
Minggu lalu DAP Perak mengumumkan penubuhan cawangan Melayu terbesar di negeri itu yakni cawangan Parit yang terdiri daripada 313 ahli parti, semuanya berketurunan Melayu.
Tidak memeranjatkan ruang komen pembaca yang disediakan laman berita yang menyiarkan laporan penubuhan DAP Parit itu digunakan sepenuhnya oleh orang anti-DAP untuk menyelar orang Melayu yang menjadi ahli DAP, khususnya mereka yang berada dalam “the all Malay DAP branch”.
Namun penubuhan itu dilihat oleh DAP sendiri sebagai kejayaan DAP Perak mencipta sejarah. Diakui 313 bukanlah jumlah yang menakjubkan tetapi ia tetap membanggakan, mengambil kira pandangan orang Melayu terhadap DAP selama ini.
“Langkah baik dan perkembangan politik yang positif memandangkan Parit ialah ‘Malay heartland’ yang kuat ketuanan Melayunya,” kata kawan rapat saya – bekas wartawan politik berasal dari Perak dan masih menetap di Perak.
Sememangnya penduduk kawasan Parit majoriti Melayu. Pada aspek politik, persaingan membabitkan Umno dan PAS dan Umno yang selalu menang tiap kali pilihan raya diadakan sejak 1959. Hanya pada PRU 1999 BN dikalahkan PAS sekaligus rekod cemerlang Umno musnah.
Menurut pemerhati politik, antara sebab kekalahan Umno waktu itu ialah undi protes – pengundi Parit menolak langkah Umno membawa masuk calon luar meskipun calon itu orang kuat Umno dan memegang jawatan timbalan menteri dalam negeri dalam pentadbiran Perdana Menteri Mahathir Mohamad.
Calon yang dimaksudkan ialah Megat Junid Megat Ayob yang diarah Mahathir berpindah dari Parlimen Pasir Salak ke Parlimen Parit. Megat Junid sendiri mengaku dapat rasakan akan kalah.
Dalam bukunya berjudul Getik (2000), Megat Junid menulis: “Tahun 1999 Umno bergolak.Taufan reformasi. PAS Parit pun bertenaga. Faktor Anwar Ibrahim kuat di Parit.”
Lalu katanya: “Keputusan pilihan raya saya kalah 1,200 undi. Kedua-dua Dewan Negeri pun kalah. Hairan juga saya. Ahli Umno ada 16,000. Saya hanya dapat 10,700 termasuk 3,000 undi orang Cina dan India. Bermakna hanya 7,700 orang Umno undi BN. Ke mana pergi 7,000 orang Umno yang lain.”
Saya memetik tulisan Megat Junid untuk menyatakan orang Melayu Parit sama ada orang Umno atau bukan orang Umno berani bertindak, memecah tradisi amalan biasa, dan membuat perubahan jika atau apabila mereka fikir tindakan sedemikian wajar.
Maksud saya, mereka punyai sejarah menentang arus. Bukan saya mahu samakan keadaan dan pendirian orang Parit dahulu dengan orang Parit sekarang Cuma menyatakan sejarah apa yang pernah terjadi.
Bagaimanapun menurut kawan lama saya seorang anak jati Perak: “Ada kawan-kawan yang asal Parit yang masih ada ramai saudara-mara di sana mengalu-alukan perkembangan terbaharu politik ni bro.
“Mereka ni dah muak dengan Umno yang masih belum tunaikan janji-janji masa kempen PRU beberapa tahun lalu. Najib (Razak) pun pernah janji nak ‘upgrade’ jalan Parit-Siputih-Ipoh. Jalan ni sejak aku sekolah ‘remain the same as 50 years ago’ dan macam-macam rungutan lagi.”
Hakikatnya, kata beliau, Parit ketinggalan terutama setelah tidak lagi jadi ibu daerah Perak Tengah, digantikan oleh Bandar Seri Iskandar selaku pusat pentadbiran daerah.
Pada PRU14, Parlimen Parit dimenangi Umno-BN. Begitu juga dua DUN dalam kawasan itu – Bota dan Belanja.
Berbalik kisah orang Melayu dan DAP . Kawan saya mengingatkan kaitan atau hubungan orang Melayu dengan DAP di Perak “sudah ada seawal 1960-an lagi walaupun respon tak kuat”.
Antara nama besar DAP Melayu Perak ialah Ibrahim Singgeh yang pada 1969 menjadi ADUN pertama dalam kalangan orang Melayu bagi DAP. Beliau menang kerusi Tapah Road mengalahkan calon Perikatan dan PAS.
Seorang lagi ialah Fadzlan Yahya yang dikenali sebagai pemidato hebat. Beliau merupakan ADUN Pasir Berdamar yang dimenanginya pada 1982 dan 1986 dan juga DUN Lahat yang dimenangi pada 1990.
Pada PRU 1974, 14 darpada 38 calon DAP yang bertanding DUN Perak orang Melayu, antaranya Daeng Ibrahim Othman yang menewaskan calon MCA untuk menangi DUN Pasir Putih.
Berlatarbelakangkan itu, semua apa yang berlaku di Parit membabitkan penyertaan orang Melayu dalam DAP bukan lah sesuatu yang pelik, aneh, mahupun luar biasa.
Perlu dingat juga naib pengerusi DAP Perak sekarang ialah Aziz Bari – ADUN Tebing Tinggi yang juga ketua pembangkang Perak.
Bolehkah disimpulkan orang Melayu sudah mula “warm up” terhadap DAP, khususnya di Perak? Ada yang kata mungkin. Ada yang kata tidak sama sekali. Penolakan bukan mengejutkan kerana Umno dan PAS sama rancak terus menuduh DAP anti-Melayu anti-Islam.
Namun bagi saya penubuhan cawangan DAP Melayu di Parit “is a big deal nevertheless” meskipun orang Melayu tidak akan (atau belum?) berbondong-bondong jadi ahli DAP atau undi parti berkenaan.
Saya petik kata-kata Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming pada majlis pelancaran penubuhan cawangan Parit tempoh hari, berbunyi: “Suatu ketika dahulu tiada ada orang yang terbayang akan tertubuhnya DAP di kawasan yang hampir 100% Melayu di Parit.
“Tetapi hari ini DAP menubuhkan cawangannya di Parit dan cawangan ini cawangan DAP Melayu terbesar di Perak dan diketuai orang Melayu.”
Teringat “sedikit-sedikit lama-lama…” Adakah itu strategi DAP?
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.