‘Porno serik’ mengundi PRU15

‘Porno serik’ mengundi PRU15

Tidak benar atau penjelasan tidak penting untuk penonton porno kerana dalam tempoh sekejap mereka mahu melampiaskan nafsu.

Cerita yang sering diuar-uarkan hari ini ialah ‘pengundi serik selama 22 bulan di bawah PH’. Saya namakan dongeng ini sebagai ‘porno serik’. Porno kerana ada banyak sebab. Porno ini diperlukan untuk membalut imej parti yang terdedah pekung rasuahnya. Calon-calon parti ini bahkan perlu bersumpah tidak mengambil rasuah untuk meyakinkan rakyat. Parti tersebut sedang menjaja porno ini di media sosial dan dalam kempen tatap muka mereka.

Secara keseluruhan mereka cuba menjual ‘porno kestabilan dan kemakmuran’ tetapi nampaknya pengundi sedang mentertawakan mereka lantaran huru-hara pemilihan calon PRU15. Juga pengundi sudah tidak tergiur akan ‘porno kemakmuran’ memandangkan telur pun sukar dicari di pasar. Oleh sebab ‘porno kestabilan dan kemakmuran’ ini tidak cukup basah, perlu ada ‘porno’ lain.

Justeru, ‘porno serik’ amat berguna.

Di pihak lebai-lebai pula mereka sedang memainkan ‘porno’ lain iaitu dengan menghamburkan sebanyak-banyak tuduhan terhadap lawan mereka. ‘Porno’ ciptaan geng ini adalah lawan mereka itu komunis, lunak LGBT, ambil rasuah, dan akan menghakis keistimewaan Melayu. Yang selalu menjadi mangsa kelompok ini tentulah terkait dengan isu kaum dan agama.

Saya ingin mengupas ‘porno’ yang sedang berapungan dan berkesiuran bagai angin monsun Timur Laut ini. Saya menggunakan istilah porno. Pornografi menurut Dewan Bahasa bermakna ‘pengisahan sesuatu perlakuan, perbuatan, kejadian dengan cara mengghairahkan atau bertujuan untuk membangkitkan nafsu menerusi filem, dan bahan bacaan’. Pengisahan dalam kempen PRU15 ini saya lihat sebagai kelucahan melampau. Lucah bermaksud hina, keji, sangat rendah, tidak senonoh, dan tidak sopan.

Itu semua, kelucahan yang tersebut tadi, kini terdapat dalam kempen PRU15.

Pertamanya, ‘porno serik’. Kempen ini sedang menghunjam masuk segala lubang media sosial. Kisah-kisah kononnya rakyat teramat serik bawah pemerintahan selama 22 bulan. Kononnya tempoh 22 bulan itu orang Melayu diberikan janji palsu, kencing hancing, dan pelbagai lagi pengisahan untuk membangkitkan amarah. Penonton yang sedang gian ‘porno’ lekas percaya segala desah rengek itu. Padahal apa yang dilihat itu tidak “real”.

‘Pelakon-pelakon porno’ ini membangkitkan nafsu dengan cara kononnya terdapat penjawat awam dihentikan kerja (padahal mereka lantikan parti politik); usaha menghapuskan hak istimewa orang Melayu menerusi ratifikasi ICERD dan Statut Rom (padahal ia tidak berlaku); menjual aset negara (padahal ia pemulihan dengan menjual aset terpilih yang merugikan dan tadbir urus korporat yang cekap); dan tuduhan-tuduhan terhadap Tabung Haji (semua sudah disanggah di mahkamah).

Seperti juga porno, ilustrasi politik meruap-ruap yang penuh aksi tonggeng terbalik itu sama sekali tidak benar atau ada penjelasannya. Tetapi itu semua tidak penting untuk penonton porno kerana dalam tempoh sekejap mereka mahu melampiaskan nafsu.

‘Porno serik’ ini bertujuan untuk menutup satu ‘siplis’, sakit bahaya yang memamah tubuh kerajaan. Yang tidak dipericeritakan kepada penonton ‘porno’ ini ialah perihal hutang 1MDB yang hanya akan habis dibayar pada 2037. Kerajaan iaitu kita rakyat sedang menanggung 28 bilion untuk membayar hutang 1MDB, iaitu untuk tahun ini dan tahun hadapan. Najib Razak, jika tidak diampunkan oleh YDP Agong hanya akan bebas pada 2034, itu pun kita rakyat belum habis membayar hutang celaka ini.

Satu lagi ‘porno’ ialah porno mereka itu ‘maksum’. Bahawa gabungan yang bersih mereka sahaja. Padahal kita tahu ‘porno’ ini ada dalam bentuk video kabur. Porno seperti kita ketahui hanyalah khayalan untuk menggalakkan nafsu penonton. ‘Porno’ ini gambaran yang lengkap dengan henjut dan hunjam; yang kononnya gabungan ini sangat langit sifatnya.

Apabila kemuncaknya tiba, segala amarah pun meledak-ledak. Habis terpalit sana sini. Memang sudah klimaks pun tetapi tetap ‘porno’ masih berjalan. Selepas lesu dihenyak, tatkala itu barulah pengundi tersedar rupa-rupanya mana ada porno yang tidak berdosa.

Di sebalik ‘porno’ ini ialah apa yang dinamakan oleh sosiologis terkemuka kita, Prof Syed Hussein Alatas sebagai bebalisme. Bebal. Di mana mereka yang kita pilih sebagai pemimpin itu bebal, tidak kreatif, tiada daya cipta, tidak memberi solusi atau penyelesaian. Mereka ini bebal kerana menjual syurga khayalan. ‘Porno’ ini malah boleh menutup fakta real seperti tiadanya air bersih untuk dibuat mandi wajib di Kelantan.

‘Porno’ lebih dahsyat diciptakan untuk menutup aib lebih besar iaitu pengkhianatan. Pengkhianatan ‘dosa’ besar. ‘Porno’ ini tidak memasukkan prelud iaitu pada 2018 pengundi pelbagai bangsa dan kepercayaan beramai-ramai keluar menolak sogokan dan hamburan wang. Ia berlaku pada Rabu. Akan tetapi lebih kurang 20 bulan selepas itu, berlaku satu helah seperti yang diakui oleh Hadi Awang.

Hadi memulai Langkah Sheraton untuk kononnya mendatangkan sebuah ‘kerajaan bersih’. Anehnya ia melancarkan kisah ini dengan menggunakan naratif yang sedia ditayang oleh puak ‘porno serik’. Bahkan geng ‘porno agama’ dan ‘porno penyamun’ bergabung tenaga. Dalam erti kata lain, mandat yang rakyat berikan kepada PH untuk ditunaikan pada 2018 dinodai oleh kelompok agamawan ini.

‘Porno serik’ ini malangnya jika tidak ditangani dengan baik akan masuk dalam buku sejarah dan ‘diimani’ oleh penonton rakus. Hari ini, di saat kita penonton sedang terpesona dengan treler macam-macam porno itu, kita sedang juga menahan diri untuk tidak tertipu.

Kita tidak harus terbodoh sebentar mempercayai dan meyakini porno-porni di atas. ‘Porno’ yang telah dibabad sebenarnya boleh disangkal dan disanggah. Penonton boleh sahaja berfikiran waras dan tidak lekas terangsang. Kita berhak menyaring semua ‘porno’ ini dengan tenang dan kewarasan.

Cara melawan ‘porno politik’ hina dina ini ialah dengan lojika dan akal rasio. Cukuplah kita terpornokan selama 60 tahun. Kamu, kita, kami boleh menolak ‘porno’ ini.

Turun melawan ‘porno’ di kotak undi.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.