
Ada sebuah cerpen Sasterawan Negara, Abdullah Hussain yang syok dibaca dengan judul “Sebuah Pekan Bernama Semporna”. Apabila nama Ahli Parlimen Shafie Apdal disebut-sebut oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai antara nama yang layak dicalonkan sebagai perdana menteri, ingatan saya serta-merta menjaring kembali cerpen kegemaran tersebut. Tidak semena-mena ada tujahan ingatan yang menari dalam benak saya – Sebuah Parlimen Bernama Semporna – dengan budaya kaum minoriti Bajau Suluk yang melatarinya.
Cerpen “Sebuah Pekan Bernama Semporna” itu dikarang arwah Pak Lah dalam 1979 dan terbit dalam Dewan Sastera pada Oktober tahun tersebut. Waktu itu, Dewan Sastera masih sebuah penerbitan yang bergengsi. Sebagai wadah sastera Melayu yang berwibawa, cerpen itu membawa makna dan isyarat tertentu pula.
Ada sebab mengapa cerpen sesederhana itu kekal dalam ingatan saya.
Pertamanya, saya mengesan gosip sastera yang membusa dalam “Sebuah Pekan Bernama Semporna”. Mana tidaknya, ada beberapa nama sasterawan terkemuka dan sudah cukup senior dalam dunia sastera Melayu dijejerkan iaitu antaranya Arena Wati, Ahmad Matusin, dan Muhammad Salleh. Tentu, Abdullah sendiri.
Cerpen itu mengisahkan Abdullah, Arena Wati, dan Ahmad Matusin yang berkelana di Sabah membimbing bengkel sastera untuk anak-anak sekolah. Makanya didatangkan watak seperti Intan dan Baitah, remaja yang tersangat ghairah untuk melahap ilmu mengarang. Justeru watak yang wujud di alam nyata, iaitu 2-3 sasterawan terkemuka mulai menyebut-nyebut mengenai bagaimana membangunkan karya seperti cerpen. Terdapat pesan agar jangan dibuat begitu atau begini saat berkarya. Ketika inilah gosip sastera itu dipilin dengan sengaja. Abdullah menyebutkan nama pengarang muda ketika itu, Azizi Abdullah yang menurutnya mengarang cerpen “Nabilah” dan ada “kata-kata yang salah tempat letaknya”.
Menurut saya, bahagian itu tidak pun diperlukan dalam cerpen “Sebuah Pekan Bernama Semporna” melainkan tujuannya untuk mengejek Azizi yang masih muda. Tambah pula cerpen ini disiarkan di sebuah wadah berpengaruh; Dewan Sastera.
Apa sebab musabab nama Azizi disinggung dengan bersahaja begitu untuk dibuli tidaklah diketahui. Masing-masing sudah arwah untuk ditanyakan.
Pun, satu lagi sebab mengapa cerpen “Sebuah Pekan Bernama Semporna” kekal dalam ingatan saya ialah kerana saya menjadikannya sebagai satu teks rujukan, iaitu bagaimana untuk membangunkan latar yang baik. Cerpen ini menurut saya, Abdullah dengan jaya dan cemerlangnya menukangi latar dengan begitu segar sekali.
Latar padang di hadapan dewan masyarakat yang disiapkan untuk acara Tamu Besar dan bakal dirasmikan menteri tersangat terperinci dan halus. Malah ia begitu hidup sehingga saya, atau pembaca, rasa terheret untuk berada di sana bersama-sama. Saya terpandang-pandang bagaimana hujan lebat merosakkan semua persiapan acara Tamu Besar itu. Kemudian terhidu-hidu bau lecak dan percik lumpur yang mengada-ada di kaki seluar.
Sesungguhnya cerpen ini menjadi lebih bergaya apabila terdapat pula latar budaya kaum Bajau yang diterapkan tanpa sedar.
Gerakan perjalanan watak Aku iaitu Abdullah sendiri bersama-sama rakan sasterawannya menuju ke Tawau untuk mendapatkan pesawat ke Kota Kinabalu juga cukup kuat menggenggam ingatan saya. Selain itu, Abdullah dengan cekatannya memainkan latar masa berbolak-balik sehingga terasa kecanggihannya.
Cerpen ini juga hadir membawakan watak Pipah, yang menjadi cangkuk pengikat “Sebuah Pekan Bernama Semporna”. Pipah dilihat sebagai ikon dan idola oleh watak remaja seperti Intan dan Baitah. Sesudah menang sebagai Ratu Cantik Tamu Besar, Pipah hidup di Kota Kinabalu dan hanya muncul sekali-sekala dengan pakaian ranggi, dan tentu rokok terkepit di bibir (sebagai gambaran awal Pipah seorang sundal).
Juga tentu, pesona terhadap Pipah itu berakhir celaka dan didedahkan dengan cara keji bahawa Pipah ialah seorang pelacur kelas atasan. Dia ditemukan dalam keadaan hanyir sedemikian oleh ahli keluarganya sendiri. Watak Pipah tentu sahaja mengganasi fikiran pembaca, seorang yang tersangka berjaya rupa-rupanya hina dina dan berakhir dengan cara aib sekali. Intan dan Baitah tentu sahaja muncul kembali beberapa tahun kemudian, bertemu Abdullah dan memberitahu kisah tersebut. Pipah tentu sahaja diingati oleh watak Aku kerana ternyata watak itu sendiri agak terhibur, tergiur, dan terleka oleh Pipah.
Jadi ada kompleksiti yang bertembungan dan meruap-ruap di sana sini dalam “Sebuah Pekan Bernama Semporna”.
Ini menjadikan “Sebuah Pekan Bernama Semporna” cerpen kegemaran saya. Ia saya baca berkali-kali dan paling kurang setahun sekali saya akan melawatnya kembali. Maka baru-baru ini, apabila ahli Parlimen Semporna dicalon atau disebut sebagai bakal perdana menteri, saya terkesima.
Tentu sekali dalam kepala saya ialah perangai Pipah pelacur ini, berbaur dengan sergahan gosip politik mengenai episod Janda Baik entah kenapa, lantas bergulir wajah calon ahli Parlimen dari Semporna dan inti penting cerpen karya Abdullah itu.
Apa yang menjadikan “Sebuah Pekan Bernama Semporna” mengacum saya sehingga judul cerpen itu tertukar menjadi “Sebuah Parlimen Bernama Semporna”?
Tentu, Dewan Sastera pada 1979 tersebut tidak pun menyekat apatah lagi mengekang suara dan azam Abdullah yang secara selamba mengkritik sikap dan tingkah laku ahli politik dan pemimpin dalam kalangan kita. Tiada sensor di tahun 1979.
Dalam cerpen yang penuh lapis tersebut, terdapat watak Lamsin, saudara rapat Pipah yang merupakan seorang hartawan muda. Beliau anak kepada Haji Sontok, seorang ahli politik Sabah yang disebutkan “giat berjuang”, dan setelah partinya berkuasa “telah mendapat pembahagian tanah balak, maka perhatiannya pun beralih kepada perjuangan untuk mengumpulkan harta kekayaan”. Abdullah malah menghiris lagi dengan ayat, “Perjuangan untuk rakyat telah tertolak ke sebelah. Kerana sikapnya itu maka putuslah tali perhubungan antara pemimpin dengan rakyat”.
Abdullah terus memerah limau pada luka kata-kata yang dititipnya, dan dinyatakan:
“Kekayaan telah membina suatu jurang yang luas sehingga mereka sudah tidak dapat bertemu lagi. Dan kerana sebahagian besar penyokong parti itu bersikap seperti Haji Sontok maka partinya kalah dalam pilihan raya berikutnya. Haji Sontok sudah jarang ada di kampung atau di pekan kecil itu lagi, setiap masa ada di KK atau di KL, ataupun sedang terbang mengitari alam buana”.
Serta merta ingatan saya mengais wajah ahli politik tertentu. Kaya, korup, tetapi tetap bebas.
Lebih menyala ialah watak Haji Sontok bernafsu besar lantaran “pengaruh wangnya masih kuat” sehingga dari menjadi pemimpin pejuang dia kini “lintah darat dan membungakan wangnya”. Juga “membeli tanah daripada orang-orang kampung yang terdesak hidupnya”.
Menjelang pilihan raya, Haji Sontok yang terancam oleh saingan dalaman kemudian keluar parti menjadi “konon-konon” seorang ahli politik bebas. Akan tetapi, seperti episod politik kontemporari hari ini, dia kemudian “memasuki parti yang baru ditubuhkan” bersama-sama teman lain yang “sama-sama menyeleweng” dan kini “ikut bermuka-muka” untuk terus menenggek pundak rakyat iaitu para pengundi.
Kritikan terhadap politikus rakus dalam cerpen “Sebuah Pekan Bernama Semporna” ini meskipun hanya 5-6 perenggan tetapi kekal menjadikan karya ini bermaya. Betullah, sebuah karya yang berbicara atas nama rakyat, dan kemudian dikraf dengan indah sekali, akan dikenang lama oleh pembaca.
Apa pun, sama ada “Sebuah Parlimen Bernama Semporna” memang benar akan menggantikan sebuah Parlimen bernama Pagoh, atau sebuah Parlimen bernama Port Dickson; tentulah di luar dari hemah sastera yang sedang saya nyatakan ini.
Hakikat bahawa Malaysia Timur yang dihadirkan dalam cerpen Abdullah – “Sebuah Pekan Bernama Semporna” – sebagai terlalu kumuh dan dhaif boleh menjadi avatar politik baharu yang memecahkan kebuntuan episod gasang tentulah sangat melelehkan air liur penonton drama politik.
Mungkin Malaysia memang memerlukan pemimpin dari desa kejauhan yang lecak. Moga-moga kita rakyat Malaysia dijauhkan dari pemimpin seibarat watak Haji Sontok, dari Parlimen mana pun dia.
Biarlah pemimpin politik yang jahat-jahat ini menjadi gila dan kacau, seperi nasib Haji Sontok dalam cerpen itu.
Sempurna atau tidak Parlimen Semporna nanti, dan jadi atau tidak seorang pemimpin dari pekan kecil seperti Semporna seorang pemimpin besar negara ini hanyalah rahsia Ilahi. Akan tetapi, yang pasti cerpen arwah Abdullah akan kekal berhantu. Juga, akan tetap saya baca tahun demi tahun dan menjadi sebuah panduan bagaimana mengarangkan sebuah cerpen yang malar hijau.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.