
Kecemerlangan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah terus bersinar sama ada di bawah bekas menteri kesihatan, Dzulkefly Ahmad mahupun Menteri Kesihatan yang baru, Dr Adham Baba.
Ketika Pakatan Harapan bergaduh siapa harus menjadi perdana menteri sehinggalah tertubuhnya kerajaan baru di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin, Hisham dan pasukan askarnya terus memfokuskan tenaga untuk menyelamatkan negara daripada pandemik Covid-19.
Peralihan daripada kerajaan PH kepada Perikatan Nasional langsung tidak menjejaskan prestasi pasukan askar ini. Mereka terus menjalankan tugas meskipun di dalam keadaan ketiadaan kerajaan.
Kecemerlangan Dzulkefly sebagai menteri kesihatan tidak perlu dipertikaikan. Oleh itu, jangan ada sesiapa yang cuba mempolitikkan kecemerlangan beliau kerana kecemerlangan yang terserlah pada Dzulkefly sebahagian besar hasil daripada kecemerlangan ditunjukkan Hisham dan pasukan askarnya di Kementerian Kesihatan.
Pujian berlebihan untuk Dzulkefly ialah sejenis tindakan melaga-lagakan beliau dengan pasukan askar di Kementerian Kesihatan.
Kesilapan Adham mengenai air suam juga tidak harus dipolitikkan dan diperbesarkan secara berlebihan. Di dalam kesibukan beliau menangani cara untuk mengawal Covid-19, barangkali ada maklumat yang terlepas saringan beliau.
Jangan ada sesiapa cuba mempolitikkan kesilapan tersebut sehingga timbul persepsi pasukan kesihatan negara kini lemah. Itu persepsi yang salah.
Sesungguhnya, kecemerlangan yang ditunjukkan Hisham dan pasukannya di Kementerian Kesihatan tidak dapat dimalapkan oleh kebolehan dan kelemahan mana-mana menteri.
Yakni, dari sudut Kementerian Kesihatan – perubahan kerajaan yang berlaku hanya melibatkan perubahan menteri kesihatan dan timbalan menteri kesihatan. Tidak kira ada kerajaan ataupun tidak, pasukan di Kementerian Kesihatan tetap sama.
Kepala enjin yang paling utama ialah Hisham dan pasukan askarnya di bawah Kementerian Kesihatan – termasuk doktor, jururawat, pegawai perubatan dan semua kakitangan hospital.
Sesungguhnya, kita kini di dalam perang dunia ke-3, tetapi bukan antara negara, sebaliknya antara manusia dan virus Covid-19 yang boleh menghancurkan bumi.
Hisham dan pasukan askarnya kini menjadi barisan depan berperang dengan Covid-19. Di dalam krisis ini, mereka ialah benteng pertahanan utama negara.
Jika beliau dan pasukannya gagal, maka kita juga akan gagal bersama. Jadi, sebagai rakyat Malaysia, kita perlu memberikan sokongan dan dorongan penuh kepada pasukan askar yang diketuai Hisham.
Perlu diingatkan, bilangan askar ini tidak banyak untuk mempertahankan rakyat Malaysia yang berpuluh juta orang daripada serangan virus Covid-19.
Bukan itu sahaja, peralatan perang mereka iaitu peralatan uji kaji, katil dan bilik ICU juga terhad jumlah di Malaysia berbanding jumlah pesakit Covid-19 yang semakin meningkat.
Kini, Malaysia di ambang gelombang ke-3 Covid-19. Perintah kawalan pergerakan ialah satu-satunya peluang keemasan terakhir yang kita ada untuk mematahkan serangan Covid-19.
Maka, jangan sesekali ada rakyat Malaysia yang cuba menjadi tali barut virus Covid-19 dengan menyembunyikan maklumat kontak rapat dengan suspek Covid-19 dan menipu askar kita yang sedikit ini sehingga mereka terjangkit.
Askar kita ini sedang mempertaruhkan nyawa untuk melindungi negara. Penipuan mana-mana tali barut akan menyebabkan askar kita turut terdedah kepada Covid-19, lalu melumpuhkan operasi hospital. Oleh itu, jangan sesekali ada di antara kita yang menjadi tali barut!
Jangan ada di antara kita menjadi alat bantuan virus Covid-19 dengan membiarkan badan kita dihingapnya tanpa sedar, semata-mata kerana kita degil dan tidak dapat berdisiplin untuk duduk di rumah ketika perintah kawalan pergerakan.
Kita perlu saling menegur mereka yang tidak berdisiplin. Kita harus jaga diri agar barisan pertahanan depan kita tidak lumpuh dipenuhi pesakit Covid-19.
Musuh virus Covid-19 sudah menembusi pertahanan pertama dan kini berlegar dalam kalangan komuniti kita. Perintah kawalan pergerakan ialah satu-satunya cara kita dapat mematahkan rantaiannya secepat mungkin.
Ramadan dijangka jatuh pada 24 April ini. Rakyat biasanya akan mengunjungi bazar Ramadan. Sebulan kemudian ialah hari raya, kebiasaannya rakyat boleh bercuti balik kampung.
Jika perintah kawalan pergerakan ini tidak berkesan kerana kita enggan berdisiplin dan bekerjasama sehingga menyebabkan rantaian Covid-19 berlarutan, bukan sahaja rakyat Malaysia tidak dapat menyambut bulan Ramadan seperti biasa, bahkan sambutan Aidilfitri pun akan terjejas.
Oleh itu, amat penting bagi setiap rakyat menjaga disiplin masing-masing sepanjang perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan dan duduk di rumah untuk melindungi askar barisan depan kita yang sedikit ini.
Jika kita tidak mampu membantu, janganlah kita menambah masalah kepada pasukan askar barisan depan kita ini yang kian letih.
Kepada ahli politik, bertimbang rasa sedikit kepada semua. Ini bukan masanya untuk bersengketa atau tunjuk pandai mempertikaian usaha yang sedang dilakukan serta memburukkan kerajaan ataupun pembangkang dengan pelbagai tulisan di sosial media.
Ingatlah, formula dan idea memang mudah dicanang ketika diri ialah pembangkang. Ini sudah terbukti apabila banyak janji, idea dan formula cadangan ahli politik terbukti tidak dapat dilaksanakan meskipun adanya kuasa di tangan.
Kalau tidak sabar untuk calit lumpur ke muka sesama sendiri bagi pilihan raya umum ke-15, tolonglah bertindak sebagai negarawan dan saling membantu demi memastikan negara selamat daripada Covid-19 terlebih dahulu.
Kepada Hisham dan semua askar barisan depan yang berjuang mengendalikan pandemik Covid-19, “we owe you a big one”!
Terima kasih. Thank you. Xie Xie. Nandri.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.