
Wabak Covid-19 yang melanda dunia sedang mengubah perspektif manusia terhadap perkhidmatan kesihatan awam dengan meningkatnya penglibatan kerajaan dan kerjasama antara negara.
Seperti mana seseorang tidak boleh melawan Covid-19 bersendirian, maka tidak ada negara yang boleh bertindak tanpa kerjasama global.
Selama ini, sebelum Covid-19 menjadi pandemik global, terdapat 2 bentuk dasar perkhidmatan kesihatan di kalangan negara-negara di dunia.
Pihak sebelah kanan berpegang kepada perkhidmatan kesihatan swasta, maknanya tiada penglibatan langsung daripada kerajaan. Hospital hendaklah didirikan pihak swasta dan rawatan perlu dibiaya setiap individu melalui skim insurans. Pihak kerajaan hanya memantau dan menyelaras tindakan bagi menangani isu kesihatan di peringkat nasional.
Pihak kiri pula berpegang kepada perkhidmatan kesihatan awam. Bagi fahaman ini, setiap warganegara berhak mendapat rawatan kesihatan secara percuma, daripada bayi hingga ke liang lahad. Perkhidmatan ini hendaklah dibiayai kerajaan sepenuhnya.
Contoh bagi sistem seumpama ini adalah Cuba di mana keseluruhan perkhidmatan kesihatan di negara itu berbentuk awam dan didanai kerajaan. Rawatan untuk rakyat terjamin tanpa sebarang bayaran insurans.
Tetapi, Cuba adalah negara miskin yang masih menanggung sekatan ekonomi Amerika Syarikat, maka mereka tentu tidak mampu mengimport banyak keperluan kesihatan dari luar negara. Untuk itu mereka berusaha membangun penemuan sendiri, termasuk dalam hal rawatan kanser yang kalau diimport pasti amat mahal.
Kebanyakan negara mempunyai kedua-dua perkhidmatan kesihatan, iaitu awam dan swasta, cuma penglibatan awam berbeza di antara satu sama lain, termasuk dalam hal pendanaan rawatan, sama ada dalam bentuk insurans atau cara lain.
Apa yang jelas, perbelanjaan bagi rawatan semakin bertambah. Antaranya kerana bilangan manusia bertambah, dengan jangka hayat juga meningkat.
Selain itu, kemajuan termasuk teknologi semakin baik dan ia pasti memerlukan penambahan dana. Ditambah pula kos bagi rawatan, ubatan dan kaedah kesihatan juga naik setiap tahun.
Jadi, akhirnya kehebatan perkhidmatan kesihatan bagi sesebuah negara bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan yang tertakluk kepada dasar serta pegangan politik masing-masing.
Umpamanya di AS, Parti Republikan yang memerintah melalui presidennya dan Kongres berpegang kepada fahaman politik bahawa perkhidmatan kesihatan harus di tangan swasta.
Bagi mereka, perkhidmatan kesihatan seperti syarikat perniagaan harus digerakkan melalui sistem pasaran bebas. Siapa ada wang, maka boleh mendapat rawatan baik. Untuk menampung pembiayaan kesihatan ini, dana harus datang melalui perniagaan insurans.
Tetapi, bukan semua orang mampu membeli insurans. Maka, sebab itu ada fahaman di AS yang menuntut mekanisme untuk kebajikan kesihatan rakyat dilindungi. Ini adalah pegangan arus perdana Parti Demokratik.
Jadi, semasa Barack Obama menjadi presiden, beliau memperkenalkan sistem “Obamacare”, tetapi dasar ini tidak disetujui pihak Republikan. Ia dianggap tidak selari fahaman pasaran bebas, lebih-lebih lagi bagi membiayai sistem seperti “Obamacare”, pendanaan mesti datang daripada cukai yang akan dikenakan kepada orang kaya. Itu yang tidak dikehendaki elit AS.
Bagi mereka, untuk menolong orang susah, biarlah ia datang daripada sumbangan derma, bukan atas paksaan melalui percukaian.
Perdebatan mengenai banyak mana kerajaan perlu tanggung kesihatan awam sentiasa berlaku ketika mana kos rawatan terus meningkat. Pada waktu sama, korporat berkaitan kesihatan terus mengaut keuntungan besar.
Di Britain, perdebatan serupa berlaku. Parti Buruh mahu Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) diperkukuhkan, sementara Parti Konservatif mahu mengurangkannya. Ini kerana mereka tidak mahu cukai dinaikkan untuk mendanai perkhidmatan itu.
Tetapi, NHS adalah institusi ikonik konsep Negara Berkebajikan yang diperjuangkan parti sosialis demokratik dan demokrasi sosial seperti Parti Buruh di Eropah sejak 1930-an.
Pada asalnya, negara Eropah ketika memasuki Revolusi Industri tidak mempunyai perkhidmatan kesihatan awam. Sistem pasaran bebas juga meletakkan perkhidmatan kesihatan berbentuk komersial.
Walaupun dalam sejarah, perkhidmatan kesihatan bersistem seperti hospital mula ditubuhkan pihak awam, khususnya institusi agama sebagai sebahagian daripada kegiatan kebajikan.
Parti Buruh memperjuangkan gagasan Negara Berkebajikan yang di dalamnya termasuk perkhidmatan kesihatan awam untuk semua. Maka, apabila ia menjadi kerajaan, ia menubuhkan NHS di samping memiliknegarakan beberapa syarikat lain.
Kemudian, kerajaan bertukar dan dasar pemilikan negara itu diubah kerana syarikat kerajaan dianggap tidak cekap, tidak menguntungkan dan membebankan kerajaan. Parti Konservatif melaksanakan dasar penswastaan yang merupakan tonggak pemikiran fahaman kanan.
Sungguhpun begitu, NHS tetap dikekalkan walaupun di bawah kerajaan kanan, seringkali peruntukannya dikurangkan dan ini menjejaskan mutu kebajikan rakyat negara berkenaan.
Gagasan Negara Berkebajikan menjadi popular di Eropah Barat terutama negara Scandinavia pada 1950-an dan 1960-an. Walaupun parti demokrasi sosial gagal mempertahankan kerajaannya, tetapi perkhidmatan kesihatan awam tetap dikekalkan kerajaan konservatif.
Di Malaysia, tiada perdebatan mengenai perkhidmatan awam. Sejak merdeka, sistem ini sudah ada dan kerajaan mengukuh serta mengembangkan perkhidmatan awam. Malaysia mewarisi perkhidmatan kesihatan awam daripada pentadbiran kolonial.
Kerajaan kolonial British di Malaya mula memperkenalkan perkhidmatan kesihatan awam sebagai sebahagian daripada keperluan ekonomi penjajahannya.
Mereka membina hospital awam bukan kerana kepentingan penduduk Malaya, tetapi demi memastikan pekerja lombong bijih timah dan ladang getah sihat supaya ekonomi kolonial tidak terjejas.
Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) ditubuhkan bagi menjalankan penyelidikan ke atas penyakit tropika seperti malaria yang menjadi ancaman kepada industri getah.
Perkhidmatan kesihatan awam dapat diteruskan dan dikembangkan dengan banyak kemajuan perubatan dapat dicapai negara ini. Dalam pada itu, perkhidmatan kesihatan swasta yang didanai industri insurans turut dikembangkan.
Walaupun ada cadangan supaya perkhidmatan kesihatan awam didanai insurans kerana biaya untuknya semakin meningkat dan membebankan kerajaan, tetapi tekanan politik menghalang kerajaan menswastakannya.
Perkhidmatan kesihatan awam di negara ini bukan percuma sepenuhnya, tetapi ia disubsidi dengan banyak supaya warganegara hanya perlu membayar dengan murah.
Tetapi, di peringkat global, sektor kesihatan yang mengandungi industri farmaseutikal, teknologi perubatan dan kaedah rawatan merupakan industri besar melibatkan pelaburan besar. Akibatnya, dunia korporat yang terlibat dengannya mengaut keuntungan besar.
Satu jalan lain perlu dicari supaya semua penduduk dunia melalui negara masing-masing mendapat akses perkhidmatan kesihatan sewajarnya. Soal pendanaan memerlukan perhatian kerana ia juga melibatkan hak paten, ubatan generik dan undang-undang perniagaan antarabangsa.
Covid-19 membuktikan tiada siapa boleh dikecualikan daripada perkhidmatan kesihatan. Mereka yang terjangkit dan tidak dirawati akan menularnya kepada orang lain dalam masyarakat, tidak kira miskin atau kaya, mampu membeli insurans kesihatan atau tidak.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.