tindakan diambil ke atas “pengkhianat” parti.
Menjelang pengundian dijalankan semalam mengenai usul pertandingan dua jawatan tertinggi parti, timbul dakwaan tanda nama pada kerusi perwakilan dalam dewan persidangan telah ditanggalkan.
Khairy, yang dikatakan berminat bertanding jawatan tertinggi parti, menerusi video di akaun Tik Tok, mendakwa tindakan itu dipercayai bagi membolehkan perwakilan “import “ dibawa masuk dewan untuk “sorak dan ‘bulldoze’ supaya jawatan presiden dan timbalannya tidak dipertanding”.
Ketua Penerangan Umno Isham Jalil menyangkal dakwaan itu sambil menganggap ia fitnah, dan mahu Khairy memohon maaf kepada semua perwakilan. Ketika artikel ini ditulis, tidak ada respon daripada Khairy.
Sejak perang Umno 1987, parti itu percaya pertandingan jawatan tertinggi hanya memecahbelahkan parti. Begitu juga kali ini. Menurut laporan FMT, ramai perwakilan percaya jika pertandingan dua jawatan tertinggi diadakan, ia akan menyebabkan perpecahan lebih teruk dalam parti.
Tetapi bertanya Pandak Ahmad seorang perwakilan Johor, “Sampai bila kita ingin menunggang perpaduan parti atau kestabilan parti?”
Katanya lagi jika betul Umno mahu perpaduan dan kestabilan, kenapa hanya jawatan presiden dan timbalan sahaja yang tidak dipertandingkan? Kenapa bukan semua jawatan parti di bahagian dan cawangan juga tidak dipertandingkan? Barulah perpaduan dan kestabilan parti terjaga. Pedih dan sinis saya kira. Setuju atau tidak terpulang.
Dengan tidak adanya pertandingan jawatan teratas, seperti biasa perebutan tiga jawatan naib presiden dan jawatan lain akan dilangsungkan.
Dalam pada itu, Mohamad Hafif Abdul Kamal dari Umno Tanjung Piai Johor berkata, beliau tidak menyokong usul tidak dipertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden.
Beliau khuatir parti akan berpecah jika dua jawatan utama itu tidak dipertandingkan. Pandangan berbeza daripada pandangan “mainstream” Umno. Bagaimana akan berpecah? Tidak pula dihuraikan.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.