
Petang semalam ketika Perhimpunan Agung Umno saya menerima mesej yang dilanjutkan menerusi WhatsApp bahawa presiden PAS “lari” dari perhimpunan berkenaan kerana “tidak tahan dengan kritikan keras” presiden Umno.
Tidak lama kemudian saya tonton klip video Abdul Hadi Awang dikawal ketat Unit Amal PAS sedang menuju ke kenderaan untuk meninggalkan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur tempat persidangan diadakan. Beliau diikuti wartawan, jurukamera, dan jurugambar. Media mahu mendapat reaksi beliau terhadap ucapan Ahmad Zahid Hamidi.
Media tidak dihiraukannya. Tolak menolak berlaku. Seorang jurukamera terjatuh. Keadaan kelam kabut hampir mencetus pergaduhan fizikal antara anggota media dengan Unit Amal PAS. Kecoh.
Bagi saya, Hadi tidak mahu membuat apa apa komen boleh dijangkakan. Nak komen atau tidak itu hak beliau (lewat petang Hadi menerusi FB memberi respon singkat – “tunggu dan lihat”).
Kemungkinan besar Hadi panas telinga akibat apa yang dikeluar dari mulut presiden Umno. Tetapi untuk mengatakan beliau lari, saya tidak setuju.
Lazimnya tetamu yang dijemput ke PAU akan mengikuti ucapan dasar presiden Ummo sehingga selesai (suka atau tidak) sebelum majlis ditangguhkan buat seketika untuk tetamu minum pagi sebelum beredar pulang dan persidangan dimulakan oleh tuan rumah.
Saya tidak ada di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur semalam. Oleh itu saya tidak tahu sama ada sesi minum pagi diadakan atau Hadi tidak mahu menjamah kuih muih yang dihidang lantas terus berangkat keluar. Apa pun bagi saya untuk mengatakan beliau lari agak tidak tepat walaupun diakui Hadi agak “kepanasan”. Ini akan diperkatakan sebentar lagi.
Umumnya PAU kali ini paling dramatik yang pernah saya ikuti. Lebih dramatik daripada perhimpunan 1987 ketika Dr Mahathir Mohamad dicabar Tengku Razaleigh Hamzah bagi jawatan presiden. Ketika itu Umno berperang antara Team A pimpinan Mahathir dan Team B yang diketuai Ku Li. Memang ia sengit sebelum dan sesudah pemilihan dan persidangan. Namun pada hari persidangan khususnya pemilihan keadaan agak tenang meski pun tegang.
Kali ini PAU berapi. Memang dijangkakan Umno akan membuat ketetapan mengenai hubungannya dengan PPBM dan PAS. Lalu Umno menetapkan hubungan dengan PPBM mesti diputuskan.
Jujur saya mengakui ramalan saya yang dibuat menerusi artikel Jumaat lalu bahawa Umno tidak akan menayangkan secara terbuka (buat masa ini) langkahnya, meski pun membuat keputusan mengenai hubungan dengan PAS, meleset.
Ada perwakilan dengan terbuka menyuarakan rasa tidak puas hati dengan “gelagat” PAS. Sebelum itu Zahid dalam ucapan dasarnya mengingatkan PAS akan sikap yang wajar diambil selaku rakan sekutu dalam Muafakat Nasional.
Kata Zahid Umno berpijak di bumi yang sama dan tidak akan bersikap seperti lalang ditiup angin. Lalu beliau berkata belum terlambat untuk Muafakat Nasional “pulang ke pangkal jalan” dan “kaki kita mesti berpijak di tapak yang sama”.
Diluahkan di hadapan Hadi, yang seperti dikatakan tadi, mungkin “panas telinga” dan terasa hati. Sekarang menunggu reaksi rasmi PAS. Apa langkah PAS dan siapa pilihan PAS. Umno atau PPBM? PAS mahu kedua-duanya. Umno mahu PAS hanya bersama mereka.
Takiyuddin Hassan, orang kuat Hadi , membuat hantaran di Facebook dan menyatakan “setia kawan sejati bukan sampai tegah kawan berkawan (dengan orang lain), kawan adalah rezeki persahabatan yang datang”.
Menarik. PAU diikuti semua pihak berkepentingan dan reaksi dikeluarkan segera. Maklumlah era media sosial .
Reaksi PPBM terhadap kecaman yang dilemparkan ke atas mereka juga menarik. Sehari sebelum ucapan Zahid, Muhyiddin Yassin selaku presiden PPBM, berkata jika Umno mahu bertanding semua kerusi pada PRU15 partinya juga akan berbuat demikian.
Mengambil kira itu semua, hubungan Umno – PPBM sudah tidak dapat diselamatkan. Ini diakui beberapa pemimpin Umno sendiri.
Kata-kata yang dilempar ke atas PPBM keras dan panas. Istilah tikam belakang, pengkhianat, dan macam-macam lagi digunakan tanpa berlapik. Serangan dilancar ke atas PPBM keseluruhan tetapi juga ke atas orang Umno yang melompat ke PPBM dan orang Umno yang kata mereka “luar nampak Umno, dalam bukan Umno”.
Cuma nama tidak disebut secara spesifik. Bagaimanpun deskripsi amat jelas. Kita tidak perlu jadi pakar politik untuk tahu siapa yang dimaksudkan. Tentunya mereka yang sudah makan cili sudah terasa pedas. Persoalannya apa langkah mereka seterusnya? Saya ulangi apa yang pernah saya ajukan – cabar presiden pada pemilihan parti kelak? Kekal dalam Umno dan jadi api dalam sekam atau duri dalam daging?
Pada ucapan penggulungannya, Zahid mengucapkan terima kasih kepada beberapa perwakilan Wanita Umno yang bersuara lantang mengkritik PPBM dan Perikatan Nasional walaupun ‘ketua mereka (Noraini Ahmad) tidak berbuat demikian kerana beliau duduk dalam kerajaan”.
Noraini ialah menteri pengajian tinggi dalam pentadbiran PN pimpinan Muhyiddin.
Sambil menoleh ke arah ketua wanita Umno itu, Zahid berkata (di depan khalayak) “Ani tak apa, kita faham”. Dramatik juga.
Sebelum itu, Timbalan Presiden Mohamad Hasan berkata Umno mesti menetapkan bila mahu tinggalkan PN. Jika Ogos, kata beliau, “kita keluar ramai-ramai Ogos ini”. Bermaksud semua menteri dan timbalan menteri Umno dalam kerajaan Muhyididn mesti letak jawatan. Mahukah mereka lepaskan kenikmatan yang sudah dikecapi sejak Mac tahun lalu?
Respon Zahid pada ucapan penggulungannya ialah meminta perwakilan bangun untuk menunjukkan persetujuan memberi mandat kepada pimpinan parti menentukan “timeline” Umno keluar PN.
Perwakilan bangun dan apabila pengerusi tetap persidangan bertanya adakah mereka setuju beri mandat itu kepada pimpinan, jawapan mereka ialah “ya”. Lagi dramatik.
Umno memutuskan untuk tolak PKR, DAP, dan PPBM lantas akan bertanding PRU15 bersendirian bawah panji-panji BN. Mereka akan berdepan dengan PPBM dan tidak keberatan berdepan PAS jika parti itu kekal bersama PN.
Bagi saya kesimpulan PAU kali ini bukan sekadar ketetapan Umno. Jelas ia membabitkan Umno dengan semua pihak berkepentingan.
Pelbagai langkah dan strategi masing-masing akan ditampilkan. Walaupun mereka mendakwa apa yang dilakukan ialah demi perpaduan ummah, demi bangsa, agama, dan negara, hakikatnya ia mengenai kepentingan masing masing, demi “political survival” dan memenangi pilihan raya untuk memerintah.
Itu sekadar pandangan peribadi saya.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.