Yang mana satu, Islam reformis atau tradisional?

Yang mana satu, Islam reformis atau tradisional?

Terdaya atau tidak Mujahid Yusuf Rawa selaku menteri portfolio agama melakukan perubahan ke arah Islam reformis?

Islam adalah sebuah cara hidup yang bertunjangkan keesaan Allah, keimanan kepada hari kebangkitan dan hari akhirat selain keimanan kepada Rasulullah (s.a.w.) dan ajaran-ajarannya.

Hari ini, pusat penyebaran Islam mazhab Sunnah wal Jamaah terletak di Al-Azhar, Mesir. Sementara mereka yang bermazhab Syiah merujuk pusat pendidikan di Qom, Iran atau Najaf di Iraq.

Meskipun terdapat banyak perbezaan antara pengikut Sunni dan Syiah, terdapat 5 kriteria yang meletakkan kedua-duanya dalam kem yang sama iaitu sebagai pengikut Islam Tradisional.

Ini boleh memahamkan kita mengapa, misalnya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh menerima Syiah Imamiyyah yang diamalkan di Iran.

Lima kriteria yang disebutkan di atas adalah, yang pertama, Al-Quran adalah tetap, tidak berubah, dan abadi. Sementara itu fekah yang menjadi petunjuk kelakuan manusia diterima pakai sebagai parameter kewarakan. Ulama pula adalah penjaga agama dan merupakan jurucakap. Ini menjelaskan mengapa mufti, dalam konteks Sunni, adalah satu makam yang terpuji sementara di dalam Syiah, para marja’ atau Ayatullah akan dianggap sebagai pedoman.

Kedua, kumpulan Islam Tradisional mempercayai bahawa rasio manusia tidak berdaya memahami objektif hukum syariat. Oleh sebab itu orang Islam sering diminta menerima sahaja tanpa pertikaian sesuatu pandangan atau fatwa para agamawan. Ini membawa kesan ajaran Islam tidak boleh dikritik, dan diubah semata-mata kerana lojik.

Ketiga, meskipun semua manusia setara tetapi keadilan untuk mereka tidak merupakan satu kemestian. Islam Tradisional menanggapi wanita, mereka yang bukan Islam dan para hamba, sebagai misalan, tidak menikmati hak yang sama dengan lelaki Muslim yang merdeka. Juga, kaum ulama berada di kedudukan yang lebih istimewa berbanding orang awam.

Keempat, meskipun kaum Islam Tradisional mempercayai tiada halangan untuk kebebasan beragama, mereka tidak dibenarkan meninggalkan agama Islam, tidak boleh menyebarkan agama selain Islam kepada umat Islam dan ini turut memberi kesan kepada kebebasan fikiran dan ekspresi.

Kelima, aspek jihad, amar makruf dan nahi mungkar masih menjadi tanggungjawab dalam masyarakat Islam. Meskipun tindakan nahi mungkar itu dianjurkan secara berperingkat-peringkat tetapi mandat yang dimiliki oleh ulama dengan rujukan dalil-dalil naqli (Al-Quran dan Sunnah), membolehkan mandat itu menjadi satu wewenang.

Sifat reformis Islam

Dalam pada itu terdapat 6 karektor yang mewarnai seseorang reformis Islam.

Pertama, seseorang reformis meyakini semua manusia adalah setara dan tiada diskriminasi. Setiap daripada kita berhak untuk terlibat dalam urusan politik dan kerajaan. Tiada beza antara pengikut mazhab dalam Islam, kaum Muslim dan bukan Muslim, lelaki atau wanita dalam mengakses atau diberi akses dalam sesuatu isu atau keadaan. Sementara itu juga kaum ulama tidak mempunyai apa-apa kelebihan dalam ruang awam.

Kedua, semua orang berhak memilih kepercayaan mereka sendiri. Hak ini adalah fundamental dan tidak boleh dicabul. Oleh sebab itu, setiap manusia juga berhak untuk menolak dan menukar agama, atau memilih untuk melaksanakan ajaran agama atau tidak. Tiada sesiapa pun boleh dipaksa atau dihukum kerana tidak mengamalkan ajaran agama tersebut.

Ini bagaimanapun tidak bermakna kesucian sesebuah agama itu, dalam konteks ini Islam akan terjejas atau tercemar.

Ketiga, penyebaran agama tidak boleh melalui keganasan dan paksaan sementara penyebaran agama adalah berdasarkan usaha meyakinkan seseorang yang mana persaingan antara semua agama dibenarkan, termasuk mazhab dan cara fikir.

Tiada satu regulasi dibenarkan untuk satu jurus fikir dan kepercayaan. Sekiranya kita, umat Islam meyakini kekuatan agama Islam, kita hendaklah bersedia untuk memperagakan kekuatannya dan mencari jalan agar keindahan dan kebenaran Islam itu dilihat. Jika setelah itu, produk Islam ini ditolak, kita tidak boleh menyalahkan apatah lagi memaksakan seseorang menerimanya.

Keempat, sesuatu kod dan prinsip agama adalah bebas untuk dibincangkan. Ia tidak boleh jadi undang-undang tanpa konsensus. Tentu sahaja, prinsip Islam juga tidak semestinya logik sahaja kerana ada prinsip keagamaan adalah supra-rasional.

Kelima, artikulasi Islam dalam konteks hari ini mestilah adil, boleh didebatkan dan terbuka kepada solusi alternatif. Ini kerana kaum reformis mempercayai ijtihad mengizinkan proses berfikir.

Terakhir, keenam, kaum reformis juga meyakini bahawa Islam menyediakan prinsip umum dan memberi ruang untuk pengalaman manusia, kebijaksanaan kolektif dan inisiatif yang relevan dengan keadaan.

Enam ciri kaum reformis Islam itu menjadikan Islam tidak cucuk dengan pemerintahan diktator, dan sistem autokratik.

Paksaan

Perlu diingatkan, 6 pencirian kaum reformis di atas tidak bermakna kaum reformis menganggap ajaran Islam ini tidak rasional. Golongan reformis percaya kaum ulama boleh berusaha meyakinkan orang awam, atau masyarakat agar ajaran Islam ini jangan diubah, atau dimansuhkan dari menjadi undang-undang.

Namun demikian jikalau ia ditolak oleh orang awam, kaum ulama tidak boleh memaksakan dan mestilah memahami bahawa penolakan itu tidak bermakna ajaran Islam itu menjadi tidak suci dan terhina.

Sebagai contoh, ulama Syiah yang merupakan bahagian dari Islam Tradisional menjadikan hijab sebagai sesuatu yang wajib bagi wanita Iran. Kaum reformis akan mempertikaikan undang-undang ini kerana ia merupakan satu paksaan dan kerahan yang tidak sesuai dengan fitrah manusia yang memerlukan pendidikan, pengasuhan dan pembudayaan terhadap sesuatu ajaran terlebih dahulu.

Saya pernah menjadi pengikut Islam Tradisional satu masa dahulu. Terdapat banyak karya saya yang mencerminkan pendirian ini seperti Tuhan Manusia.

Namun, proses pendidikan, dan pembacaan menjadikan saya kini seorang yang lebih sendeng kepada Islam Reformasi maka ia terlihat dengan jelas menerusi karya saya yang terbaru, Profesor.

Dalam sesebuah negara demokrasi, apa-apa ajaran agama yang ingin dijadikan undang-undang mestilah pertamanya melalui tapisan persetujuan awam atau massa. Ajaran agama itu kekal sebagai undang-undang selagi mana pendapat awam menyokongnya. Sebaik sahaja, atas apa alasan pun, warga atau orang awam, atau massa tidak lagi menerimanya dan mengundi untuk perubahan, atau pemansuhan maka dengan sendirinya ajaran agama itu tidak lagi punya keabsahan dari segi undang-undang meskipun keabsahannya dari segi agama akan kekal ada sebelum, atau selepas perubahan atau pemansuhannya.

Oleh sebab itu, hanya Islam Reformis sahaja yang cocok dan serasi dengan demokrasi dan bukannya Islam Tradisional. Untuk itu, cabaran sebenar umat Islam di Malaysia adalah untuk membangunkan sebuah cara hidup yang canggih, dan benar-benar adil seperti mana ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah.

Terdaya atau tidak Datuk Mujahid Yusof Rawa selaku menteri portfolio agama melakukannya? Ini adalah cabaran yang akan terus digulati oleh umat Islam di dunia Sunnah wal Jamaah mahupun Syiah sehingga abad berikutnya.

Kaum reformis Islam tidak akan berlalu atau boleh diketepikan begitu sahaja. Ia akan terus di sini untuk mencabar.

Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.