Makna di sebalik PRK Sungai Kandis pada politik negara

Makna di sebalik PRK Sungai Kandis pada politik negara

Sememangnya PRK ini dan yang akan berlangsung di DUN Balakong menjadi ukuran penilaian sokongan rakyat terhadap kerajaan PH.

Pilihan raya kecil (PRK) DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos ini bukanlah satu peristiwa besar. Ia hanyalah PRK di kawasan DUN dalam Selangor ketika negara baru saja melaksanakan PRU bersejarah, tidak sampai pun 100 hari lalu.

Sebarang keputusan pilihan raya itu juga tidak mengubah kedudukan kuasa pentadbiran negeri Selangor. Ditambah pula kawasan itu dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) yang diwakili oleh PKR dengan selesa semasa PRU14.

Maka dijangkakan PH akan dapat mempertahankan kawasan itu. Tetapi jika Barisan Nasional (BN) yang menang, maka ia merupakan suatu kejutan yang menuntut penyemakan pemerhatian terhadap politik negara.

Jadi strategi BN adalah jelas, iaitu menggembeleng sebanyak mungkin pengundi yang menyokongnya di samping menarik undi penyokong pihak lain yang menentang PH khususnya PAS.

Untuk itu, BN berjaya mendapatkan kerjasama PAS supaya tidak bertanding bagi membolehkan 1 lawan 1 dari segi calon utama. Ini bermakna tidak timbul pemecahan undi pembangkang. Seperti mana apa yang disebut sebagai Asal Bukan Pakatan Harapan (ABAH).

Cabaran bagi PH pula adalah untuk menggalakkan penyokongnya turun pengundi. Sebagai PRK, pengundi yang turun dijangka tidak akan seramai PRU. Lebih-lebih lagi dalam keadaan yang mana dijangka PH akan menang mudah. Tetapi ada suatu faktor penting yang perlu diambil kira iaitu penyokong BN yang beralih kepada PH semasa PRU lalu.

Ada antara mereka yang mengundi PH kerana menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak dan isu skandal 1MDB. Tetapi dalam PRK ini, soal Najib sebagai perdana menteri dan isu skandal 1MDB sudah tidak timbul.

Maka mereka mungkin kembali menyokong BN. Lebih-lebih lagi jika ada dasar-dasar dan tindakan kerajaan PH yang tidak mereka senangi terutama bagi penyokong Umno dalam soal berkaitan kaum Melayu dan agama Islam.

Sememangnya PRK ini, dan yang akan berlangsung di DUN Balakong merupakan satu ujian dan ukuran populariti kerajaan PH, khususnya di peringkat persekutuan.

Setelah berlalu 60 hari, keputusan PRK Sungai Kandis dan Balakong boleh menjadi ukuran penilaian sokongan rakyat terhadap kerajaan.

Tetapi kepentingan PRK ini bukan terletak pada kedudukannya yang boleh menjadi pengukur populariti kerajaan PH. Ini kerana lebih penting lagi adalah pada tanda yang mana PRK ini menunjukkan perubahan landskap politik Malaysia adalah besar dan mendadak sebagai pasca PRU14.

Ini kerana PRK DUN Sungai Kandis merupakan pertandingan pertama di mana Umno menjadi pembangkang tanpa memiliki jentera kerajaan negeri dan Persekutuan.

Setelah lebih 60 tahun bertanding sebagai parti kerajaan, kini Umno perlu menyesuaikan diri dengan realiti bukan saja tidak memiliki kemudahan itu tetapi juga menanggung beban isu terdahulu.

Walaupun PRK ini merupakan cabaran pertama presiden baharu, Datuk Seri Zahid Hamidi tetapi beliau adalah aktivis berpengalaman dengan politik negara. Beliau juga presiden Umno dan pengerusi BN pertama yang menjadi pemimpin pembangkang.

Dalam pemilihan Umno yang lalu, Zahid berjaya mempertahankan haluan sedia ada parti apabila dapat mengalahkan pesaingnya, Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin, sekaligus menghalang sebarang perubahan drastik haluan parti.

Ini bermakna, Umno buat pertama kalinya menampilkan diri kepada pengundi di bawah kepimpinan baharu. Jika perwakilan Umno memilih Zahid yang juga dilihat sebagai calon kesinambungan daripada Najib, maka PRK ini memberi peluang kepada pengundi kawasan DUN Sungai Kandis menyatakan pendirian mereka terhadap barisan kepimpinan Umno baharu yang mengekalkan haluan lama.

Sungguhpun begitu, Umno pasca PRU14 ini pada hakikatnya bukan saja mengekal haluan lama, tetapi bergerak pada keadaan yang lebih lama lagi. Keadaan baharu ini dipaksa ke atasnya, dan bukan kerana pilihannya.

Apa yang disebut sebagai keadaan yang lebih lama lagi adalah kedudukannya dalam BN. Kalau dulu Umno mengetuai 13 parti komponen lain di seluruh Malaysia, termasuk Sarawak dan Sabah, tetapi kini BN hanya tinggal 3 parti.

Umno, MCA dan MIC adalah parti asal Perikatan. Maka tanpa parti lain, BN sudah seperti tidak wujud. Sebaliknya yang wujud adalah seperti Perikatan dahulu. Iaitu Perikatan pada zaman sebelum tertubuhnya Malaysia.

Cuma bezanya Umno kini ada di Sabah. Satu lagi perbezaan ialah kali ini MCA dan MIC jauh kekurangan kerusi berbanding pada zaman itu. Tetapi antara 1963 hingga 1973, Perikatan bersekutu dengan Perikatan Sarawak dan Perikatan Sabah.

Selain itu, haluan lama Umno yang lebih lama lagi adalah pada sikap politiknya yang bertambah kuat kecenderongannya terhadap isu perkauman Melayu dan agama Islam.

Sikap berkecenderongan pada kaum dan agama ini boleh dilihat selepas PRU13. Kecenderongan ini dibuat sebagai langkah Umno untuk menghalang kemaraan Pakatan Rakyat (PR). Ia bertambah kuat apabila berlaku perselisihan antara PAS dan DAP hingga akhirnya meruntuhkan PR yang membawa kepada perpecahan PAS sendiri.

Apabila PAS mengambil sikap berbaik-baik dengan Umno atas isu kaum dan agama, maka haluannya bertambah ke kanan. Lebih-lebih lagi apabila berdepan seteru bersama iaitu PH yang pada awalnya terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah.

Maka hubungan rapat antara Umno dan PAS atas isu kaum dan agama mengingatkan pemerhati sejarah negara bahawa pada satu masa dahulu, parti Islam itu merupakan sebahagian daripada Umno dalam bentuk Biro Ulamanya.

Ketika itu orang Umno yang di dalamnya turut ada “PAS” berjuang untuk Melayu dan Islam tanpa kerjasama dengan kaum lain.

Hubungan Umno dan PAS bertambah erat menjelang PRU14 dengan strategi memecah undi PH melalui pertandingan 3 penjuru di banyak kawasan yang jelas PAS akan kalah. Ternyata strategi hanya menguntungkan PAS dan bukannya BN apabila PAS berjaya menguasai Kelantan dan Terengganu dan BN kalah di Pantai Barat.

Dengan PRK DUN Sungai Kandis ini, PAS tidak menggunakan strategi pertandingan 3 penjuru. Apa yang jelas Umno dan PAS bekerjasama untuk berdepan dengan PH. PAS dilihat memberi laluan pada BN.

Satu lagi perkara ialah ada ironi terhadap calon yang bertanding. PH meletakkan Zawawi Mughni seorang ustaz yang menjadi pengetua tahfiz dan juga bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) negeri sebagai calon.

Sementara calon BN, Datuk Lokman Noor Adam, seorang yang bukan saja rapat pada Zahid dan Najib tetapi juga bekas aktivis reformasi pada awal penubuhannya pada 1998, antara pengasas PKR Nasional.

Sedangkan kalau dahulu, ustaz tahfiz dikaitkan dengan PAS. Dalam PH pula, aktivis agama seringkali berkait dengan Amanah, iaitu parti pecahan PAS. Calon PH ini bagaimanapun adalah dari PKR. Sebagai aktivis Abim, beliau turut aktif dalam reformasi walaupun jadi ahli PKR secara rasmi pada PRU13.

Pada zaman awal reforamsi, nama Lokman turut terkenal seperti Ezam Mohd Nor, Azmin Ali dan Ruslan Kassim.

Beliau dipecat daripada PKR pada 2004 dan kembali pada Umno. Andai kata Lokman, Ezam dan Ruslan terus kekal dalam PKR, mungkin mereka sudah menjadi pemimpin penting PH.

Perjalanan politik mempunyai liku-liku tersendiri yang tidak dapat dijangkakan.

Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.

The views expressed are those of the author and do not necessarily reflect those of FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.