‘Dukun’ pilihanhanturaya

‘Dukun’ pilihanhanturaya

Filem ini kena pada masanya, ketika pilihan raya umum yang bakal menyaksikan ahli politik mendapatkan servis bomoh, seperti dilaporkan majalah terbitan DBP 30 tahun lalu.

Filem “Dukun” arahan Dain Said dan ditulis oleh Huzir Sulaiman muncul tepat pada masanya. Ada hikmahnya filem Dukun ini tertangguh ketika Malaysia sedang menanti masa untuk memilih tampuk pimpinan pada pilihan raya umum kali ke-14. Ia menghubungkan amalan berdukun, dan ilmu hitam, dengan segelintir elit masyarakat.

Dua puluh tahun yang lalu, majalah Dewan Masyarakat April 1987 menyiarkan laporan khas bertajuk “Perbomohan Dalam Umno: Dampingi Bomoh Jika Mahu Memimpin Umno?”.

Tentu sahaja hari ini kita tidak terfikirkan majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka itu akan menerbitkan satu edisi khas dengan tajuk “Dampingi Bomoh Jika Mahu Memimpin Umno”.

Namun, pada 1987, Tun Dr Mahathir Mohamad masih menjadi perdana menteri. Sementara akta berita palsu belum lagi menjadi hukum.

Di dalam laporan khas lagi luar biasa itu, “Penulis Khas” menyusuri obsesi pemimpin Umno mendapatkan khidmat bomoh atau dukun. Malah seorang dukun mengakui bagaimana dia membantu seorang ketua bahagian Umno menundukkan ketua cawangan Umno di 40 kawasan bagi meneruskan kuasanya.

Untuk perkhidmatan seorang bomoh, seseorang ahli politik mungkin perlu membayar dengan barang kemas dan menurut bomoh tersebut “harga barang itu sudah ditentukan oleh penunggunya.”

Seorang dukun lain memerihalkan bahawa pemimpin Umno menggilai “besi kuning” yang mampu menjadikan dirinya kebal dan khusus untuk dipakai ketika Perhimpunan Agung Umno.

Filem Dukun lakonan Umie Aida sebagai Diana Dahlan, dan Faizal Hussein selaku peguamnya bernama Karim muncul ketika pemimpin politik daripada Umno mencuri perhatian rakyat. Maka tidak hairanlah, selain sensasi ia diilhamkan oleh penjenayah dan dukun terkenal Mona Fandey, Dukun mendapat sambutan hangat khalayak.

Terdapat 3 kekuatan Dukun yang begitu menyerlah.

Pertama, dramaturgi filem ini yang banyak disumbangkan oleh Huzir Sulaiman. Sebagai sebuah filem seram, ia tidak menampilkan apa-apa hantu. Cukup dengan “semangat” dan “amalan hitam” untuk memberikan kesan yang berpanjangan. Huzir, seorang pengamal teater Inggeris tidak mempunyai masalah menggarap sebuah cerita dengan plot yang kuat, serta naratif yang berlapis-lapis.

Diana Dahlan, sisa pengamal ilmu hitam Batak yang terlantar di Malaysia ekoran pemberontakan dukun di Sumatera pada 1960 sedang mencari sasaran. Tiga naratif yang bergulir serentak ialah Karim yang ditinggalkan isteri dan mencari anaknya Nadia yang liar.

Apabila naratif bertemukan, Karim yang mewakili Diana ekoran dituduh membunuh seorang peniaga terkenal, Datuk Jeffri lakonan Adlin Aman Ramlie, cerita menjadi eksplosif. Juga, lapis lain ialah Nam Ron pegawai penyiasat bernama Talib yang mempunyai krisis profesionalisme dengan penyiasat persendirian bernama Daud.

Jalinan dramaturgi dengan kausaliti yang rapi membolehkan Dukun muncul sebagai filem seram yang berbeza dari cerita-cerita hantu murahan yang lain. Apatah lagi Dukun memberikan siri perbicaraan Diana di mahkamah lantas berjaya menyulamnya dengan sisi imbas semula yang lumayan dan tidak menjemukan.

Tiga naratif berpilin ini menjadikan sudut penceritaan Dukun begitu menonjol dan meremangkan bulu roma. Khalayak perlu menanti lebih lanjut apakah yang menimpa Karim, meski sudah tahu nasib Diana berada di tali gantung.

Dialog teaterikal binaan Huzir meskipun terasa kaku di beberapa tempat tetapi mengalir cair kebanyakannya di dalam mahkamah.

Lakonan yang menjadi

Aspek kedua yang menghiasi Dukun ialah lakonan bertaraf antarabangsa yang diberi oleh 2 pendukung utamanya iaitu Umie Aida selalu Diana dan Faizal Hussein selaku Karim. Ingatan kita terhantar sedekad lampau tatkala kedua-dua pelakon ini sedang mengecap puncak sebagai bintang bersinar dalam dunia perfileman.

Apa yang melongokan ialah metod “stylised acting” yang dihantar oleh pelakon-pelakonnya. Saya, secara peribadi kurang menggemari lakonan yang terbentuk sedemikian; tetapi untuk filem Dukun, ternyata metod ini begitu kena dan serasi.

Umie Aida tentu sahaja akan menjadi pelakon lagenda dan dikenang menerusi wataknya ini. Mainan dalaman Umie sebagai dukun sangat menjadi, malah menjadi-jadi, sehingga dalam banyak keadaan, adegan yang diberikan sukar dilupakan. Ambil sahaja kegilaan Diana menjilat dinding bilik penjara atau ketika menurun untuk merasuk. Beberapa adegan lain pula menampilkan Umie selaku penggoda, selain pembunuh yang kejam. Umie sebagai Diana sungguh menggemparkan.

Lakonan itu disokong oleh Faizal Hussein yang kelihatan keliru, terbeban dan terpedaya. Lirik mata dan kerling Faizal sebagai Karim, selain keupayaannya berhujah dengan berkesan di mahkamah merupakan kekuatan wataknya yang begitu rapi dibina.

Perlu dinyatakan kedua-dua bintang ini sangat melengkapi sehingga Diana dan Karim meski mereka terasa sungguh jauh dari segi karektor tetapi dekat dalam memberikan emosi kepada penonton. Pelakon-pelakon lain, meskipun sampingan memberikan lakonan yang jujur.

Perhatikan sahaja watak Dani lakonan Hasnol Rahmat yang tidak begitu banyak dialog, tetapi tawanya ketika diberitahu perbuatan perbomohan itu satu yang khurafat, sungguh menjengkelkan dan lirik jeling matanya tiap kali muncul memberikan kesan suspen yang menggelisahkan.

Nam Ron (Talib) selaku seorang penyiasat dengan Daud lakonan arwah Ramli Hassan berjaya menjadikan penonton berdebar menanti bagaimanakah nasib kedua-duanya dan apakah mereka akan berjaya menyahkodkan huruf atau simbol ilmu perdukunan Batak yang sulit.

Besi kuning

Jika laporan Dewan Masyarakat 1987 diambil kira iaitu bagaimana pengamal dukun menyatakan terdapat pemimpin Umno menggilai “besi kuning”, maka tidaklah menghairankan pelanggan-pelanggan Diana Dahlan memburu kesaktian tongkat Batak yang penuh rahsia.

Tanpa muzik yang ditata Luka Kuncevic dan garapan sinematografi yang dikerjakan Yuk Hoy Cheong, Dukun pasti hambar. Sisi gelap dan berpuaka seorang pengamal ilmu hitam sungguh mencengangkan dapat dikemukakan menerusi sinematografi yang mengejutkan. Anggota-anggota badan yang dikerat dan kemenyan yang berasapan dengan kangkangan Diana sambil membaca mantera pasti tidak akan dapat dilupakan penonton. Malahan nyanyian sumbang Diana Dahlan dan kemudian alunan Nadia oleh Elyana pasti menghantui.

Gerakan kamera arahan Dain di awal filem iaitu selepas dukun menyerang sekumpulan soldadu Indonesia menjadi bulat dengan pengakhiran filem ini iaitu apabila kamera melilau mencari tampang Karim di Masjid Jamek Kuala Lumpur.

Filem ini dihabisi dengan kejutan yang tragis. Ia juga menghantar mesej betapa kesyirikan menjadi julangan sesetengah manusia kesasar kerana mereka menggilai kuasa.

Setelah beberapa hari menonton Dukun, dalam keadaan masih digomol kerasukan Diana Dahlan yang gemarkan hujung rambutnya, saya juga dikepit-kepit resah oleh perenggan dari Dewan Masyarakat di awal artikel ini.

“Kata mereka, si ketua bahagian Umno, si timbalan menteri, si setiausaha parlimen, si menteri, si wakil rakyat, si… si… semuanya memakai sesuatu sama ada susuk, azimat, barang hikmat, cincin, kemenyan, ayat dan jampi sebut saja, semua dengan matlamat utama, iaitu mahukan kuasa dalam Umno.”

Dukun mungkin sedikit perlahan secara artistiknya, tetapi ia sungguh membinasakan tumpuan dan perasaan.

Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.