Bagi orang yang tak ada duit atau lebih tepat orang tak berduit banyak, biasanya makan nasi dengan telur dan kicap. Itu luahan seorang kawan lama yang seperti saya marhaen. “Tak makan telur, nak makan apa lagi?”, tanya beliau menerusi hantaran di Facebook.Betul katanya itu. Tentu kita semua setuju bahawa apabila kita “sesak-sesak” sama ada tidak cukup duit atau ada duit, tetapi apabila pulang ke rumah, yang menunggu hanya nasi kosong kerana lauk sudah habis, maka telurlah jadi penyelamat.
Digoreng “mata kerbau” untuk dimakan dengan kicap dan cili api (mungkin juga dengan cili hijau atau merah) atau dijadikan dadar, rebus atau buat sambal. Beres sepinggan nasi.
Namun, kata seorang pegawai tinggi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, orang ramai kurangkanlah pengambilan telur berikutan kenaikan harga.
“Kita sebagai pengguna, kalau dah tau kenaikan harga telur tu tinggi, kalau boleh kita kurangkan sikit makan telur. Kalau satu minggu kita makan lebih kurang 20 biji, kita kurangkan jadi 10 atau 15 biji. Tak ada masalah. Itu adalah cara gaya hidup kita,” kata si pegawai kerajaan berpangkat tinggi itu.
(Kata-kata itu sama dengan kata-kata beberapa menteri kerajaan terdahulu – “kalau harga ayam mahal jangan makan ayam, makan ikan atau daging”. “Makan kangkung harga murah” dan “Kalau takut lambat sebab ‘traffic jam’ keluar rumah awal”. Jika menteri bercakap seperti itu, tidak hairan pegawai bercakap senada dan seirama).
Berbalik kepada kurangkan makan telur yang disaran pegawai tadi. Respons wartawan veteran Zin Mahmud amat menarik: “Kalau dulu kita makan telur separuh masak, sekarang kita makan suku masak”. Izinkan saya menambah – mungkin itu “gaya hidup kita” yang dimahukan si pegawai tadi. Gaya hidup baharu kita.
Jelas Zin memerli dan menyindir. Sarcasm menerusi hantaran di Facebook. Begitu juga pengarang portal berita Amin Iskandar, juga melalui hantaran Facebook. Menyentuh kenaikan harga makanan keseluruhan – bukan sekadar harga telur.
“Bila rasa lapar, minumlah air. Tak lama lepas tu hilanglah lapar tu”, nasihat atau “petua” beliau untuk kita marhaen.
Seorang warganet bertanya: “Dah try tapi masih lapar, amacam?” Amin menjawab ringkas: “Minum lagi air”. Ingin saya menambah – minum sampai kembung perut.
Bukan kami berjenaka mengenai isu yang serius, cuma ia tercetus akibat rasa marah, kecewa dan bimbang masalah kenaikan harga makanan dan perkhidmatan yang sedang melanda kita. Setakat ini, cadangan dan solusi yang diutarakan pihak berwajib tidak meyakinkan.
Tidak dinafikan ada faktor luaran mengakibatkan keadaan ini. Namun, tidak dapat elak kemarahan dan rasa kecewa turut ditujukan kepada kerajaan kerana ia mesti bertanggungjawab. Tidak boleh lepas tangan.
Adakah ini adil? Bukankah kerajaan sudah mengambil langkah tertentu. Terbaru menubuhkan apa dinamakan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi. Penubuhan pasukan itu didakwa menunjukkan “kerajaan tidak lepas tangan”. Lalu tampil beberapa pihak memuji.
Pemilihan istilah “jihad” menunjukkan keseriusan kerajaan dan usaha pasukan itu dikira teramat penting. Kita tahu “jihad” lazimnya dikaitkan dengan usaha murni ke jalan agama. Lebih tepat ke arah jalan Tuhan.
Tetapi, bukankah sudah ada MPN? Majlis Pemulihan Negara. Apa perlunya pasukan baharu? “MPN gagal dan harus dibubar saja”, kata Ahmad Zahid Hamidi, presiden Umno mempertahankan langkah kerajaan membentuk Pasukan Khas Jihad, walaupun beliau tidak duduk dalam kerajaan.
Jelas kenyataan itu juga satu serangan ke atas musuh politiknya, Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan MPN. Terpulang sama ada anda setuju dengan pandangan Zahid atau tidak.
Bagi saya, persoalannya (yang ramai juga bertanya) ialah – Pasukan “Jihad” dianggotai menteri. Maka tidakkah boleh mereka berbincang sesama sendiri dan cari penyelesaian apabila bertemu dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan sebagainya? Apa perlunya satu lagi pasukan dianggotai orang yang sama? Bukankah ini satu pertindihan?
Saya setuju dengan pendapat bekas menteri undang undang, Zaid Ibrahim seperti dilaporkan FMT tempoh hari bahawa hanya pasukan ekonomi pimpinan mantap boleh urus inflasi, bukan slogan keagamaan. Ya, jelas pemilihan istilah “jihad” mempunyai elemen Islamik untuk memikat pengundi Melayu Islam. Bukankah PRU15 sudah banyak diperkatakan?
Bagaimanapun, kata Annuar Musa, pengerusi Pasukan Khas “Jihad”, ramai lagi akan menyertai tim beliau tanpa memberi butiran lanjut. Membayangkan beliau akur penyertaan pakar ekonomi penting.
Apa pun, agak “menyedihkan” apabila Annuar awal-awal lagi sudah berkata “Malaysia mempunyai kadar inflasi antara paling rendah, iaitu 2.8% berbanding negara Asean lain, mahupun negara maju”.
Saya kata “menyedihkan” kerana adakah beliau “down playing” masalah inflasi negara kita? Adakah kenyataan beliau boleh dilihat membawa makna oleh kerana inflasi kita “rendah”, maka masalah dihadapi mudah diatasi? Lalu pasukan “jihad” tidak perlu “pecah kepala” cari formula menangani masalah ini? Buat sempoi-sempoi saja?
Kita bercakap mengenai negara kita – inflasi kita. Inflasi negara lain tinggi ke rendah ke, bukan urusan kita.
Dan ingin juga saya bertanya mengapa hanya apabila inflasi (dan harga barang) luar negara lebih tinggi, menteri amat gemar buat perbandingan dengan kita? Tetapi, apabila kadar inflasi dan harga barangan mereka lebih murah, menteri kita membisu seribu bahasa. Mengapa dan kenapa ya?
Minggu ini, Pasukan Khas “Jihad” inflasi diberitakan akan mengadakan perbincangan bagi menggalakkan semua “outlet”, kedai runcit dan pasar raya melancarkan kempen jualan murah. Begitu dinyatakan Annuar.
Kempen jualan murah secara besar-besaran, kata beliau “membolehkan pengguna mengurus perbelanjaan mereka dengan lebih baik”.
Adakah ini antara cara yang telah diilhamkan untuk menangani inflasi? Adakah ini cara efektif yang memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat? Serta-merta, jangka pendek dan jangka panjang?
Adakah barangan yang dijual di jualan murah besar-besaran itu benar-benar murah? Mampukah peniaga lakukannya? Bagaimana pula kesannya kepada mereka? Peniaga dan penjual juga rakyat Malaysia yang mesti dilindungi dan kepentingannya mesti turut dijaga? Seperti pengguna juga.
Saya anggap ini hanya satu “gimik”. Jika tidak pun, ia satu “stop gap measure”, bukan penyelesaian tulen.
Perdana menteri pula bercakap mengenai subsidi. Kata Ismail Sabri Yaakob, subsidi makanan ialah untuk rakyat negara ini, tetapi “warga asing yang duduk di negara kita juga menikmatinya”. Ini katanya sesuatu yang tidak adil.
Benar, tetapi suka atau tidak, ini realitinya. Mereka duduk dan kerja di negara ini, sekali gus membeli barangan harga sama yang dijual kepada rakyat Malaysia. Secara tidak langsung (atau langsung) menerima nikmat subsidi, apabila mereka membeli makanan yang dijual di negara ini.
Setelah berkata demikian, apa yang Ismail cadangkan? Mewujudkan senarai harga berlainan? Satu senarai untuk warga tempatan dan satu untuk warga asing? Tentunya tidak. Ia mustahil. Ini bukan seperti peraturan pembelian petrol yang dikenakan kepada warga Singapura yang menyeberangi Tambak Johor untuk mengisi tangki kenderaan mereka. Lantas bagi saya, itu kenyataan yang “unnecessary” dan bermotif politik.
Hakikatnya, yang diperlukan ialah keikhlasan, kerja keras dan kepintaran untuk mencapai kejayaan. Jika Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bangga dengan istilah “jihad” yang ada pada nama pasukan, maka semua itu WAJIB dilakukan. Bukan “sunat”, tetapi WAJIB. Bukankah mereka sedang “berjihad”?
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.