Cadangan bantu restoran, pawagam pasca Covid-19

Cadangan bantu restoran, pawagam pasca Covid-19

Contohnya di pusat beli-belah, kawasan letak kereta tersedia memenuhi 2 elemen terpenting dalam melawan Covid-19, iaitu kawasan yang luas dan penjarakan sosial antara kereta.

Pandemik Covid-19 telah mengubah dunia. Semua aspek kehidupan manusia perlu berubah mengikut rentak perangai Covid-19 yang memaksa manusia mengamalkan penjarakan sosial dan menghindari kawasan sesak.

Antara perubahan paling ketara ialah cara berniaga dan berbelanja.

Dalam industri makanan dan minuman, Covid-19 menyebabkan manusia tidak lagi boleh makan beramai-ramai di restoran. Restoran kini terpaksa bergantung hidup kepada konsep bungkus makanan dan penghantaran ke rumah.

Meskipun di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), pelanggan dibenarkan menjamu selera di restoran dengan beberapa syarat ketat seperti seorang pelanggan untuk satu meja kecil, tetapi ramai yang akan memilih untuk membungkus makanan.

Syarat PKPB juga menyebabkan restoran tidak lagi boleh menerima pelanggan yang mempunyai ahli keluarga besar dan pengusaha kehilangan pendapatan signifikan dari segi pesanan minuman yang marginnya sangat tinggi.

Berdepan cabaran baru yang sukar ini, idea di luar kotak amat diperlukan. Di sinilah kawasan letak kereta bakal menjadi peluang emas pasca Covid-19.

Contohnya di pusat beli-belah, kawasan letak kereta tersedia memenuhi 2 elemen terpenting dalam melawan Covid-19, iaitu kawasan yang luas dan penjarakan sosial antara kereta.

Jika kawasan letak kereta ini boleh diubah suai sedikit dengan menempatkan sistem “tagging” ke peta tempatan, menyediakan lebih banyak tong sampah, tempat mengutip semula kutleri serta memastikan ia mempunyai jaringan internet baik, tempat letak kereta dapat dihidupkan untuk membantu banyak rangkaian perniagaan di pusat beli-belah tersebut.

Dengan pengubahsuaian di atas, tempat letak kereta boleh menjadi pandu masuk (drive in) untuk menjamu makanan dalam kereta.

Untuk menjayakan idea ini, restoran di pusat beli-belah perlu mengubah cara penyampaian makanan di bekas yang mesra kereta.

Antara contoh ialah restoran boleh menggunakan bekas makanan di hospital yang mempunyai banyak ruang untuk meletak lauk dan sup.

Dengan adanya sistem “tagging”, makanan boleh dihantar ke lokasi tepat di tempat letak kereta untuk dimakan dalam kereta. Sistem internet yang baik pula membolehkan pelanggan membayar menggunakan e-wallet atau kad debit dan kredit sejurus makanan dihantar.

Semua makanan boleh dikenakan surcaj yang akan dipulangkan apabila pelanggan menghantar bekas makanan digunakan ke tong atau tempat mengutip kutleri yang disediakan.

Pemilik pusat beli-belah boleh menguruskan surcaj ini sebagaimana sistem bayaran troli di sesetengah pasar raya, di mana pelanggan perlu memasukkan 50 sen untuk menggunakan troli dan wang itu dipulangkan selepas troli dikembalikan ke tempat disediakan.

Semua ini memerlukan pelaburan, terutamanya daripada pemilik pusat beli-belah. Pelaburan ini semestinya berbaloi kerana dapat memastikan penyewa (pemilik bisnes) di dalam pusat beli-belah dapat terus bertahan untuk membayar sewa. Jika tidak, kedua-duanya pasti lingkup bersama.

Bagi restoran tepi jalan pula, mereka boleh memperbanyakkan tempat duduk di restoran pasca Covid-19 dengan memberikan pelanggan pilihan menjamu selera di tempat letak kereta.

Tempat letak kereta luas di pusat beli-belah yang terpinggir juga boleh dimanfaatkan pawagam, antara industri paling terjejas pasca Covid-19. Mereka perlu cuba menghidupkan semula trend pawagam pandu masuk. Tiket boleh dipakejkan bersama makanan dan minuman.

Diharapkan cadangan ini sedikit sebanyak dapat membantu restoran terjejas kerana Covid-19. Di sebalik semua cabaran, semestinya ada pintu keemasan yang dibuka. Apa yang diperlukan di dalam norma baru ialah idea dan sistem memudahkan penjual dan pelanggan.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.