
Apabila butir-butir skandal 1MDB semakin terbongkar, banyak persoalan diajukan, antaranya mengapakah ia tidak boleh dihalang sebelum menjadi besar?
Ternyata terdapat banyak institusi yang gagal menghalang berlakunya skandal ini. Antaranya ialah Kabinet, Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan, polis, badan pencegah rasuah dan peguam negara.
Di pihak politik pula ialah Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) dan Majlis Tertinggi Umno yang sepatutnya boleh menghalang berlakunya skandal ini.
Apabila seorang rakan wartawan bertanya tentang persoalan ini, maka jawapan saya ialah, “Salah kita wartawan.”
Apabila berlaku salah laku dalam kerajaan, ia bermakna media negara ini gagal menghidu dan membongkar skandal ini. Ini kerana tiada kebebasan media di negara ini hinggakan tradisi amalan kewartawanan siasatan yang merupakan kunci bagi sistem semak dan imbang dalam proses demokrasi sudah hilang.
Akhirnya wartawan juga tidak dapat latihan melakukan pemberitaan siasatan atau investigative reporting.
Maka wartawan tempatan hanya menyaksikan amalan pemberitaan siasatan sebagai suatu idealisme yang dipaparkan dalam filem Hollywood dan laporan berita di Barat.
Saya sendiri hanya mula mengetahui mengenai skandal 1MDB melalui Facebook kawan yang tinggal di Dubai. Mula-mula tentunya rasa skeptik terhadap skandal itu. Tetapi laporan daripada portal berita Sarawak Report mengukuhkan lagi kebenaran skandal ini.
Ia bermakna laporan awal hanya diperoleh melalui media sosial dan Internet. Andai kata tidak ada Internet orang ramai tidak akan mengetahui maklumat mengenai skandal itu. Ini kerana media konvensional di negara ini dikawal secara tidak demokratik. Itupun Sarawak Report dan The Edge sempat dikenakan tindakan kerana menyiarkan laporan mengenai skandal 1MDB.
Media pernah bebas
Kawalan tidak demokratik terhadap media di negara ini berlaku sejak zaman penjajahan lagi. Selepas Perang Dunia Kedua, rakyat sempat menikmati kebebasan untuk menerbitkan akhbar.
Umpamanya salah seorang pejuang kemerdekaan, Ahmad Boestamam pada tahun 1945 menerbitkan akhbar Suara Rakyat di Ipoh yang menyuarakan sentimen anti penjajahan.
Tetapi apabila Darurat diisytiharkan pada 1948, maka bermulalah kawalan terhadap akhbar demi keselamatan negara. Radio hanyalah dikendalikan oleh kerajaan.
Namun begitu walaupun Darurat berakhir pada 1960, kerajaan Malaya merdeka terus mengawal media. Tetapi kebebasan akhbar zaman Tunku Abdul Rahman Putra lebih luas berbanding masa Tun Razak Hussein.
Setiap penukaran perdana menteri, berlakulah kawalan ketat terhadap akhbar. Paling ketat ialah pada zaman Datuk Seri Najib Razak. Ia bukan sekadar Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, atau Akta Anti Berita Palsu, tetapi ia melibatkan penguasaan parti politik pemerintah ke atas pemilikan saham syarikat media beserta dengan arahan yang dikeluarkan dari asa ke semasa oleh pegawai Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan presiden Umno kepada para editor.
Alasan yang diberikan oleh editor adalah bahawa amalan mereka hanya bersifat mematuhi kerajaan sedia ada (governent of the day). Tetapi melihat berita yang disiarkan, itu bukan apa yang berlaku. Mereka terus terang memainkan isu berbentuk kempen untuk memastikan kemenangan BN dalam pilihan raya. Ini menyebabkan banyak pembaca yang tidak senang dengan pemberitaan seumpama itu meninggalkan akhbar itu.
Oleh kerana media arus perdana dikawal sebegitu rupa, maka banyak orang meninggalkan media konvensional dan beralih mencari alternatif berita dalam Internet. Fenomena ini bermula dari pilihan raya umum tahun 1998 apabila laman web politik mula digunakan.
Peranan Internet semakin meluas dalam pilihan raya tahun 2004, 2008 dan 2013. Penciptaan blog, YouTube, jalur lebar, telefon pintar dan media sosial membolehkan pembangkang menyampaikan mesej mereka. Umpamanya, Media Oren telah dapat menyebar luaskan mesej para penceramah.
BN juga sedar tentang fenomena ini. Maka mereka juga tidak bergantung pada media arus perdana konvensional. Parti itu menggembeling kumpulan lasykar siber atau cybertroopers. Untuk itu mereka memerlukan dana yang besar.
Ia merupakan perang siber di mana rakyat mendengar mesej dari kedua-dua pihak. Dala pilihan raya lalu, kebanyakannya lebih yakin pada mesej Pakatan Harapan (PH) dan mengundi mereka.
Media cetak baru?
Pada pagi selepas pilihan raya itu, iaitu 10 Mei lalu, dengan kemenangan PH, perkara pertama yang datang pada fikiran penulis ialah bahawa akhirnya Malaysia menikmati kebebasan media.
Sejak hari itu, penulis mendapati jualan akhbar di kedai-kedai laris kerana orang ramai dahagakan maklumat walaupun Internet sudah banyak berperanan dalam pada waktu ini. Mereka masih mahu menikmati maklumat yang dicetak di atas kertas.
Ada pembeli akhbar memberitahu penulis bahawa beliau kembali membaca semua akhbar selepas pilihan raya lalu kerana selama ini media arus perdana berat sebelah dan hanya menyiarkan berita yang menyebelahi BN.
Sememangnya selepas adanya kerajaan baharu, media arus perdana bertukar nada walaupun kebanyakan mereka tetap dimiliki secara langsung atau tidak langsung oleh parti-parti politik BN.
Ada seorang pemberita di sebuah akhbar arus perdana menceritakan bagaimana mereka tiba-tiba “tidak menerima arahan dari atas” sebaik saja selepas pilihan raya itu. Sebaliknya ada pemberita menerima arahan supaya semua kembali kepada “Journalism 101” atau asas kewartawanan.
Maknanya selama ini mereka tidak mengamalkan amalan kewartawanan asas.
Apa pun, ternyata semua media arus perdana menyesuaikan diri dengan realiti politik yang baharu. Apabila menonton televisyen, akan didapati bagaimana stesyen-stesyen swasta mengubah persembahan ehwal semasa mereka untuk mengaut penonton sebanyak mana yang boleh. Begitu juga dengan radio swasta.
Tetapi landskap media sudah berubah dengan masa depan mereka tidak dapat dijangkakan. Media konvensional walaupun akan bebas tidak akan dapat menikmati kedudukan zaman pra-Internet. Sementara media berita politik serius tidak menemui lagi formula atau model bisnes yang rancak.
Walaupun tiada pengumuman rasmi oleh kerajaan PH pada awal penubuhannya mengenai kebebasan media tetapi pendirian setiap parti komponen gabungan itu termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan mereka mahu melaksanakan demokrasi yang menyeluruh termasuk kebebasan media.
DAP berjuang sejak tahun 1967 atas platform demokrasi dan kebebasan media merupakan tuntutannya. Begitu juga PKR yang memperjuangkan Reformasi pada tahun 1998 adalah juga menuntut kebebasan media. Pemimpin-pemimpin Amanah yang berjuang dalam PAS sejak tahun 1980-an juga menuntut perkara sama.
Dr Mahathir sedar bahawa sekatan media menyebabkan suara beliau terhalang. Beliau kini sering menyebut tentang rule of law (kedaulatan undang-undang). Ia menunjukkan beliau tidak akan kembali mengamalkan cara lama semasa dalam BN dulu.
Tugas Gobind
Tugas untuk menjamin kebebasan media sekarang terletak pada bahu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang juga Timbalan Pengerusi DAP.
Adalah dijangka bahawa Akta Penerbitan dan Mesin Cetak akan dipinda. Sistem pelesenan atau permit akhbar tidak akan dikekalkan. Kemungkinannya adalah satu garis panduan dikuatkuasakan untuk perkembangan media yang beretika dan bertanggunjawab tanpa mengorbanan kebebasan dan peranannya dalam masyarakat demokratik.
Untuk itu, Majlis Media mungkin diwujudkan seperti mana yang ada di Barat untuk mengendalikan aduan-aduan dari orang ramai dan kerajaan.
Buat masa ini, tiada lagi arahan atau panggilan telefon daripada PMO atau pejabat parti mengarahkan ketua-ketua pengarang menyiarkan atau menggelapkan sesuatu berita.
Beberapa minggu sebelum pilihan raya, perdana menteri lama mengumumkan bahawa Hari Wartawan Nasional (Hawana) akan diadakan pada 29 Mei. Jawatankuasa telah memilih Tunku Abdul Rahman Putra sebagai Tokoh Hawana kerana sumbangannya kepada kewartawanan negara ketika menjadi menteri penerangan pertama dulu.
Tarikh itu diambil daripada sempena penubuhan akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 di Singapura. Syarikat yang menerbitkan akhbar itu pada asalnya ialah The Utusan Melayu Pte Ltd yang sahamnya dipegang oleh masyarakat Melayu Singapura.
Selepas memenangi pilihan raya pertama Malaya pada tahun 1955, Umno pimpinan Tunku telah membeli kebanyakan saham syarikat itu. Bagaimanapun hanya pada tahun 1961, Tunku bertindak mengawal editorial Utusan Melayu supaya akur pada kehendak Umno.
Tindakan Tunku itu dibantah oleh kebanyakan pekerja syarikat itu. Di bawah pimpinan Pengarang Utusan Melayu, Said Zahari, mogok dilancarkan bagi menentang pengambilalihan akhbar itu oleh Umno.
Mogok itu gagal. Ia merupakan mogok pertama di negara ini, yang dilancarkan bukan untuk kenaikan gaji tetapi mempertahankan kebebasan akhbar.
Said Zahari tercatat dalam sejarah negara sebagai wartawan yang berusaha mempertahankan kebebasan akhbar awam daripada dikuasai oleh parti politik.
Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.