Berlakon dukung-dukung dengan krim

Berlakon dukung-dukung dengan krim

Kalau saya bikin filem mengenai menteri tabur rasuah sewaktu pilihan raya padahal tiada yang seksual, apakah televisyen berani menyiarkan?

Sebenarnya kalau yang berlakon dukung-dukung itu anak menteri yang jambu, dan bukan Zul Ariffin, tak ada mata siapa pun terbelalak. Tak akan ada air liur terleleh pun. Ustaz dan Harakah pun tak akan tergempar. Semua akan biasa-biasa, buat macam pandang tak pandang. Mungkin malah akan tolong pertahankan.

Barangkali mereka akan mengatakan; Oh sekadar bercelapak dan bergantung di pinggang itu memang ada dalam kitab lama-lama, kita saja yang lalai selama ini. Katakanlah penerbitnya itu ada pinjam nama Tengku mana-mana, tak ada siapa berani usik. Sebab daging kangaroo pun boleh menjadi daging kerbau. Akan tetapi Erma Fatima tidak memilih anak menteri untuk melakonkan watak lelaki itu, dan Erma bukan bini mana-mana kerabat.

Kehebohan ini hipokrasi semata-mata.

Masih ingat tarian lucah ketika kempen pilihan raya di Johor? Ada heboh? Cepat-cepat dibenamkan, bukan? Sebab ada siapa di situ?

Satu perkara yang lebai kurang faham ialah dunia seni ada autonominya sendiri. Bila saya hujahkan dunia seni ia bukan dunia porno tentunya. Porno tak ada seninya (itu pun kalau ditanyai penerbit industri porno mereka akan mengatakan sebaliknya). Dunia seni tidak mesti dikekang oleh tanggapan budaya. Lagipun yang kita lihat hanya “teaser” dan bukan keseluruhan, adakah kita melenting dan menghukum berdasarkan fragmen pendek?

Kehebohan ini hipokrasi semata-mata.

Di luar sana ada banyak hal sedang berlaku. Pelacuran, fasad atau korupsi, kesenggamaan yang dihalalkan atas nama perkahwinan bawah umur, menteri kahwin “online”, kemabukan, tebuk dara, tebuk atap, video politikus yang kabur-kabur tak berapa nak HD. Semua itu realiti masyarakat kita. Pengamal filem hanya menjadi cermin. Tidak semestinya mereka memasukkan elemen dukung-dukung dan sememehkan mulut pelakon dengan tepung teligu itu demi niat mendapat untung.

Kehebohan ini hipokrasi semata-mata.

Ramai yang mulai memaksa karyawan filem untuk mengikut garis panduan yang ditetapkan Lembaga Penapisan Filem (LPF) supaya terhindar isu panas dan kontroversi. Segelintir melolong-lolong untuk membekap menteri dengan meminta pihak berwajib seperti SKMM mengambil tindakan paling tegas seperti dilakukan Menteri Penerangan dulu-dulu, Mohamed Rahmat atau Tok Mat, pada era 1990-an. Konon artis dan penggiat seni yang bermasalah tidak mendapat tawaran dan digam stesen TV sepanjang tempoh ditetapkan.

Padahal tindakan tegas zaman Tok Mat itu gagal teruk. Jika ia berjaya, kita tidak akan membincangkan perihal sama hari ini. Filem kita masih gagal di Cannes atau Oscar. Jadi masih sama sahaja. Ada dukung tak ada dukung, ada jolok mulut dengan jari berlumur “whip cream” atau tidak; tetaplah sama. Kita perasan sendiri-sendiri kita macam “best”.

Kehebohan ini hipokrasi semata-mata.

Maka seruan untuk menggam Zul Ariffin ini satu seruan binasa. Kalau yang buat itu anak menteri yang rapi tentu tak akan ada seruan begini. Bahkan, menghukum pengamal seni satu tindakan terkebelakang. Pada 2017, Karima Bennoune yang merupakan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa Bersatu Untuk Hak Berkebudayaan telah pun menegur polisi-polisi separuh masak dan penuh kemunafikan, yang objektifnya sia-sia dalam membantutkan perkembangan seni. Polisi sedia ada hanya terpakai untuk sekumpulan kecil saja.

Kehebohan ini hipokrasi semata-mata.

Juga seruan sensor di TV tempatan adalah tindakan sia-sia memandangkan kita ada pelbagai medium TV berbayar secara digital. Nasihat saya berhentilah berhipokrit. Gunalah pendekatan lain, iaitu bersifat mengasuh dan mendidik bukan menghukum dan membataskan. Dunia hari ini makin kompleks, tindakan keras tidak memudah atau melancarkan.

Sebenarnya selama ini pun filem atau drama kita memang pun begitu-begitu. Cuba ambil sedikit masa dan lihat senarai filem kita yang diterbitkan. Contoh, Hati Bukan Kristal (1991), antara lain lakonan Julia Rais (ada watak pelacur kelas atasan) atau Bintang Malam (1992) antara lain lakonan Ogy Ahmad Daud (ada watak pelacur kelas murahan). Ambil pula filem Perempuan, Isteri & … (1994) itu tentang isteri curang yang makan luar dengan Bhai jual karpet. KL Menjerit (2003) perihal rempit-rempit. Gubra (2006) juga ada lacur-lacurnya. Banyak yang lain. Jadi senonoh atau tidak itu sangat subjektif dengan parameter orang seni. Tak payah kita pura-pura melatah konon filem atau drama kita semakin memburuk. Tak payah, sebab kehebohan ini hipokrasi semata-mata.

Memang ada filem yang nilai edukatif, tetapi estetikanya serasa kurang. Lihatlah Syukur 21, utopia sebuah negara Islam yang merimaskan, hatta menggunakan skala naqib usrah.

Terlalu banyak pihak ingin menerap atau memantakkan piawai mereka sendiri kepada orang. Oleh sebab kita suka memantakkan piawai kita ke atas orang maka kita melihat bagaimana kalimah Allah dilarang guna untuk orang bukan Islam. Oleh sebab kita suka memantakkan piawai kita ke atas orang maka kita melihat bagaimana anak orang boleh dilarikan dan diislamkan sesuka hati tanpa izin si ibu. Oleh sebab kita suka memantakkan piawai kita ke atas orang maka kita melihat bagaimana kita menghukum orang yang tidak akur akan parameter kita itu. Mengapa kita cepat melatah? Kerana Ramadan semakin dekat? Jikalau ia dijadualkan tayangan Zulkaedah tak apakah? Kalau anak menteri yang jambu berlakon begitu akan adakah kekecohan ini? Adakah kerana pelakon itu bukan anak menteri atau tiada Tengku maka ia boleh dilanyak?

Karyawan menggarap berdasarkan realiti di luar sana. Ini bermakna mereka sebenarnya peka. Saya malah menunggu jika ada filem mengenai ustaz selebriti yang melucah di aplikasi media sosial, kerana ia memang terjadi. Kisah pemimpin parti tertentu yang melanggan OnlyFans, berani? Atau kita menunggu kisah penggali kubur yang resah di malam hari kerana jenazah menteri atau pemerintah yang dikebumikannya pada siang hari tadi mencekau-cekau dalam kubur sebab sudah membaham duit rakyat, atau tidak berlaku adil terhadap murbawan. Tak ada pun hal seumpama ini.

Kehebohan ini hipokrasi semata-mata.

Mengapa kita menghujahkan karyawan filem tidak bertanggungjawab dengan begitu cepat? Bolehkah kita berlapang dada dan mengiktiraf yang ruang seni itu berbeza dengan ruang lain. Jangan menggunakan neraca kita untuk membataskan pergerakan ruang lain (seni). Jika ada pengarah atau penerbit tidak menggunakan pendekatan atau regulasi yang kita gariskan; tidak semestinya pendekatan kita itu saja yang benar.

Ada yang mengatakan kalau dosa peribadi maka jangan diintai, tetapi kerana adegan melucah itu di publik maka elok dikoreksi. Argh betapa candanya.

Pertimbangan yang mungkin munasabah bila kecoh-kecoh soal panduan moral dalam sinema ialah filem-filem Iran. Mereka berjaya. Dua kali Oscar. Entah berapa kali di Cannes. Akan tetapi itupun tak akan memenuhi selera pihak berkuasa agama kerana akan dituduh Syiah pula. Jadi ia bukan soal batasan moral. Kalau saya bikin filem mengenai menteri tabur rasuah sewaktu pilihan raya padahal tiada yang seksual, apakah televisyen berani menyiarkan?

Katakan saya buat filem yang dilakonkan oleh Zul Ariffin yang mendukung-dukung dan menimang duit sebelum ditabur kepada pengundi sebagai wang ihsan. Katakan yang menyambut duit itu adalah mek Felda Simpang Renggam lakonan Siti Hariesa yang baru boleh mengundi (18 tahun). Waktu menabur duit habuan pilihan raya itu Zul akan terkebil-kebil dengan mulut sedikit terbuka; sementara perempuan itu pula mulutnya terjuih-juih menerima sogokan seraya tergetap bibir geram. Sebab itu saya katakan kehebohan ini hipokrasi semata-mata.

Drama televisyen kita memang kurang berkualiti tetapi ia tiada kaitan dengan berani atau tidaknya pelakon atau penerbit. Negara ini memang ditadbir orang yang penuh tipu daya. Mereka memaksa kita di ruang apa pun ikut sama menipudaya. Tak semua kita terdaya berhipokrit. Kali ini, terjangkit paksaan itu ke atas orang seni. Mereka iaitu karyawan seni tak bemaya melawan. Jika mereka mengalah kali ini, ruang mereka akan ditebuk atap. Ia akan berlaku lagi. Jaga-jaga. Padahal kehebohan ini hipokrasi semata-mata.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.