
Antara “buat-buat bodoh” dan “buat bodoh” ada bezanya.
“Buat-buat bodoh” kita semua tahu ialah tindakan seseorang yang tidak bodoh (malah pandai) menyamar jadi orang bodoh. Lantas dia buat-buat bodoh pada hal dia tidak bodoh.
Mengapa seseorang itu buat-buat bodoh? Terpulang kepada keadaan. Mungkin untuk mencungkil rahsia antara sebabnya.
“Buat bodoh” pula seperti kita tahu ialah tindakan untuk tidak bertindak. Maksud saya, tidak memberi atau menunjukkan reaksi atau respon terhadap sesuatu perkara mahu pun persoalan yang diajukan. Dalam erti kata lain – buat ‘dak’ (buat tak tahu), tak ambil peduli, tak amik ‘pot’.
Mengapa seseorang buat bodoh? Mungkin sebab tidak mahu menghadapi perkara yang dihadapi. Atau tidak mahu jawab persoalan yang diajukan kerana tidak mahu layan, atau sememangnya tidak tahu nak jawab apa.
Contoh buat bodoh memang lumrah dalam politik negara.
Ketika saya menulis artikel ini Perdana Menteri Muhyiddin Ysssin berada di Arab Saudi dalam rangka lawatan rasmi ke negara itu dan Emiriah Arab Bersatu.
Menurut Wisma Putra lawatan ini ialah atas jemputan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.
Bagaimanapun diberitakan pertemuan Muhyiddin dengan Raja Salman (akan) diadakan secara maya.
Maka berkata Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub: “Kalau nak jumpa secara maya baiklah buat Zoom dari Pekan Pagoh. Taklah habis duit rakyat.”
Begitu ciapan Salahuddin di Twitter seperti dilaporkan Malaysia Dateline.
Izin saya mencelah. Kalau di Pagoh sambungan internet tidak bagus – buat di Putrajaya atau Cyberjaya yang internetnya amat cepat.
Sehingga artikel ini ditulis tidak ada respon rasmi terhadap apa yang dikatakan Salahuddin (sebenarnya ada juga orang lain yang bercakap seperti beliau cakap di media social).
Mungkin ada sebab pertemuan Muhyiddin dengan Raja Salman diadakan secara maya. Tetapi, saya tidak menjangka akan ada reaksi kerajaan terhadap kenyataan Salahuddin itu. Sebaliknya, buat bodoh menjadi pilihan.
Baru-baru ini heboh pasal Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Santhara Kumar, berada di New Zealand pada waktu pandemik ini selama 55 hari (ketika perkara ini diketahui umum).
Untuk memendekkan cerita, Santhara berkata beliau memohon cuti 55 hari melalui Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa, dan permohonannya diluluskan perdana menteri sendiri.
Sehingga kini perdana menteri tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan. Begitu juga Annuar. Kita tahu Muhyiddin sibuk dengan 1001 perkara dan Annuar juga sibuk – maklumlah partinya Umno sedang hadapi ‘perang saudara’.
Hakikatnya tidak ada penjelasan rasmi. Buat bodoh lagi.
Beberapa hari lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan kerajaan akan mewujudkan 500,000 peluang pekerjaaan.
Lantas bertanyalah Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng – bagaimana? Persoalan itu didorong kegagalan Zafrul memberi apa-apa butiran lanjut selain berkata setengah juta peluang pekerjaan akan diwududkan.
Ada lagi persoalan yang diajukan Lim tetapi tidak perlu saya perincikan di sini kecuali mengenengahkan isu komputer riba untuk pelajar sekolah.
Lim mengingatkan menteri kewangan akan janjinya mengedarkan 150,000 komputer riba buat pelajar yang masih belum ditunaikan.
Kesimpulan yang beliau katakan ialah “150,000 lap top belum edar kini janji 500,000 pekerjaan”.
Sekali lagi tidak ada respon dari kerajaan. Sekali lagi buat bodoh.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.