
Asalnya mahu tulis topik lain. Ubah fikiran apabila terbaca laporan 18 April. Mohamad Hasan, timbalan presiden Umno, menyifatkan keputusan partinya menamakan Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri untuk PRU15 menunjukkan “kesepakatan, kematangan, dan kestabilan” Umno menghadapi pilihan raya “yang ramai percaya akan diadakan tidak lama lagi”.
Hujah Mohamad itu sebenarnya bukanlah dakwaan atau pengisytiharan baharu. Sebelum ini pun ramai orang Umno, daripada atasan hingga bawahan, berkata sedemikian sebaik sahaja MKT Umno tempoh hari umum apa yang mereka umum, yakni Ismail Sabri calon PM mereka.
Namun oleh kerana Mohamad atau Tok Mat orang nombor dua parti dan kini disebut sesetengah pihak “molek” menjadi calon Umno untuk jawatan timbalan perdana menteri, wajarlah apa yang beliau katakan diberi perhatian.
Lagi pun beliau juga berkata keputusan menamakan Ismail calon PM sekali gus menutup spekulasi bahawa Umno berkecamuk dalam menentukan “poster boy” untuk menghadapi PRU15 kelak.
Kita tahu sememangnya Umno berkecamuk berhubung isu “poster boy” sehingga ada ketika parti itu berura-ura tidak akan ada pemimpin diangkat sebagai “poster boy” – wajah rasmi parti untuk menarik sokongan pengundi pada PRU15.
Kita tahu mereka “pening kepala” malah “ berselisih pendapat” mengenai isu ini kerana mengikut tradisi “poster boy” Umno-BN ialah presiden Umno selaku perdana menteri. Namun kali ini presiden parti orang lain, PM orang lain. Bukan itu sahaja. PM hanya sekadar naib presiden parti, lebih rendah daripada presiden.
Sememangnya “poster boy” sesuatu yang penting bagi parti politik ketika menghadapi pilihan raya.
Maka dengan keputusan MKT Umno tempoh hari dan berdasarkan apa yang dikatakan Tok Mat bolehkah disimpulkan semua yang berkecamuk sudah beres? Itu biar orang Umno sendiri jawab dengan ikhlas dan jujur meskipun tidak secara terbuka.
Bagi saya Umno masih dihantui dengan apa yang berlaku di Johor. Lebih tepat apa yang berlaku selepas PRN Johor yang parti itu selaku nakhoda bahtera BN menang bergaya.
Kita tahu Umno menampilkan kepada rakyat Johor, Hasni Mohamad, sebagai calon menteri besar jika menang PRN. Namun Istana Johor melantik Onn Hafiz Ghazi sebagai MB, sekali gus “membatalkan” pilihan Umno-BN.
Saya kata apa yang berlaku di Johor masih menghantui Umno ialah kerana ramai orang politik dan bukan politik berpendapat perkara yang sama boleh berlaku di peringkat persekutuan. Lantas kata mereka bukan pasti Ismail akan jadi PM kalau pun Umno-BN menang PRU15 dengan majoriti mencukupi untuk menubuhkan kerajaan persekutuan.
Bak kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang: “Nanti jadi macam Johor. Calonkan orang lain naik orang lain. Order barang lain sampai hok lain”. Suka atau tidak ada betul dan logiknya apa yang dikatakan Hadi.
Campur tangan Istana dalam pelantikan Menteri Besar bukan perkara baharu. Kita tahu adakala raja-raja Melayu punya pilihan sendiri selain tokoh yang diutarakan parti yang menang pilihan raya dan memerintah, atas sebab dan alasan tertentu.
Pada 1978, perdana menteri ketika itu Hussein Onn melantik Abdul Rahim Bakar sebagai menteri besar Pahang, Bagaimanapun Rahim hanya sepenggal kerana krisis dengan Sultan Pahang.
Pada 2016, berlaku ‘kebuntuan’ di Terengganu apabila MB waktu itu Ahmad Razif Abdul Rahman dikatakan berdepan masalah dengan Sultan Terengganu. Darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri ditarik balik oleh Istana. Pun begitu krisis besar-besaran dapat dielakkan dan pada Disember tahun itu Sultan berkenan memberi semula darjah kebesaran berkenaan.
Tentu kita tidak lupa Langkah Kajang di Selangor pada 2014. Sultan Selangor tidak berkenan dengan calon tunggal untuk jawatan menteri besar yang dipersembahkan oleh PKR. Calon berkenaan kita tahu ialah Wan Azizah Wan Ismail.
Setelah berlaku kebuntuan Sultan Selangor memberi perkenan atas pelantikan Azmin Ali untuk menggantikan Khalid Ibrahim yang telah disingkir daripada jawatan menteri besar.
Banyak lagi peristiwa di mana Istana terbabit secara langsung memilih menteri besar walaupun parti politik yang mempunyai jumlah terbesar wakil dalam Dewan Undangan Negeri berhak memilih menteri besar dalam kalangan mereka.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pernah dilapor berkata: “Jika raja-raja yang pilih MB kita bukan negara demokrasi”. Saya setuju.
Amalan lazim ialah parti politik sama ada BN mahu pun Pakatan Harapan setelah membuat keputusan siapa di antara mereka layak jadi MB akan mempersembahkan nama tokoh berkenaan untuk mendapat perkenan raja.
Bagaimanapun seperti dikatakan tadi, terutama sejak kebelakangan ini, senarai nama dipersembahkan kepada Istana. Gambarannya ialah dengan memberi senarai nama, parti politik “seolah-olah” mengizinkan raja-raja membuat keputusan muktamad siapa yang harus dilantik menteri besar.
Apabila Pakatan Rakyat menang di Perak pada PRU 2008, gabungan itu mengemukakan kepada Istana Perak tiga nama yang pada hemat mereka layak jadi menteri besar. Raja Nazrin Shah yang masa itu pemangku sultan, memilih Nizar Jamaluddin yang ketika itu mewakili PAS.
Dalam temubual saya dengan pakar perlembagaan, Aziz Bari, pada 2019, beliau fikir telah jadi satu “budaya politik” parti politik menyediakan senarai mengandungi beberapa nama. Pada hemat beliau ini satu “masalah parti-parti politik dan ahli politik yang sedang bersaing dalam kalangan mereka”.
Tetapi mungkin juga senarai nama diserahkan kerana ada kemungkinan Istana akan menolak calon tunggal yang dikemukakan parti yang punya majoriti di DUN seperti yang kita tahu telah berlaku pada masa lalu.
Kata Aziz dalam temubual itu, dalam sistem berparlimen, ketua negeri tidak boleh lakukan itu. Bahkan tidak ada perundangan yang menyatakan lebih daripada satu nama mesti diutarakan oleh parti majoriti.
Kata beliau lagi, mengikut undang-undang “jika parti majoriti mempersembah hanya satu nama, ketua negeri mesti menerimanya dan tidak boleh meminta nama-nama lain dikemukakan”.
Walaupun komen itu disuarakan pada 2019 saya kira ia masih relevan dan terpakai kerana perundangan negara bersabit perkara itu tidak berubah.
Bagaimana pula pada peringkat persekutuan? Khususnya peranan Agong dalam perlantikan perdana menteri. Ini banyak diperkatakan terutama sejak berlakunya ‘rampasan kuasa politik’ yang dikenali sebagai Langkah Sheraton.
Menurut Perkara 40(2) Perlembagaan, perdana menteri dilantik atas budi bicara Agong yang berperanan sebagai ketua negara. Manakala Perkara 43(2) pula menetapkan bahawa perdana menteri haruslah dilantik dalam kalangan ahli Dewan Rakyat, yang pada hemat Agong mendapat kepercayaan ahli dewan. Jelas.
Berbalik isu Ismail dinamakan Umno sebagai calon PM. Walaupun Hadi tidak menyebutnya secara jelas mahupun khusus, pada saya beliau merujuk soal perkenan Agong dalam perlantikan perdana menteri apabila beliau berkata: “Nanti jadi macam Johor . Calonkan orang lain naik orang lain. Order barang lain sampai hok lain”.
Malah Naib Presiden Umno, Khaled Nordin, sendiri tidak tolak kemungkinan apa yang berlaku di Johor boleh berlaku juga pada peringkat persekutuan. Beliau bagaimanapun bercakap dalam konteks menamakan Ismail sebagai calon PM adalah langkah penting untuk Umno bergerak ke depan berikutan isu pelantikan MB Johor.
Kata Khaled, Umno tidak harus dibelenggu dan tidak dapat bergerak akibat isu MB Johor “walaupun ada kemungkinan keadaan diulangi pada peringkat persekutuan”. Katanya, Umno akan terpaksa berdepan isu itu jika ia terjadi lagi.
Kata apa pun berhubung menamakan Ismail calon PM Umno – bagus untuk parti, tunjuk kematangan dan kesepakatan, dan macam-macam pujian, hakikatnya bagi saya apa yang terjadi di Johor dan apa yang dilakukan Istana menolak calon parti dan mengangkat pilihan sendiri, masih dan tetap menghantui Umno.
Kata-kata Khaled membayangkannya.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.