Badiuzzaman Said Nursi (1877-1960) seorang pemikir dan ahli teologi sosial Uthmaniyah moden yang termashur. Beliau hidup di penghujung zaman Uthmaniyah dan dekad-dekad pertama Republik Turki. Nursi tidak merupakan ahli teologi yang tradisional kerana beliau memahami akibatnya ketiadaan iman bukan sahaja dalam erti nasibnya ruh seorang individu, tetapi dalam erti pencerobohan hak-hak semua makhluk hidup. Oleh kerana itu, teologi Nursi dapat difahami sebagai teologi sosial kerana ia memperhatikan dan memperlihatkan kaitan antara kehidupan beriman dan kehidupan masyarakat. Suatu segi penting dalam teologi sosial adalah perhatian terhadap kenyataan ketidakadilan.Nursi memahami sejarah sebagai perjuangan antara pihak yang menegaskan hak-hak makhluk hidup dan pihak yang mencerobohi hak-hak itu. Matlamat Nursi adalah untuk merumuskan suatu “jalan baru dalam kehidupan sosial” yang sesuai dan berkesinambungan dengan kaedah fitriah yang menguasai alam ini. Tujuan beliau tersusun dalam erti atau cara sosial, dalam mana kita dapat melihat segi sosialis pemikiran beliau. Mengenai dirinya sendiri beliau mengatakan dalam kitab beliau yang berjudul Al-Lama’at: Membumikan Inspirasi Ilahi:
“Ya, dari segi keturunan dan dari segi penghidupan aku tergolong kelas bawahan dan termasuk orang yang mengharapkan adanya kesetaraan hukum baik secara pemikiran maupun dalam perilaku. Selain itu, dari dahulu aku termasuk orang yang menolak penguasaan kelas elit yang disebut dengan kaum borjuis. Semua itu muncul kerana sifat kasih sayang dan keadilan yang bersumber dari Islam. Kerananya, dengan segala kekuatan yang ku miliki aku mendukung adanya keadilan dan menentang segala bentuk kezaliman, penindasan, kuasa sewenang-wenang, dan despotisme.”
Rujukan Nursi kepada kelas borjuis, iaitu, kelas yang memiliki dan menguasai modal, sebagai kelas penindas masih relevan bagi kita dewasa ini. Nescaya Nursi akan bersetuju dengan seruan Syed Hussein Alatas untuk kemunculan jenis manusia baharu dalam masyarakat Islam.
Menurut Syed Hussein dalam buku beliau, Kita Dengan Islam, dalam masyarakat Islam zaman moden terdapat 5 jenis pemimpin yang berdasarkan kepada 5 jenis manusia baharu yang muncul dalam masyarakat kita. Yang pertama jenis yang aliran kolot walaupun mereka mempersembahkan diri sebagai maju. Jenis ini terdiri daripada tokoh seperti Maulana Maududi dan Muhammad Qutb. Keempat jenis yang berikut adalah hasil pengaruh pendidikan moden. Contoh yang diberi oleh Syed Hussein diperolehi daripada sejarah Indonesia tetapi jenis-jenis ini wujud dalam masyarakat lain.
Contoh jenis yang pertama adalah Sukarno (1901-1970). Sukarno merupakan seorang Islam yang percaya kepada agama Islam tetapi tidak melibatkan diri dalam gerakan Islam.
Contoh jenis manusia Islam baharu yang kedua adalah perdana menteri Indonesia yang pertama dan pemimpin aliran sosialis bukan-Marxis, Sutan Syahrir. Syahrir merupakan seorang Islam tetapi telah dipengaruhi oleh humanisma Barat. Hal-ehwal keislaman tidak diperhatikan dan kesedaran Islam tidak terdapat dalam tulisan Syahrir.
Contoh jenis manusia Islam baru yang ketiga adalah pemikir komunis, Tan Malaka (1897-1949). Tan Malaka berbeza daripada Sukarno dan Syahrir dalam erti bahawa dia bekerja untuk mengetepikan Islam sebagai sistem kepercayaan. Pada waktu yang sama dia cadangkan supaya potensi Islam sebagai penggerak revolusioner diperalatkan oleh pihak komunis. Sebagai seorang komunis, Tan Malaka menganuti falsafah dialektika materialisma yang menolak kepercayaan pada Tuhan dan menganggap agama sebagai candu masyarakat.
Contoh jenis manusia Islam baharu yang keempat adalah Syafruddin Prawiranegara (1911-1989) yang menjadi pemangku presiden Indonesia pada 1948-49, dan perdana menteri pemerintah revolusioner Republik Indonesia di Sumatera yang didirikan akibat dari pemberontakan terhadap rejim Sukarno. Syafruddin adalah lebih dekat kepada Islam jika dibandingkan dengan ketiga jenis tersebut. Beliau menganggap Islam sebagai suatu kuasa yang penting yang seharusnya menggarisbawahi perancangan ekonomi. Hanya Islam yang dapat mengatasi masalah seperti tamak, boros, kemalasan dan rasuah. Syafruddin melihat masalah ekonomi sebagai berpunca daripada kegawatan akhlak yang hanya dapat diatasi dengan memberdayakan orang Islam yang berjiwa murni. Ini memerlukan kembali kepada Islam, bukan sahaja secara zahir tetapi kepada sifat-sifat rohaniah. Pencirian Nursi terhadap dirinya tidak berbeza daripada jenis manusia keempat ini, iaitu, jenis yang dapat memahami dan menangani masalah moden tetapi berakar umbi dalam sistem nilai Islam.
Rumusan Nursi dan Alatas mengenai watak dan jenis manusia adalah sangat bermakna apabila kita menilaikan keadaan di Malaysia sekarang. Sedangkan pihak-pihak tertentu dalam kalangan elit Melayu menyokong wacana yang mencuba meyakinkan orang Melayu bahawa musuh mereka adalah kaum Cina, ada golongan-golongan selainnya yang ingin menyampaikan kebenaran bahawa masalah Malaysia adalah kekurangan atau ketiadaan kerajaan yang berasaskan kepada kebaikan dan kemuliaan. Ini merupakan suatu penilaian yang tepat dan jitu.
Sebahagian rakyat Malaysia yang mengalami keterbelakangan dalam penghidupan mereka terdiri daripada kaum Cina, India, dan Melayu. Pada keseluruhannya, masalah kemunduran mereka disebabkan oleh kelas berkuasa, iaitu, kelas yang memiliki modal, yang juga pelbagai bangsa, bersepakat dengan pemerintah untuk memajukan kepentingan modal (the interests of capital). Mereka gagal membina negara. Mereka gagal memaksa negara menjadi lebih terbuka dan bertanggungjawab (transparent) dan menjadi pemerintah yang baik dan mulia.
Kita seharusnya mempertimbangkan bahawa keduanya kelas berkuasa dan pemerintah adalah tidak bertanggungjawab. Masalah kita adalah masalah kelas bukan ras atau etnik. Tindakan sewenang-wenang dan autoritarianisme pemerintah yang semakin bertambah tidak memajukan kepentingan kaum Melayu tetapi memelihara kepentingan kelas borjuis sahaja, iaitu, kelas pemodal Melayu-Cina. Ini berlaku dengan kerosakan rakyat yang berbilang bangsa. Semua ini berpunca daripada pemerintah yang kurang berkesan, kurang cekap, dan kurang mulia. Penilaian ini sehaluan dengan teologi sosial Said Nursi yang digarisbawahi oleh kesedaran kelas.
Akan tetapi kesedaran seumpama ini tidak akan membawa kita ke mana-mana jika ia tidak dimiliki oleh suatu gerakan sosial yang pada gilirannya memerlukan kepimpinan yang sesuai, yang menjelma daripada jenis manusia yang baharu seperti Syafruddin. Kalau gerakan seumpama ini tidak muncul dan mempengaruhi masyarakat kita, ada kemungkinan besar kita akan dikuasai oleh apa yang disebut oleh Syed Hussein sebagai orang bebal.
Antara ciri-ciri orang bebal termasuklah ketidakmampuan menganalisis masalah, ketidakmampuan menyelesaikannya jika masalah itu dikemukakan kepadanya, ketidakmampuan mempelajari apa yang diperlukan, ketidakmampuan mempelajari seni belajar, dan tidak mengakui kebodohannya. Apakah revolusi orang bebal sedang berlaku di Malaysia? Rakyat ingin pemimpin yang memiliki cita sempurna dan yang mempunyai tujuan yang luhur. Pastinya kita tidak mahu pemimpin yang apa Syed Hussein Alatas sebut sebagai pemimpin yang jadong, iaitu jahat, bodoh dan sombong.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.