PKP medan terbaik latih disiplin, budaya norma baru

PKP medan terbaik latih disiplin, budaya norma baru

Jika PKP gagal menyuburkan budaya norma baru dalam kalangan rakyat dan pimpinan, perang Covid-19 dikhuatiri akan terus berpanjangan kerana ramai akan cenderung menjadi tali barut kepada virus tersebut secara tidak sedar.

Minggu lalu, Malaysia mencatatkan trend penurunan kes baru Covid-19. Sejak Jumaat, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan kes positif Covid-19 hanya melibatkan 2 angka, iaitu tidak melebihi 100 orang. Lebih memberangsangkan, jumlah pesakit pulih juga melebihi kes positif harian bagi tempoh sama.

Walaupun begitu, kita belum menang. Seperti yang ditegaskan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, perang melawan Covid-19 masih berterusan.

Oleh itu, semua orang mesti mengambil tanggungjawab tidak melakukan sebarang kesilapan dalam tempoh 2 minggu akan datang. Jangan kita terlajak sehingga terciptanya kluster baru.

Jangan ada sesiapa yang ambil mudah kerana selesa dan selamat berada di zon hijau atau kuning jangkitan Covid-19. Ingatlah orang kuat imuniti dan sihat, tetapi cuai adalah golongan paling bahaya waktu ini.

Kecuaian boleh menyebabkan mereka terjangkit lalu mewujudkan kluster baru kerana menganggap diri tiada simptom jangkitan. Sikap sambil lewa sehingga mengakibatkan kecuaian mungkin mudah berlaku di zon hijau atau kuning berbanding mereka yang berada di zon merah.

Selain itu, rakyat Malaysia perlu menyuburkan norma baru sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) berakhir.

Kontroversi semasa – di mana pihak penyokong, pembangkang dan kerajaan saling mendedahkan gambar kesalahan melanggar PKP dalam kalangan pimpinan – jelas menunjukkan norma baru kehidupan belum subur di kalangan rakyat dan pimpinan negara, sama ada pembangkang mahupun di pihak kerajaan.

Oleh itu, mulai sekarang, kerajaan perlu mengambil kesempatan sempena pelaksanaan PKP untuk terus menyuburkan budaya norma baru dalam jiwa rakyat dan pimpinan.

PKP adalah medan terbaik melatih disiplin dan budaya norma baru ini sebelum rakyat dibebaskan sepenuhnya di waktu kita yakin jangkitan Covid-19 sudah berada di dalam kawalan kita.

Jika PKP gagal menyuburkan budaya norma baru dalam kalangan rakyat dan pimpinan, perang Covid-19 dikhuatiri akan terus berpanjangan kerana ramai akan cenderung menjadi tali barut kepada virus tersebut secara tidak sedar.

Oleh itu, denda dan tahanlah mereka yang melanggar PKP tanpa sebarang pilih kasih, semua ini demi menyelamatkan nyawa.

Sedihnya, PKP juga mendedahkan Covid-19 bukanlah pembunuh rakyat Malaysia yang utama. Meskipun jalan raya kebanyakannya lengang ketika PKP, negara masih mencatat 10,382 kemalangan pada PKP fasa 1 dan 2. Daripada jumlah itu, 130 kes ialah kemalangan maut yang menyebabkan 145 kematian.

Apa yang mengejutkan ialah jumlah yang dilaporkan itu hanyalah 30% daripada kadar kemalangan biasa. Meskipun begitu, angka itu jauh lebih tinggi berbanding kes positif Covid-19, iaitu 5,389 kes dan 89 kematian Covid-19, yang dicatatkan KKM semalam.

Jadi, secara ironinya, PKP bukan saja menyelamatkan banyak nyawa rakyat Malaysia daripada diragut Covid-19, tetapi nampaknya ia juga berkesan menyelamatkan lebih banyak nyawa rakyat Malaysia daripada kemalangan jalan raya.

Bayangkan berapa banyak lagi nyawa rakyat Malaysia yang akan terkorban jika PKP tidak dilaksanakan?

Malaysia telah memasuki waktu kritikal, kita semua perlu berganding bahu mengekalkan trend penurunan Covid-19. Sebarang peningkatan mendadak dalam 2 minggu akan datang bermakna segala usaha sehingga hari ini terbazir dan kita kembali ke tangga asal.

Di waktu ini juga, pergelutan, desakan dan tekanan berterusan antara keperluan ekonomi serta keperluan mengalahkan Covid-19 akan terus hangat sejajar lanjutan tempoh PKP.

Hanya rakyat dapat membantu meleraikan perdebatan dan tekanan ini.

Jika rakyat dapat berdisiplin dan mematuhi saranan kesihatan yang membantu memutuskan rantaian Covid-19, kita boleh mencapai situasi menang-menang di mana PKP boleh ditamatkan lebih awal dan usaha memulihkan ekonomi dapat dilakukan lebih awal berbanding negara lain.

Marilah kita sama-sama menekadkan hajat untuk membawa negara tercinta ini keluar daripada krisis Covid-19 lebih awal berbanding negara lain. Ketika itu, kita boleh dikira menang. Ketika ini, kita belum menang dan perlu terus berperang dengan Covid-19.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.