Harapan rakyat terhadap Parlimen selepas PRU14

Harapan rakyat terhadap Parlimen selepas PRU14

Kerajaan PH hanya boleh populis untuk beberapa waktu saja, tetapi tindakan berwawasan pasti menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap sebahagian orang ramai.

Sidang Parlimen yang bermula Isnin lalu, bersejarah dengan membawa harapan rakyat agar ia dapat memberi manfaat kepada negara. Bersejarah kerana inilah pertama kalinya majoriti anggota Dewan Rakyat terdiri daripada parti-parti yang menolak kepimpinan Umno.

Lebih 61 tahun Parlimen didominasi oleh Umno dan sekutu-sekutunya. Pada tahun kemerdekaan Malaya iaitu 1957, Parlimen belum ditubuhkan dan fungsinya dijalankan oleh Majlis Perundangan Persekutuan yang dikuasai Umno dan rakan-rakannya, iaitu MCA dan MIC yang membentuk Perikatan.

Hanya ada satu kerusi dipegang parti bukan Umno, iaitu Parti Islam Se-Tanah Melayu (PMIP yang kemudian dikenali sebagai PAS).

Keanggotaan majlis itu berdasarkan pilihan raya pertama Tanah Melayu pada 1955 yang menyaksikan kemenangan besar Umno dan perikatannya mengalahkan pesaing utamanya, Parti Negara pimpinan pengasasnya Datuk Onn Jaafar.

Parti-parti lain yang langsung gagal memperoleh kerusi ialah Persatuan Kebangsaan Perak, Liga Melayu Perak, Parti Buruh Malaya dan Parti Progresif Perak (kini dinamakan Parti Progresif Penduduk, MyPPP). PMIP menang di Krian, Perak.

Majlis Perundangan Persekutuan bersidang di bangunan yang dahulunya adalah markas Pasukan Sukarela Neger-negeri Melayu Bersekutu, di Jalan Maxwell kini dinamakan Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur.

Tetapi, pengaruh Umno dalam majlis itu bermula lebih awal lagi, sebelum pilihan raya 1955, iaitu sejak badan perundingan itu ditubuhkan pada 1948.

Majlis Perundangan Persekutuan diwujudkan dalam kerangka Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang ditandatangani pada 1948.

Dalam majlis itu, wakil orang Melayu datang dari Umno. Persekutuan itu juga adalah hasil perjuangan Umno yang berjaya ditubuhkan atas runtuhan gagasan Malayan Union.

Ini bermakna Umno mempunyai pengaruh terhadap pemerintahan negara sejak 1948 dan ia berakhir dalam pilihan raya umum 9 Mei 2018, iaitu selama 70 tahun.

Parlimen Malaya dibentuk pada 1959 selepas pilihan raya pertama negara. Sekali lagi Perikatan menguasai kerusi paling banyak, walaupun PAS memenangi 2 negeri, iaitu Kelantan dan Terengganu.

Persidangan pertama Parlimen Malaya berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman di Jalan Ampang yang sebelumnya bernama Dewan Persidangan Antarabangsa.

Apabila Malaysia ditubuhkan, Parlimen turut dianggotai wakil-wakil dari Singapura, Sarawak dan Sabah. Umno tetap merupakan parti dominan yang bukan saja disokong MCA dan MIC, tetapi juga Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura serta Perikatan Sarawak dan Sabah.

Dengan siapnya pembinaan Bangunan Parlimen di Lake Gardens, Kuala Lumpur, maka Parlimen Malaysia pun berpindah ke situ.

Dalam pilihan raya umum 1964, Umno dan sekutunya dapat mematahkan cabaran PAP yang hanya mampu memenangi satu kerusi, iaitu di Bangsar. Ekoran itu, Singapura dikeluarkan daripada Malaysia pada tahun berikutnya.

Umno dan sekutunya tetap dapat menguasai pemerintahan Malaysia tanpa Singapura dalam pilihan raya, walaupun menghadapi cabaran besar daripada Gerakan, DAP dan MyPPP dalam pilihan raya 1969. Ini membawa kepada penubuhan Barisan Nasional (BN) yang turut disertai PAS, Gerakan dan MyPPP.

Maka, persidangan Parlimen ke-14 ini buat pertama kali menyaksikan Umno berada di barisan pembangkang, bersama sekutunya, MCA dan MIC. BN kini seumpama Perikatan zaman Malaya apabila parti komponen lain telahpun keluar.

Maka, dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH) serta penyokongnya dari Parti Warisan Sabah menguasai Dewan Rakyat, inilah kali pertama perjalanan penggubalan undang-undang akan ditentukan parti bukan Umno.

Selama ini, struktur negara dibentuk oleh fahaman politik Umno, iaitu daripada membubarkan Malayan Union digantikan Persekutuan Tanah Melayu, kemudian Persekutuan Malaysia sebagai satu gagasan kerjasama yang meletakkan orang Melayu melalui parti itu sebagai “teras dan jati diri negara”.

Tetapi, kemenangan PH telah menghentikan proses penerapan fahaman politik Umno ini. Tidak ada parti dalam PH yang mempunyai kedudukan dominan seperti Umno dalam Parlimen terdahulu.

PPBM yang mewarisi fahaman politik Umno tidak sedominan Umno. Ia bersama PKR dan Amanah yang dilihat mewakili orang Melayu, tetapi membawa aspirasi dan gaya pentadbiran berbeza daripada Umno.

Maka, dalam penggal ini, rakyat dapat menyaksikan sama ada apa yang dibawa oleh PH lebih baik daripada politik pimpinan Umno selama 70 tahun.

Ramai rakyat menaruh harapan besar kepada pakatan itu. Kejayaan PH memenangi pilihan raya berdiri di atas sokongan pengundi yang mempunyai pelbagai sebab dan motivasi.

Tidak semua yang menyokong PH kerana mendokong fahaman politik parti-parti komponennya, khususnya agenda Reformasi yang dipelopori PKR dan disokong DAP serta Amanah.

Ada yang asalnya penyokong BN beralih arah kerana kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, ramai pula kerana menolak kerajaan lama atas sebab korupsi dan skandal kewangan.

Sementara kerajaan PH ditubuhkan atas jentera pentadbiran yang didominasi Umno selama ini, bukan saja dari segi sistem, tetapi juga petugas-petugas yang merupakan pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam yang dibentuk oleh fahaman serta budaya politik Umno.

Walaupun sistem birokrasi yang diwarisi dan dikembangkan daripada amalan British ini menuntut keberkecualian perkhidmatan awam daripada pengaruh politik kepartian, tetapi Malaysia melalui pengalaman berbeza.

Di Britain, perubahan kerajaan antara Parti Konservatif dan Parti Buruh berulang kali berlaku dengan tiada parti politik yang sempat menjejaskan profesionalisme perkhidmatan awam.

Sedangkan di Malaysia, penguasaan Umno lebih 60 tahun bukan saja menerapkan suatu sudut pandangan kenegaraannya pada perkhidmatan awam dan rakyat pada umumnya, tetapi juga budaya yang antaranya sudah tidak disenangi generasi baharu.

Sudah timbul golongan dalam masyarakat yang tidak mendokong tata negara yang selama ini dicorakkan Umno. Mereka mahukan tata negara berbeza dan aspirasi ini dirasakan dapat dilaksanakan PKR, DAP dan Amanah.

Sementara majoriti rakyat bukan saja mendokong tata negara yang dibentuk Umno selama ini, tetapi menyifatkannya sebagai tetap dan tidak boleh diubah.

Maka, dalam keadaan ini, pasti ahli politik PH menghadapi kesukaran melaksanakan fahaman politik mereka yang berbeza dengan apa dibawakan Umno selama ini.

Maka, tidak hairanlah sepanjang penggal ini akan berlaku pergeseran antara pelbagai fahaman politik yang boleh mendatangkan kekecewaan, bukan saja kepada ahli politik PH, tetapi juga para penyokongnya serta sebahagian rakyat yang mengharapkan perubahan besar mendadak.

Selain itu, parti-parti dalam PH juga pasti menghadapi pergeseran antara satu sama lain, jika usaha tidak dilaksanakan segera untuk mendapatkan persetujuan bagi pelbagai dasar dan isu.

PH perlu menampilkan persetujuan bersama yang lebih jelas dalam pelbagai dasar dan isu supaya kerajaan pimpinan dapat bergerak dengan sekata. Jika tidak, pentadbiran ini akan dilihat sebagai cacamarba.

Sementara rakyat juga, khususnya perkhidmatan awam perlu berubah. Kerajaan PH hanya boleh populis untuk beberapa waktu saja, tetapi tindakan berwawasan pasti menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap sebahagian orang ramai.

Apa yang disebut sebagai Malaysia Baharu menuntut pembaharuan di kalangan rakyat juga, bukan saja dari segi harapan, tetapi juga sikap, budaya hidup dan budaya kerja. Sesungguhnya sidang Parlimen ke-14 ini pasti menghadapi pelbagai cabaran getir.

Zin Mahmud merupakan bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.