Selepas Sarawak, masih relevankah Barisan Nasional?

Selepas Sarawak, masih relevankah Barisan Nasional?

Kini pertalian GPS dan BN seolah sudah “diperlembagakan” di Parlimen. Maknanya, GPS dan BN setaraf.

Sarawak nampaknya tidak perlukan payung Barisan Nasional (BN) lagi. Ia kini sudah mempunyai platform politik sendiri iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dikira mampu mengisi keperluan menjalin hubungan langsung dengan kerajaan Persekutuan Malaysia.

Sarawak sudah ada versi BN-nya sendiri. Ia ditunjangi oleh empat parti – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS), dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

GPS diasaskan pada 12 Jun 2018 demi menyokong gabungan kerajaan pusat yang baharu – Pakatan Harapan (PH) – yang menumbangkan kerajaan BN menerusi pilihan raya umum pada Mei 2018. Langkah GPS ini menjamin perwakilan Sarawak ada dalam dalam Kabinet persekutuan.

Namun persahabatan PH-GPS bertahan hanya 22 bulan. Susulan Langkah Sheraton yang menumbangkan PH, gabungan dari Sarawak itu beralih menjadi sekutu Perikatan Nasional dan seterusnya kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ pimpinan Ismail Sabri Yaakob daripada Umno.

Adalah jelas bahawa parti-parti Sarawak ini tahu dan sentiasa insaf betapa ia perlu memelihara kepentingan politik rakyatnya dalam kerangka politik kebangsaan Malaysia. Intinya politik Sarawak mengutamakan kestabilan.

GPS mempunyai pegangan politik yang realistik dan jelas. Ia perlu berlindung bawah gabungan politik yang kental. BN tidak mungkin mampu memperjuangkan kepentingan Sarawak jika BN hanya berkedudukan pembangkang di Dewan Rakyat.

Slogan “GPS Utamakan Sarawak” membuktikan betapa tinggi semangat kenegeriannya. Sebab itu lantas ia mencatat kemenangan besar 76 – 82 dalam PRN minggu lalu.

Rekod BN tidak menentu. GPS pula berhasil “memujuk” BN tidak perlu bertanding dalam PRN Sarawak sekaligus membantu gabungan empat parti dilihat wira untuk rakyat Sarawak.

Prestasi buruk BN dalam PRU 2018 mendedahkan kelemahan gabungan politik nasional itu. Ego politik BN yang membuak meyakinkan pemimpin politik Sarawak bahawa tidak banyak faedah jika ia terus bersama BN.

Isu lebih 1,000 sekolah di Sarawak termasuk dalam kategori daif menjadi ungkitan. Meskipun mempunyai sumber bumi yang banyak, Sarawak masih tersenarai negeri miskin. Justeru jika BN mahu sokongan dalam parlimen, BN harus akur slogan “GPS Utamakan Sarawak”.

Kini pertalian GPS dan BN seolah sudah “diperlembagakan” di Parlimen. Maknanya, GPS dan BN setaraf. Ia memberi isyarat kepada BN bahawa GPS boleh berubah kasih pada bila-bila masa dan mampu membantu mentalkinkan BN sekali lagi.

Tatakarma politik BN pun terdedah. Sikap riak Umno kononnya parti tunjang BN mula dipertikaikan. Justeru Umno yang sering menggelar dirinya parti kemerdekaan Malaysia harus insaf bahawa kemerdekaan ialah milik semua rakyat dan bukan Umno semata.

Justeru Umno harus menyemak rekod bagaimana ia memelihara perpaduan dalam partinya sendiri. Ia harus akui bahawa sebagai tunjang BN, ia kerap kurang mengutamakan soal memelihara perpaduan.

Ribut politik yang sering dikocakkan pemimpin-pemimpin Umno sendiri menimbulkan persoalan adakah payung politik BN itu sebenarnya cukup anjal dan berdaya memahami serta menghayati konsep politik kepelbagaian etnik.

Aura politik BN semakin menguncup mutakhir ini. Keperkasaan politiknya mudah retak dan berderai. Jika disusuri puncanya, ia mudah terlekat pada tabiat dan amalan politik perintisnya – Umno.

Politik kepelbagaian kepentingan kelihatan mulai retak dan menghakis wibawa perjuangan Umno yang kini semakin bercelaru hala tujunya dan lebih cenderung untuk bersendikan wawasan satu bangsa dan kepercayaan satu agama sahaja.

Perhatikan betapa kronologi perpecahan Umno melahirkan kabilah-kabilah baru setiap kali berlaku pertembungan kepentingan puak.

Serpihan pertama melahirkan PAS. Kemudian muncul Semangat 46. Selepas itu terbit PKR. Ini disusuli Bersatu yang kini mencabang kepada Pejuang. Mutakhir sekali hadir parti Muda. Purata, setiap dekad akan muncul parti baru dari nasab keturunan Melayu-Islam Umno.

Kini BN sudah kehilangan pengaruh di Sarawak. GPS dengan rasminya menggantikan fungsi BN. Hakikat ini disambut tegas dan meriah dengan kemenangan besar gabungan itu dalam PRN minggu lalu.

Hakikatnya ialah, kini agak payah mana-mana parti politik nasional boleh campur tangan dalam pemikiran dan keputusan politik Sarawak.

Di segi teorinya parti-parti nasional seperti Umno, Bersatu, PAS, PKR, DAP, dan Amanah masih boleh menyertai proses pilihan raya di negeri itu tetapi keputusan PRN baru lalu memberi isyarat jelas bahawa GPS memang “Mengutamakan Sarawak”.

Tidak kiralah jika parti-parti nasional lain menjanjikan kesaksamaan dan keadilan politik dan hak rakyat Sarawak akan dihormati tetapi Sarawak tegas mahu putera-puterinya sendiri yang menentukan apa yang adil dan apa yang tidak untuk watan Sarawak.

Kini Sarawak sudah mencapai satu jajaran dan kefahaman politik bahawa pribumi Sarawaklah yang harus menentukan masa depan Sarawak.

Umno ada saham langsung dalam politik Sabah kerana ia mempunyai bahagian dan cawangan di negeri itu. Namun bekas Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal, yang kini memimpin Warisan sudah mahu melebarkan sayap partinya ke Semenanjung.

Selesakah Umno yang kini menjadi parti kecil kerana perlu berbahagi pengaruh dengan banyak parti Melayu lain menghadapi cabaran Warisan ini? Tidakkah formula paling afdal ialah menggunakan konsep penggabungan kepentingan politik seperti BN yang pernah diterajuinya?

Umno tidak harus latah. Ia perlu meremajakan idealisme politiknya dan menyantuni kerabat BN-nya dengan lebih saksama. Jika tidak, adalah tidak mustahil makin banyak entiti politik akan menjarakkan diri daripada Umno.

Unsur dan nilai perjuangan yang bersih amat diperlukan. Defisit kepercayaan dalam kalangan Melayu-Muslim untuk Umno semakin menipis. Kehadiran PAS dalam sfera politik Umno pula hanya menambah keraguan banyak parti politik berpusarkan kepentingan etnik di Sabah dan Sarawak.

Malaysia sudah mencatat banyak kemajuan, terutama dalam bidang pendidikan. Percambahan pengetahuan dan teknologi sudah semakin meluas dan universal. Terpulang pada pemimpin Umno menentukan konsep BN itu kekal dan mekar.

Pemimpin Umno harus telus dan jujur berkhidmat ketika masih berkesempatan menerajui kerajaan hari ini. Umno tidak perlukan pemimpin culas seperti dilihat dalam tragedi banjir besar yang melanda negara sekarang.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.